raja bomoh dukun pawang

Bomoh, dukun dan pawang bukan satu fenomena yang pelik di negara ini, bahkan ia sudah wujud sejak zaman nenek moyang kita lagi. Pada zaman dahulu, dukun melayu merupakan sumber rujukan untuk menyelesaikan masalah kesihatan selain ugamawan, tabib-tabib arab, cina dan siam. Pada zaman kini, walau teknologi perubatan moden sudah semakin berkembang, namun masyarakat kita tetap juga mencari dukun untuk mengubati penyakit seperti kanser, buah pinggang dan sebagainya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pelik bukan? Zaman sudah berubah, akan tetapi pemikiran segelintir masyarakat kita masih dibelakang walhal boleh dikatakan semua orang di zaman kini, memiliki telefon pintar dan gajet canggih.

Persoalannya di sini,Mengapa bomoh, dukun dan pawang masih mendapat tempat dikalangan masyarakat kita?

dukun melayu

1. Kos rawatan yang rendah

Ramai yang berpendapat bahawa perkhidmatan dukun menawarkan kos lebih rendah berbanding rawatan moden yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Hal ini biasanya melibatkan golongan yang berpendapatan rendah mungkin kerana mereka masih belum terdedah dengan sistem insuran nyawa, takaful dan sebagainya. Ditambah pula, bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, masalah pengangkutan juga menjadi faktor menyebabkan mereka mencari dukun yang berhampiran dengan mereka.

Akan tetapi, kos rawatan dukun (bandar) di zaman sekarang bukan seperti zaman dahulu. Tiada lagi pembayaran seikhlas hati, sebaliknya kos untuk konsultansi telah ditetapkan terlebih dahulu. Ada juga dukun yang mengenakan pengeras atau bayaran sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Itu yang menjadi tanda tanya, mengapa masyarakat sanggup bayar lebih untuk perkhidmatan dukun tersebut? Ada juga yang sanggup terbang jauh merentasi negara untuk mencari dukun yang handal. Malahan, bukan dari golongan marhaen sahaja, golongan VIP pun sama.

dukun dayak

2. Tiada tindakan terus dari pihak berkuasa agama

Perkhidmatan dukun semakin popular pada masa kini walaupun sudah banyak berlaku kes penipuan yang dilaporkan oleh pihak media. Ada juga individu yang menyamar sebagai dukun semata-mata untuk mendapatkan duit yang banyak dari pesakit. Hal ini terjadi kerana tiada tindakan terus dari pihak berkuasa. Mereka hanya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat laporan dari orang ramai. Kebanyakan pesakit yang ditipu, jarang melaporkan kes-kes khurafat seperti ini membuatkan ramai dukun-dukun ini besar kepala.

raja bomoh ritual di airport

3. Taksub yang keterlaluan

Pasti anda ada kenalan yang terlalu taksub dengan kepercayaan mistik bukan? Penulis sendiri ada seorang rakan yang sentiasa membaca mantera sebelum tidur, sebelum makan dan lain-lain. Katanya nak elak perkara-perkara yang tidak diingini seperti gangguan santau. Bukan mahu menidakkan sihir, tetapi mereka-mereka ini bagaikan terlalu yaqin dengan mentera mengatasi keyakinan kepada Allah. Kan Nabi dah ajar, nak mulakan sesuatu, ucaplah "Bismillah" dan mengakhiri perbuatan dengan "Alhamdulillah".

Apabila terlampau taksub dengan perkara mistik, kebanyakan diantara mereka susah untuk percaya dengan rawatan moden. Pendirian ini agak susah untuk diubah kerana mereka sudah menanam dalam hati mereka di mana hanya dukun sahaja diperlukan untuk merawat segalanya. Selalunya, golongan ini yang sudah berumur 40an dan ke atas kerana mereka sudah biasa dari dahulu lagi mencari dukun untuk sesuatu perkara. Mungkin juga disebabkan oleh amalan nenek moyang mereka.

blood 03

4. Takut dengan rawatan moden yang serba canggih 

Terdapat pelbagai jenis rawatan moden yang ada sekarang seperti ujian darah, ujian x-ray, pembedahan dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, ada segelintir masyarakat yang takut jarum untuk membuat ujian darah. Ya, ini berlaku dalam kalangan keluarga kita juga. Mungkin disebabkan perasaan takut yang sudah sebati dalam diri mereka menyebabkan mereka lebih selesa menggunakan khidmat dukun. Kalau ke hospital, kena bedah dengan pisau dan gunting justeru meninggalkan parut. Kalau berjumpa dukun, bedah batin je. Tak perlu risau tentang parut.

tok uban dukun dayak

5. Percaya cakap-cakap orang

Seringkali berlaku keadaan di mana ada antara mereka yang mengalami gangguan jiwa seperti halusinasi dan sebagainya. Mereka lebih mudah mempercayai bahawa ada orang sudah berbuat jahat terhadap mereka ataupun disebut sebagai 'buatan orang'. Hal ini masih terjadi dalam kalangan masyarakat kita. Betapa mudahnya mereka percaya semua itu. Mungkin disebabkan sebelum ini mereka ada pertelingkahan dengan orang tertentu lalu terus menuduh bahawa orang tersebut hendak membalas dendam terhadap mereka.

Biasanya pesakit yang mengalami hal sebegini, mereka takut dikatakan mengalami masalah mental atau psikologi lalu mengambil jalan pintas berjumpa dukun untuk mendapatkan rawatan. 

bomoh bola sepak

Kesimpulan

Ternyata masih kuat pengaruhnya dukun, pawang dan bomoh terhadap kepercayaan masyarakat kita. Agak sukar untuk mengubah persepi mereka ini kerana ia melibatkan kepercayaan turun temurun. Bagi orang Islam, lebih baik berhati-hati dari terlampau taksub kerana takut ia dapat memesongkan akidah anda. Selebihnya, terpulang pada diri masing-masing untuk memilih cara bagaimana untuk merawat sesuatu penyakit. Ya, memang benar kita perlu berdoa, bertawakal dan berusaha. Namun adakah usaha yang dilakukan oleh kita berada pada landasan yang betul?

Wallahu A'lam




Hakcipta iluminasi.com (2017)