Oleh pada 22 Jun 2021 kategori

Sebagai presiden kepada salah satu negara termiskin di dunia iaitu Burkina Faso, Thomas Sankara mahu melakukan perubahan supaya ekonomi negara dan kebajikan rakyatnya lebih terjamin.

Sankara mempunyai cita-cita tinggi dan berpandangan jauh. Banyak perubahan dilaksanakan dalam masa yang singkat ketika beliau memerintah. Sankara merupakan seorang pemimpin yang amat disayangi rakyatnya. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malangnya, beliau meninggal dunia pada usia 38 tahun dalam satu rampasan kuasa yang dirancang oleh rakan baiknya sendiri. Berikut adalah kisah Thomas Sankara.

Siapakah Thomas Sankara?

Thomas Sankara dilahirkan pada 21 Disember 1949 di Yako, Upper Volta (nama yang diberikan penjajah Perancis sebelum ditukar kepada Burkina Faso).

Ibu bapanya mahu Sankara menjadi seorang paderi Kristian tetapi beliau memilih untuk menyertai tentera. Pada tahun 1970, beliau dihantar untuk latihan ketenteraan di Madagascar di mana beliau menyaksikan pemberontakan pelajar dan buruh yang berjaya menggulingkan kerajaan negara itu.

Sankara kemudian menyertai akademi payung terjun di Perancis dan ketika di sana beliau lebih terdedah kepada ideologi politik sayap kiri. Pada 1974, beliau menjadi perhatian atas keberaniannya dalam peperangan dengan Mali.

Pada awal 1980-an, banyak pemberontakan dan rampasan kuasa kudeta yang berlaku di Upper Volta. Sebagai pegawai tentera yang popular, Sankara mempunyai potensi untuk memimpin pasukan tentera yang menguasai negara.

thomas sankara guitar

Namun, pemimpin tentera ketika itu dilihat tidak sehaluan dengan pemikiran Sankara yang antikan penjajah. Ini menyebabkan beliau ditahan dan dipenjara beberapa kali.

Pada 4 Ogos 1983, rakan karib Sankara iaitu Blaise Compaore telah memimpin sebuah kumpulan untuk membebaskannya daripada tahanan dan menggulingkan rejim yang diketuai Jean-Baptiste Ouedraogo.

Mereka telah membentuk Majlis Nasional Revolusi dengan Sankara sebagai presidennya. Ini sekaligus menjadikan Sankara pemimpin Upper Volta yang kemudian ditukar namanya kepada Burkina Faso.

Presiden berjiwa rakyat

Ketika menjadi presiden, Sankara melancarkan program vaksinasi besar-besaran bagi menangani wabak polio, meningitis dan demam campak. Kadar kematian kanak-kanak menurun dengan ketara ketika zaman pemerintahannya.

Burkina Faso ditukar sebagai negara pertanian agar negara itu mampu menampung keperluan makanan sendiri. Sankara berusaha meningkatkan hasil pengeluaran tempatan dan mempromosikan produk Burkina Faso kepada negara luar.

Selain kesihatan dan ekonomi, beliau juga menitikberatkan bidang pendidikan di negaranya. Dia telah membuka ribuan sekolah dan pusat pembelajaran agar rakyatnya tidak tercicir dalam pelajaran.

Bahkan, beliau juga mula melantik kaum wanita untuk memegang jawatan penting dalam negara yang dimonopoli oleh kaum lelaki.

kereta renault 5

Kereta Renault 5 yang dinaiki presiden Sankara

Sankara membuktikan dirinya bekerja untuk rakyat apabila hanya menerima gaji sebanyak RM 1,900 sebulan. Malah, semua aset yang dimilikinya juga diumumkan kepada awam.

Beliau juga menjual semua kereta Mercedes untuk kakitangan kerajaan dan menggantikannya dengan kereta Renault 5 (kereta paling murah dijual di Burkina Faso ketika itu).

Ribuan kakitangan kerajaan yang korup telah dibicarakan. Mereka akan dipenjara atau dibuang kerja setelah didapati bersalah. Sankara mendapat jolokan sebagai "Che Guevara Afrika".

Musuh dalam selimut

Sankara juga menolak bantuan dari negara luar seperti Dana Kewangan Antarabangsa kerana beranggapan bantuan dari barat sering disertai dengan muslihat atau agenda tertentu.

Malah, Sankara membangunkan projek perumahan, jalan raya dan landasan kereta api di seluruh negara tanpa bantuan kewangan dari luar.

Beliau juga menyeru negara-negara benua Afrika lain agar berdikari dan membebaskan diri daripada cengkaman barat. Ketika itu, banyak negara-negara Afrika yang terpaksa membayar "hutang" kepada bekas penjajah.

thomas sankara berucap

Penjajah memberi alasan bahawa mereka kerugian dalam industri perhambaan setelah memberi kemerdekaan kepada negara yang dijajah mereka.

Disebabkan itu, Sankara mempunyai ramai musuh. Majoriti "musuh dalam selimut" adalah mereka yang mempunyai kepentingan dengan kapitalis barat yang ditolak Sankara.

Antara musuhnya adalah ketua-ketua suku kaum di Burkina Faso yang sebelum ini mempunyai kelebihan menggunakan buruh paksa dan mengutip cukai.

Ditikam dari belakang

Walaupun disayangi rakyatnya, Sankara tidak terkecuali berhadapan dengan pemberontakan kecil dan tunjuk perasaan oleh beberapa kumpulan di negaranya.

Kemuncaknya, berlaku satu rampasan kuasa pada 15 Oktober 1987. Ketika itu, Sankara berada di kediaman presiden untuk mempengerusi satu persidangan bersama para menterinya.

Sebelum bermulanya persidangan, mereka terdengar tembakan mesingan. Para menteri lain menjadi panik tetapi Sankara menyuruh mereka bertenang sambil berkata "mereka hanya mahukan saya".

Sankara keluar dari bilik persidangan sambil mengangkat tangan di atas kepalanya dan mendapati semua pengawalnya sudah mati ditembak. Satu pasukan tentera yang siap bersenjata kemudian menembak Thomas Sankara sehingga mati.

blaise compaore

Blaise Compaore

Apa yang menyedihkan, rampasan kuasa itu didalangi oleh rakan karib dan sekutu terdekatnya sendiri, Blaise Compaore, yang sudah tidak percayakan revolusi dibawa Sankara.

Pada malam hari yang sama, Blaise Compaore ditabalkan sebagai presiden Burkina Faso yang baru. Dia menyatakan bahawa Sankara mati akibat faktor semula jadi dan menghalang siasatan dilakukan.

Wira yang disanjung

Pada tahun Oktober 2014, kerajaan yang dipimpin Compaore telah digulingkan rakyat. Compaore telah meletakkan jawatan dan melarikan diri ke Ivory Coast

Buat pertama kalinya pada April 2021, mahkamah tentera di Burkina Faso membuka kertas pertuduhan terhadap Compaore yang menjadi perancang pembunuhan Thomas Sankara. 

Walaupun lebih tiga dekad setelah kematiannya, Sankara masih dilihat sebagai wira terutamanya bagi mereka yang menggulingkan rejim Blaise Compaore. Kebanyakan orang melihat Sankara sebagai ikon kepada golongan muda di Afrika.




Hakcipta iluminasi.com (2017)