Satu dekad dahulu, kisah taktik penipuan 'putera dari Nigeria' yang memohon bantuan bagi membolehkan hartanya dilepaskan pihak berkuasa, menimbulkan kekecohan dalam masyarakat kita.
Jika difikirkan secara logik, wujud terlalu banyak kelompongan dalam kisah yang cuba diceritakan 'putera' itu, namun masih ada warga Malaysia terkena kerana kelabu mata dengan janji ganjaran lumayan ditawarkan 'putera Nigeria' tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Seorang scammer memang bijak memanipulasi psikologi mangsa, membuktikan pepatah 'orang tamak selalu rugi' besar kebenarannya. Kini 'putera Nigeria' sudah semakin kurang aktif.
Malangnya taktik penipuan kini sudah berkembang, digantikan dengan banyak taktik baru dan berbeza, bijak mempermainkan pemikiran dan logik kita sehingga ramai terpedaya.
1. Sindiket kerja sampingan mudah dengan gaji lumayan
Siapa pernah menerima tawaran kerja separuh masa di Whatsapp atau Telegram, yang memerlukan kita melanggan akaun Youtube tertentu dengan bayaran RM10 setiap satu?
Ramai yang terpesona kerana sindiket akan membayar 'khidmat' anda pada peringkat awal, meyakinkan anda apa yang anda sedang lakukan benar-benar berbaloi.
Fasa seterusnya selepas kerja-kerja mudah, peserta akan digesa menyertai skim di mana kita perlu memindahkan wang ke akaun yang ditetapkan dan akan mendapat ganjaran selepas tugasan kita selesai.
RM100 dipindahkan? Kita dapat balik RM130. RM200 kita pindahkan? Kita dapat balik RM260 dan seterusnya. Biasanya untuk dua pindahan pertama, ya memang anda akan menerima amaun yang dijanjikan.
Bila dah terjerat, sindiket melalui 'penyelia' anda akan mula mendesak agar anda melabur dengan amaun lebih besar, sehinggalah sampai ke satu tahap wang anda tidak lagi dikembalikan.
Demi melindungi kegiatan, mana-mana peserta yang gagal memberikan kerjasama untuk melabur selepas slot dibuka, akan 'dipecat' dan dikeluarkan daripada kumpulan kerana enggan memberikan kerjasama.
2. Penyamaran sebagai pihak berkuasa atau pegawai institusi
Aneh kan bagaimana lakonan kurang menjadi seorang scammer, menyamar sebagai pegawai LHDN, polis, pegawai bank, majlis perbandaran dan sebagainya, berjaya memperdayakan ramai orang?
Tetapi kita harus sedar taktik penyamaran ini kerap berjaya kerana taktik yang digunakan sindiket memanipulasi rasa bimbang yang kita ada. Apabila diserang bimbang, fikiran kita mudah hilang kewarasan, takut sesuatu yang lebih buruk menimpa kita.
Taktik ini sudah diceritakan banyak pihak.
Scammer akan menelefon mangsa, mengingatkan mangsa tentang tuntutan saman, cukai tertunggak, hutang dan sebagainya, menuntut bayaran dilakukan serta-merta sekiranya tidak mahu saman atau denda tambahan dikenakan.
Apa yang menakutkan mangsa, panggilan cubaan scam ini dibuat daripada nombor sebenar yang telah dimanipulasi menggunakan aplikasi, untuk menukarkan nombor yang akan tertera kepada pejabat atau badan tertentu.
Untuk menyelesaikan masalah ini, hanya kesedaran orang ramai mampu membanteras masalah ini. Pihak kerajaan dan berkuasa tidak akan sama sekali menelefon kita untuk urusan melibatkan bayaran, sebaliknya akan hadir sendiri atau mengirimkan notis atau surat rasmi bagi memaklumkan kepada kita.
3. Log masuk di laman/aplikasi palsu
Di antara banyak jenis penipuan, taktik log masuk laman palsu mungkin sukar untuk dikenalpasti kerana kita tidak berinteraksi dengan manusia scammer.
Sebaliknya kita hanya akan menerima mesej atau emel yang meminta kita log masuk ke satu pautan yang dikongsikan. Pautan itu pula dihubungkan dengan aplikasi atau laman web yang direkabentuk agar menyerupai laman web rasmi, khususnya laman web perbankan.
Selepas menekan pautan palsu, mangsa yang gopoh akan terus memasukkan nama akaun dan kata laluan, membolehkan data tersebut direkodkan ke dalam sistem maklumat scammer.
Dalam menangani taktik yang cukup licik ini, kesedaran kita tentang antaramuka aplikasi perlu ditingkatkan. Semak dahulu dengan teliti alamat laman web yang anda buka. Ini kerana scammer walaupun bijak menggunakan alamat yang mirip dengan laman rasmi sebenar, pasti ada kelainannya yang sebenarnya sangat mudah dihidu.
Sebagai contoh, laman rasmi Maybank alamatnya adalah www.maybank2u.com.my.
Scammer mungkin menggunakan alamat seperti www.campaignmay2u.com. Nampak sama seimbas lalu tetapi jika kita cakna, mudah saja untuk mengenalpastinya.
4. Muat turun aplikasi palsu
Bagi mangsa, ini mungkin taktik paling sukar dikesan.
Kadangkala seseorang tak tahu pun apa yang berlaku kerana semuanya terjadi di belakang tabir.
Taktik ini pernah menggemparkan masyarakat kita selepas ramai pengguna aplikasi dalam talian kehilangan duit mereka, selepas memuat turun aplikasi ke telefon bimbit berkait dengan pesanan perkhidmatan pembantu rumah.
Dengan judul aplikasi yang mengelirukan kerana mirip perkhidmatan sebenar, pengguna mengandaikan mereka sedang melakukan pesanan khidmat pembantu rumah dan diminta membuat pembayaran.
Laman aplikasi palsu akan memaparkan tingkap transaksi yang memerlukan pengguna mengisi nama akaun dan kata laluan, lalu aplikasi itu boleh merekodkan dan menghantar data kepada pengendalinya. Selepas mendapat maklumat yang diinginkan, penipu akan cuba melakukan pemindahan wang.
Sekali lagi aplikasi yang sudah dipasang mampu membaca SMS yang berisi nombor TAC, juga akan dihantar ke penipu yang bertugas.
Biasanya taktik ini sangat berkesan ke atas pengguna yang mudah tertarik dengan tawaran perkhidmatan yang murah berbanding biasa, biasanya pengguna ditawarkan kos dengan diskaun hampir 50% berbanding stanbard.
Jadi jangan mudah sangat terpedaya dengan tawaran murah serta pantas sangat memuat turun aplikasi, tanpa benar-benar memeriksa sumbernya.
5. Taktik scam barang COD
Taktik ini semakin kerap dilaporkan berlaku, khususnya melibatkan warga tua yang dijadikan sasaran.
Mengambil peluang atas popularitimembeli belah dalam talian, wujud kumpulan peniaga/penipu menggunakan kaedah Cash on Delivery atau Bayar Ketika Terima, bagi 'memaksa' penerima mengeluarkan wang untuk mendapatkan barang yang tiba di kediaman mereka.
Anehnya, barang yang dihantar berasal daripada pelbagai jenis kedai berbeza yang memang beroperasi secara sah. Namun bila dihubungi mereka langsung tidak tahu menahu tentang penghantaran yang telah berlaku.
Di pihak penerima pula, ramai terpedaya disebabkan informasi yang tepat terkandung pada bungkusan. Nama kita, alamat kita dan nombor telefon kita semuanya sahih. Kita sebagai pengguna mungkin mengandaikan ada individu dalam isi rumah kita melakukan pesanan, jadi tidaklah kisah untuk mengeluarkan bayaran.
Hanya selepas diselidik dan barang ada dalam tangan barulah kita tahu pesanan tak pernah dibuat, penghantarnya sendiri tak tahu dan mungkin hanya ada kertas-kertas kosong atau batu dalam bungkusan.