Sekali-sekala, kita semua memerlukan sedikit masa untuk berehat dan menenangkan minda serta badan daripada tekanan seharian. Pulau adalah salah satu tempat terbaik untuk melakukannya.

Pulau sentiasa menjadi pilihan pelancong untuk menghabiskan masa cuti mereka. Ini kerana imej pulau yang dikelilingi pantai dan laut membuatkan keadaan begitu menenangkan dan damai. Namun, beberapa pulau di dunia mempunyai kisah unik berbanding yang lain.

Dari mutasi genetik sehingga flora dan fauna yang tidak pernah anda dengar sebelum ini, pulau-pulau ini sememangnya menarik dan mungkin tidak pernah anda dengar sebelum ini. Berikut adalah senarai 10 pulau paling unik dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Pulau Solomon - Mutasi genetik

Kira-kira 10% penduduk pulau yang terletak di Lautan Pasifik Selatan ini dilahirkan dengan rambut perang secara alami walaupun berkulit gelap. Fenomena ini dianggap sebagai mutasi kerana diet ikan mereka. Sesetengah penduduk tempatan percaya mereka mewarisi genetik daripada penjelajah dan pedagang Eropah.

Namun, kajian yang dilakukan oleh Stanford Universiry menafikan dakwaan itu. Mereka mendakwa genetik rambut perang penduduk Pulau Solomon berbeza dengan genetik rambut perang di Eropah. Penyelidik telah mengkaji 1,000 sampel air liur penduduk dan mendapati bahawa penyebab kepada rambut perang ini disebabkan oleh gen yang dipanggil "TYRP1". (sumber)

2. Pulau Okunoshima - Pulau Arnab dan senjata kimia

pulau arnab okunoshima

Terletak berhampiran bandar Takehara, Hirosima, terdapat sebuah pulau yang menjadi rumah kepada beribu-ribu ekor arnab. Pulau Okunoshima ini adalah destinasi popular bagi pencinta haiwan dan pelancong dibenarkan bermain dengan arnab di sini.

Ketiadaan pemangsa semula jadi membuatkan populasi haiwan ini semakin meningkat dan ia begitu jinak. Namun, syurga arnab ini mempunyai sejarah hitam. Pulau Okunoshima pernah menjadi tempat untuk menghasilkan senjata kimia ketika WW2. Apabila peperangan berakhir, kerajaan telah menutup program itu dan mengharamkan haiwan lain untuk tinggal di pulau itu selain arnab. (sumber)

3. Pulau Pheasant - Tukar negara setiap 6 bulan

pulau pheasant 164

Walaupun mempunyai keluasan 200 meter panjang dan 40 meter lebar, Pulau Pheasant adalah salah satu tempat yang unik di dunia. Pulau kecil ini terletak di Sungai Bidasoa di sempadan negara Perancis dan Sepanyol.

Menurut Perjanjian Pyrenees, pulau ini beara di bawah kedaulatan bersama Perancis dan Sepanyol. Pulau yang tidak didiami ini menukar kedaulatannya setiap enam bulan sekali. Dari 1 Februari hingga 31 Julai, ia berada di bawah pentadbiran Sepanyol dan dari 1 Ogos hingga 30 Januari, ia ditadbir oleh Perancis. (sumber)

4. Pulau Yap - Matawang terbesar dunia

matawang pulau yap

Pulau Yap adalah sebahagian daripada Negeri Persekutuan Mikronesia di Lautan Pasifik. Apa yang menarik mengenai pulau ini adalah matawang yang digunakan mereka daripada batu-batu besar berbentuk donat.

Batu-batu ini dilombong di Pulau Palau yang terletak berhampiran dan dibawa ke Pulau Yap menggunakan rakit dan kanu. Disebabkan kekurangan batu kapur di Pulau Yap, batu-batu ini dianggap bernilai. Memandangkan matawang mereka ini terlalu berat, mereka membuat transaksi melalui perjanjian sahaja sehingga hari ini. (sumber)

5. Pulau Galapagos - Haiwan tanpa rasa takut

pulau galapagos

Pulau Galapagos sering dirujuk sebagai "makmal hidup". Ia disebabkan oleh hidupan liar yang aneh di sini dan menarik perhatian penyelidik dari seluruh dunia. Pulau yang terletak kira-kira 600 batu dari tanah besar Equador ini didiami oleh pelbagai haiwan yang begitu jinak dan tidak menunjukkan sebarang rasa takut pada manusia.

Charles Darwin adalah salah seorang pelawat pulau ini yang terkejut dengan keadaan itu. Haiwan-haiwan di situ mungkin mengalami mutasi tiada rasa takut kerana ketiadaan haiwan pemangsa di pulau itu. Namun, alasan sebenar mengapa haiwan di sana begitu jinak masih lagi dikaji dan diperdebatkan. (sumber)

6. Pulau Hans - Pulau rebutan yang lucu

pulau hans

Pulau Hans terletak di Selat Nares yang memisahkan Greenland iaitu wilayah autonomi Denmark daripada Canada. Pulau kecil ini hanya bersaiz setengah batu persegi sahaja. Menurut undang-undang antarabangsa, setiap negara mempunyai hak untuk menuntut mana-mana wilayah yang terletak dalam jarak 12 batu dari pantai. Itulah mengapa pertikaian pulau ini masih belum diselesaikan.

Biasanya, perebutan wilayah melibatkan senjata dan perperangan tetapi kedua-dua negara telah menemui cara yang lebih kelakar untuk perselisihan mereka.

Apabila Denmark melawat pulau itu, mereka meninggalkan sebotol arak buatan Denmark kepada warga Canada. Apabila tentera Canada melawat pulau itu pula, mereka melakukan perkara sama dengan meninggalkan arak buatan Canada untuk Denmark. Perkara ini telah berlanjutan selama lebih dari tiga dekad. (sumber)

7. Pulau Pingelap - Pulau Buta Warna

pulau pingelap

Gambaran yang dilihat orang buta warna sepenuhnya 

Pulau Pingelap terletak di Lautan Pasifik. Apa yang menarik mengenai pulai Mikronesia ini adalah 10% daripada penduduknya mengalami buta warna sepenuhnya. Kondisi kesihatan ini dikesan daripada seorang raja yang merupakan pembawa gen ini pada abad ke-18. Ketika taufan melanda pulau ini, raja itu adalah salah seorang daripada 20 penduduk yang terselamat.

Keadaan buta warna sepenuhnya ini biasanya berlaku antara 1 dalam 33,000 orang tetapi peratusan penduduk pulau ini yang mengalaminya adalah tertinggi.

Keadaan yang digelar achromatopsia ini membuatkan penghidapnya mengalami kesukaran melihat pada waktu siang tetapi boleh melihat dalam keadaan gelap lebih baik daripada orang lain. Sebab itu kebanyakan orang di pulau ini menggunakan kelebihan mereka untuk menangkap ikan pada waktu malam. (sumber)

8. Pulau La Gomera - Pulau Bahasa Siulan

Salah satu penduduk asli di pulau ini menggunakan 'Bahasa Siulan' atau dikenali sebagai 'Siblo Gomero' untuk berkomunikasi dalam jarak yang jauh. Oleh kerana bunyi siulan yang kuat, ia lebih mudah untuk menyampaikan mesej melalui rupa bumi yang sukar di pulau itu.

Bahasa Siulan ini dipercayai wujud lama sebelum kedatangan penjajah Sepanyol pada kurun ke-16. Malangnya, bahasa yang begitu unik ini telah semakin dilupakan apabila teknologi seperti telefon diperkenalkan. Pada tahun 2009, UNESCO telah mengisytiharkan Bahasa Siulan ini sebagai Warisan Mulut Manusia yang semakin pupus. (sumber)

9. Pulau Falkland - Dipenuhi penguin dan periuk api

pulau falkland

Semasa pencerobohan Falkland pada tahun 1982, tentera Argentina telah menanam sebanyak 30,000 periuk api untuk menghentikan jajahan tentera British. Walau bagaimanapun, pihak British berjaya mengekalkan penguasaan mereka. Usaha untuk membuang periuk api telah dilakukan tetapi disebabkan kecederaan dan kematian yang banyak, mereka menghentikan operasi itu.

Sebarang lawatan ke kawasan periuk api telah diharamkan. Kini, ia dikuasai oleh penguin Gentoo dan Magellanic. Apa yang menariknya, penguin-penguin ini tidak cukup berat untuk meletupkan periuk api yang ditanam walaupun terpijak salah satu daripadanya. (sumber)

10. Pulau Fadiouth - Pulau Cengkerang

pulau fadiouth

Apabila anda datang ke pulau ini, anda tidak akan merasakan pasir apabila berjalan di sepanjang pantai. Ini kerana pulau di Senegal ini dipenuhi dengan cengkerang haiwan laut. Pulau yang digelar sebagai Pulau Cengkerang ini mempunyai cengkerang sejak dari beberapa generasi terdahulu lagi.

Cengkerang di sini bukan sahaja memenuhi pesisir pantai tetapi menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk. Cengkerang ditanam dalam dinding-dinding rumah, dijadikan hiasan perkuburan penduduk dan banyak lagi. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)