Kepulauan Galapagos adalah kepulauan gunung berapi dan merupakan sebahagian daripada Rebublik Ecuador. Pulau-pulau ini dikenali dengan spesies haiwan khusus yang hanya terdapat di sini sahaja. Kepulauan Galapagos ini pernah dikaji oleh Charles Darwin semasa pelayaran kedua HMS Beagle. Charles Darwin menggelarkan Kepulauan Galapagos sebagai "dunia kecil".
BESARKAN TEKS A- A+
Salah satu haiwan unik yang berada di kepulauan ini ialah Kura-kura Galapagos. Kepulauan ini diberi nama sempena haiwan ini. Namun, ia menghadapi risiko kepupusan. Untuk menyelamatkan spesies unik ini, para pengkaji telah memikirkan cara pemuliharaan yang baru dan bukan secara semulajadi.
Kura-kura Galapagos ini hidup di merata tempat di kepulauan ini dan ia boleh mencapai berat melebihi 220 kg. Kebanyakan daripada kura-kura ini hidup lebih daripada 100 tahun lamanya. Menjelang akhir kurun ke-20, jumlah makhluk ikonik ini semakin menurun daripada 100,000 ekor kepada hanya 15,000 sahaja yang dianggarkan masih hidup. Punca kepada kemerosotan yang dikenal pasti adalah disebabkan oleh kambing.
Permulaan Projek Isabela
Kambing mula tiba di Kepulauan Galapagos ini pada kurun ke-16 dan 17 apabila ditinggalkan oleh penjajah, pedagang, pemburu paus dan lanun. Lama-kelamaan angka mereka menjadi berlipat kali ganda.
Menjelang tahun 1990-an, kira-kira 250,000 kambing melata di seluruh kepulauan itu. Mereka makan hampir semua tumbuhan yang terdapat di pulau-pulau itu. Akibatnya, jumlah Kura-kura Galapagos mula menunjukkan penurunan.
Hal ini juga telah membimbangkan ahli alam sekitar, ahli pemeliharaan dan pakai biologi evolusi. Mereka cuba memikirkan cara bagaimana untuk menyelamatkan kura-kura ini daripada pupus akibat jumlah kambing yang banyak.
Pelbagai cara cuba diketengahkan, antaranya ialah dengan menempatkan singa di pulau-pulau ini untuk menjadikan jumlah kambing lebih seimbang. Akhirnya, mereka memutuskan untuk melakukan perkara paling mudah iaitu dengan menyembelih dan membunuh kambing-kambing di situ.
Selepas bertahun-tahun lamanya berdebat dan merancang, Galapagos Conservansy (dulu dikenali sebagai Charles Darwin Foundation) memulakan Projek Isabela iaitu pembasmian sistematik semua kambing, babi liar dan keldai di pulau-pulau utama Galapagos.
Projek itu bermula dengan pemburuan darat, tetapi akhinya pasukan itu menggunakan helikopter dan penembak tepat dari New Zealand. Salah seorang daripada penembak tepat telah menerangkan kepada Radio Lab WNYC, prosedur biasa adalah untuk menempatkan penembak di kedua-dua sisi helikopter. Mereka akan menghambat kambing-kambing itu menjadi satu kawanan yang banyak, kemudian melepaskan tembakan rambang.
Kambing Judas
90 peratus daripada kambing di pulau itu telah dibunuh hanya dalam tahun pertama Projek Isabela itu dilancarkan. Akan tetapi, masih terdapat beribu-ribu ekor lagi kambing yang masih ada dan mereka kini menjadi takut apabila mendengar bunyi helikopter, membuatkan mereka membiak di tempat tersembunyi.
Untuk itu, pasukan Projek Isabela mula melakukan pencarian kambing yang mereka gelar sebagai "Kambing Judas". Menurut catitan Kitab Injil, Judas Iscariot adalah individu yang membelot kepada Jesus dengan mendedahkan identiti Jesus kepada mereka yang sedang memburu Jesus.
Pasukan Projek Isabela akan menangkap kambing betina yang digelar Kambing Judas, ditanda dengan peranti penjejak GPS dan kemudian dilepaskan semula untuk mencari kawanan kambing yang bersembunyi.
Setelah itu, penembak tepat akan menaiki helikopter dan mula mengesan Kambing Judas yang bersembunyi bersama kawanannya. Para penembak itu akan membiarkan Kambing Judas hidup untuk melakukan proses yang sama. Pasukan projek ini berjaya menggunakan hampir 900 ekor Kambing Judas dalam tempoh beberapa tahun.
Adakah Projek Isabela berhasil?
Projek Isabela itu sememangnya berhasil. Menurut Galapagos Conservancy, pulau-pulau utama di situ diisytiharkan bebas daripada mamalia besar seperti kambing, babi liar dan keldai. Tumbuh-tumbuhan dimusnahkan oleh 250,000 kambing itu kini mula tumbuh semula dan Kura-kura Galapagos bertahan.
Apa yang anehnya, Projek Isabela itu menguatkan lagi teori pemilihan semulajadi yang dikembangkan oleh Darwin di Kepulauan Galapagos walaupun kambing bukanlah haiwan yang berasal dari situ.
Akan tetapi, kambing-kambing itu telah tinggal di sana selama ratusan tahun dan pada masa yang sama, mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik serta berkembang sementara kura-kura pula kelihatan terasing dan terancam.
Kura-kura di kepulauan ini malah bergantung kepada campur tangan manusia dengan menggunakan senjata pemusnah dan helikopter. Isu ini masih menjadi perdebatan hangat sehingga kini dikalangan ahli sains. Adakah tindakan campur tangan manusia sebegini adalah perlu hanya untuk menyelamatkan satu spesies sahaja?
Rujukan:
2. Radiolab
3. Galapagos