Kredit foto: Instagram Nur Sajat
Usahawan sensasi, Nur Sajat Kamaruzzaman meminta agar semua pihak tidak campur tangan dan menghormati privasinya berhubung isu identiti jantinanya yang menjadi bualan hangat ketika ini.
Lagi pula, dia sudahpun memberikan komitmen sekaligus mendedahkan identiti jantinanya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini.
Menurutnya, beliau dan kedua ibu bapa membuat pendedahan itu sewaktu pertama kali berjumpa Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof di Wisma Nur Sajat, Shah Alam pada 16 Januari lalu.
"Saya sudah memberikan kerjasama yang baik dan menjelaskan identiti sebenar saya kepada Dr Izwan dalam pertemuan yang diatur kali pertama.
"Ibu bapa saya juga sudah memberi keterangan dan menjawab segala persoalan mengenai identiti saya kepada dia. Saya mohon tiada lagi pihak cuba mengeruhkan keadaan.
“Berilah saya ruang untuk fokus terhadap perniagaan yang diusahakan. Saya tidak mahu publisiti murahan ini," katanya.
Sementara itu, Sajat tidak mahu menjawab mengenai 'identiti' yang didakwa telah didedahkannya itu.
"Saya tidak pernah berubah. Saya masih Sajat yang sama. Semuanya sudah saya kongsikan dengan wakil JAKIM," katanya.
Terdahulu, Mohd Izwan memaklumkan proses mengenalpasti identiti jantina Sajat akan berlarutan lebih lama kerana ada pihak ketiga yang cuba menghalang mereka.
Namun pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim ini turut menegaskan sikap komited mereka untuk menyudahkan proses berkenaan demi meleraikan persoalan yang bermain di minda masyarakat.
Diminta mengulas mengenai halangan daripada pihak ketiga, Sajat bagaimanapun enggan memberi jawapan kerana tidak mahu terus menjadi perhatian.
"Maaf. Saya tidak mahu komen lanjut. Cukuplah saya sudah memberikan kerjasama yang baik dengan Jakim.
"Malah kami juga sudah menjalin persetujuan. Biarlah apa yang dibincangkan hanya kami saja yang tahu," katanya.
Pada 19 Januari lalu, Mohd Izwan menyatakan persetujuan yang telah dicapai oleh pihaknya bersama Sajat untuk pengesahan identiti usahawan itu. Proses berkenaan dikatakannya bakal mengambil masa dalam tempoh minimum sebulan.
Sumber berita: Harian Metro