Hubungan erat di antara manusia dan burung wujud sejak ribuan tahun yang lalu lagi. Haiwan bersayap ini membantu manusia memburu, menghantar maklumat, mengawal serangga perosak, menyebarkan debunga dan banyak lagi.
Namun, terdapat satu masalah yang membimbangkan di seluruh benua Eropah di mana satu daripada lima ekor burung telah "hilang" sejak tahun 1980-an. Dalam tempoh 40 tahun, dianggarkan lebih daripada 620 juta ekor burung "hilang" dari benua itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Menurut Richard Gregory dari Royal Society for the Protection of Birds (RSPB), apa yang membimbangkan ialah masalah ini berlaku secara senyap dan tanpa disedari.
Burung Pipit yang boleh ditemui di mana-mana di benua itu telah berkurangan separuh daripada bilangannya sejak tahun 80-an. Burung Jalak Eropah yang pandai meniru bunyi pula telah menurun sebanyak 60 peratus bilangannya.
Hilang habitat semula jadi
Kebanyakan penurunan jumlah burung ini berlaku di persekitaran pertanian dan kawasan padang rumput. Namun, ia juga berlaku di kawasan bandar.
Menurut Ketua Pemuliharaan Sementara BirdLife Eropah iaitu Anna Staneva, spesies burung biasa menjadi semakin kurang biasa ditemui. Sebahagian besarnya kerana ruang habitat mereka telah diterokai atau digunakan manusia.
Alam semula jadi telah dihapuskan dari kawasan kampung, pinggir laut dan bandar. Anna juga menggesa pihak kerajaan di seluruh negara Eropah agar menetapkan sasaran untuk melakukan pemulihan alam semula jadi.
Jika tiada langkah wajar yang diambil bagi menangani masalah ini, ia bukan sahaja mendatangkan akibat buruk terhadap spesies burung tetapi juga kepada manusia secara amnya.
Manusia sebagai punca utama
Terdapat pelbagai punca yang dikenal pasti menyebabkan penurunan jumlah burung di Eropah. Ia termasuklah kehilangan habitat, penurunan jumlah spesies serangga (sumber makanan burung) secara mendadak, pencemaran dan penyakit.
Tidak dinafikan, manusia memainkan peranan penting berlakunya punca-punca ini. Semua punca-punca ini mampu menyumbang kepada kejadian kepupusan secara besar-besaran.
Buat masa ini, penurunan ketara dilihat berlaku pada spesies burung biasa iaitu sebanyak 25 peratus manakala bagi burung yang jarang ditemui pula ialah sebanyak 4 peratus. Ia mungkin belum menghampiri kepupusan tetapi amat membimbangkan.
Spesies yang paling terjejas ialah Pipit Rumah atau House Sparrow (Passer domesticus). Spesies ini mengalami penurungan sebanyak 50% atau kira-kira 257 juta ekor burung.
Menurut ahli biologi, Fiona Burns, penurunan jumlah burung biasa ini membimbangkan kerana spesies ini banyak menyumbang kepada keseimbangan ekosistem alam sekitar. Penurunan yang kecil sahaja sudah cukup untuk mengganggu ekosistem semula jadi.
Turut berlaku di benua lain
Kajian mengenai spesies burung adalah yang paling lengkap berbanding kajian mengenai spesies haiwan lain. Kita mempunyai data yang besar mengenai burung yang dikaji oleh pakar ornitologi amatur yang dibimbing oleh profesional.
Pipit atau House Sparrow di Eropah
Menggunakan data ini, Fiona Burns dan rakan-rakannya mengkaji 378 daripada 445 spesies burung yang membiak di seluruh Eropah.
Bukan sahaja trend penurunan yang membimbangkan ini berlaku di Eropah tetapi pada tahun 2019, trend yang sama juga dilihat berlaku di Amerika Utara.
Penyelidikan ini membuktikan kegagalan Eropah untuk mencapai sasaran biodiversiti sedia ada dan menjadi seruan kepada perubahan transformatif pada perancangan seterusnya.
Bukan semua berita buruk
Di sebalik penurunan jumlah burung yang membimbangkan, Fiona dan rakan-rakannya mendapati bahawa terdapat peningkatan pada jumlah beberapa spesies burung yang dilindungi.
Disebabkan usaha pemuliharaan, populasi helang falcon peregrine dan enam lagi spesies burung pemangsa semakin meningkat. Ini menunjukkan betapa pentingnya usaha pemuliharaan terhadap spesies terancam.
Fiona berharap agar usaha yang sama dapat dilakukan pada spesies burung biasa yang mengalami penurunan membimbangkan. Usaha ini dapat dilakukan melalui dengan meningkatkan persekitaran yang mesra burung, hutan simpan dan sumber makanan yang mencukupi.
Pengkaji juga menyeru agar orang persendirian membantu menangani masalah ini dengan menanam lebih banyak tanaman, menyediakan kotak sarang burung atau menyediakan makanan yang sesuai terutamanya pada musim sejuk.
Jika tidak, generasi akan datang mungkin kurang mendengari kicauan bunyi burung yang menenangkan.