Oleh pada 23 Jun 2020 kategori

Pada tahun 2006, 12 orang pegawai daripada unit 551 Polis Tentera menerima arahan ditugaskan di Baghdad, Iraq.

Mereka menyangkakan tugasan terbaru itu lebih mencabar, berkat latihan pertempuran yang telah dialani. 12 anggota terpilih yang terpilih masih layak dikatakan muda, berusia lewat 20-an, paling tua belum mencecah 40-an.

Di Iraq, mereka di bawa ke sebuah rumah agam besar mengandungi sebuah penjara buatan, menempatkan seorang individu di dalamnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kesemua 12 pegawai yang ada tidak menyangka sama sekali tugasan terbaru mereka adalah untuk mengawal tindak tanduk lelaki nombor satu buruan kerajaan Amerika Syarikat ketika itu, yang telah berjaya ditangkap.

Duduk di depan mereka Presiden kelima Iraq, Saddam Hussein Abdul Majid al-Tikriti yang lebih dikenali dengan nama Saddam Hussein.

Pasukan Super 12 - 'warden' penjara khas Saddam

istana rumah agam saddam hussein baghdad

Arahan yang mereka terima ringkas - mereka perlu melindungi dan memastikan keselamatan Saddam Hussein, sepanjang proses perbicaraan yang pada ketika itu sudah masuk fasa terakhir.

Jiwa muda yang ada dalam diri pegawai yang ditempatkan di rumah agam itu pada mulanya memberontak.

Mereka menjangkakan mereka akan diberikan tanggungjawab menjalankan operasi bersenjata.

Bukannya duduk mengawal penjara bagai penjaga zoo, yang setiap masa perlu memerhatikan haiwan jagaan mereka,

Apatah lagi menjaga buruan kerajaan Amerika Syarikat yang pada ketika itu sedang berhadapan dengan perbicaraan, dakwaan dan tuduhan, selepas ditangkap dalam operasi pada penghujung tahun 2003.

Rasa benci sudah pastilah meluap-luap.

Bagaimanapun, tiada siapa menyangka diktator kejam yang ada di depan mereka - nyata jauh berbeza dengan individu yang dikhabarkan dalam media.

Saddam Hussein yang mesra dan suka berbual

saddam hussein selepas ditahan

Salah satu hobi utama Saddam Hussein ketika dipenjarakan di rumah agam miliknya sendiri, adalah menghisap curut Cuba.

Beliau gemar menceritakan pengalaman belajar menghisap curut daripada rakan rapatnya Presiden Cuba, Fidel Castro.

Saddam banyak menghabiskan masa menulis, dibekalkan peralatan pen dan kertas bagi membolehkan dia menurunkan buah fikirannya.

Dua nama seringkali disebutkan Saddam sebagai idola beliau dalam penulisan; Fyodor Dostoevsky, seorang penulis Russia abad ke 19 yang terkenal sebagai penulis cerpen dan novel serta Naguib Mahfouz, salah seorang penulis kontemporari literatur Arab abad ke 20.

Pengawal-pengawal Saddam juga kerap menceritakan bagaimana Saddam menghabiskan masa menjaga tumbuhan yang ada dalam kurungannya dengan teliti, amat gemarkan gula-gula dan manisan serta suka mendengar radio, khasnya lagu nyanyian penyanyi Mary J. Blige.

Apa yang menarik, Saddam juga tidak lokek berkongsikan pengalamannya membesarkan keluarga kepada petugas Super 12 yang ada.

Salah satu kisah yang kerap kali diulang-ulang, adalah bagaimana Saddam mengakui dia pernah membakar kesemua kereta milik anaknya yang bermasalah Uday, selepas kecuaiannya mengendalikan senjata api menyebabkan kematian beberapa individu lain termasuklah ahli keluarga sendiri.

Pengalaman menyaksikan depan mata ketawa Saddam mengenang kembali insiden tersebut, terus dikenang pengawal Super 12.

Kemesraan yang terjalin hasil daripada banyak meluangkan masa bersama mula menyebabkan mereka jadi lebih rapat.

Ada anggota Super 12 yang menyamakan Saddam Hussein dengan watak Dracula dalam siri kanak-kanak Sesame Street, ekoran gaya ketawa yang serupa.

Sahabat sebelum dihukum mati

saddam hussein dibicarakan dimahkamah 607

Walaupun banyak kisah-kisah mesra berkaitan dengan Saddam dan pasukan ditugaskan mengawalnya, ceritanya bukan bermula dengan indah.

Pada hari pertama mereka mula ditugaskan mengawal Saddam, salah seorang dari Super 12 mencadangkan agar mereka terus membunuh saja Saddam di situ, bagi memendekkan cerita.

Ada juga yang cuba mendapatkan kelulusan untuk dipindahkan kepada unit lain, merasakan tugasan untuk menjaga Saddam hanyalah satu perkara yang membuang masa dan tenaga mereka.

Namun lama-kelamaan, sikap baik Saddam yang senantiasa menghormati kesemua 12 pengawal mencairkan hati mereka yang ada.

Saddam dikatakan tidak memaparkan sifat seorang diktator, sebaliknya menghormati pengawal sama seperti orang berpangkat lain yang keluar masuk hadir menemui dia dipenjaranya.

Sikap yang ditunjukkan Saddam dalam penjara nyata amat berbeza dengan kelakunya di mahkamah, di mana dia menggunakan karismanya untuk memberikan ucapan-ucapan keras, mempertahankan diri daripada dakwaan yang dikenakan.

Bagaimanapun mereka semua tahu hubungan yang terjalin ada pengakhirnya.

Pada 5 November 2006 selepas perbicaraan panjang, Mahkamah Iraq mendapati Saddam Hussein telah melakukan jenayah ke atas kemanusiaan - dijatuhi hukuman penjara gantung sampai mati.

Detik terakhir Saddam Hussein bersama Super 12

saddam hussein perbicaraan mahkamah

Pada sambutan Hari Raya Aidil Adha 30 Disember tahun 2006, Saddam Hussein dijadualkan akan menjalani hukumannya. 

Ini bermakna Super 12 sudah pun menjalani rutin harian bersama Saddam selama lebih 4 bulan.

Tiba detik beliau perlu dibawa ke pusat di mana hukuman akan dilaksanakan, Saddam Hussein dikatakan mengumpulkan kesemua ahli pengawal yang ada lalu mengucapkan terima kasih pada setiap anggota yang ditugaskan di situ melindunginya setiap hari turun naik mahkamah.

Sebagai cenderahati dan tanda peringatan, jam tangannya dibuka dan diberikan kepada salah seorang petugas - yang enggan menerimanya, bimbang perasaan bergolak makin dirasai.

saddam hussein bilik kurungan

Salah seorang pengawal menyatakan dalam rekod; amat sukar untuk kita mengenali seseorang dalam satu tempoh dan akhirnya perlu menghantar beliau menjalani hukuman mati; selepas semua pengalaman yang telah dilalui bersama.

Pasukan Super 12 ditugaskan untuk mengawal Saddam semasa di bawa ke Camp Justice yang terletak di daerah Kazimain, bahagian utara Baghdad.

Tibanya di sana, tugas Super 12 berdepan huru-hara akibat daripada keadaan kacau -bilau kumpulan anti Saddam yang hadir, sebelum Saddam berjaya diserahkan kepada petugas hukuman warga Iraq di zon selamat, menandakan tamatnya tugas mereka.

Hanya warga Iraq dibenarkan berada di dalam bilik di mana Saddam Hussein digantung.

Digantung pada hari suci umat Islam

saddam hussein digantung hukuman

Semua terpaksa menanti di luar, mendengar hukuman dilaksanakan.

Selesai hukuman dan mayatnya diturunkan untuk dibawa keluar, kumpulan penyokong anti Saddam mula meludah dan menyerang tubuh yang tidak lagi bernyawa.

Super 12 terpaksa melihat saja dari tepi figura yang kini mereka kagumi dan kenali, tidak lagi mampu berbicara lagi.

Bagi seorang petugas Super 12, tubuh kaku tidak bernyawa Saddam merupakan mayat pertama yang disaksikannya dengan mata sendiri.

saddam hussein buku memori askar

Apa yang kita tahu, sehingga ke hari ini 12 orang pengawal terakhir Saddam masih lagi dibelenggu trauma  kesan pengalaman mereka bertugas melindungi Saddam hingga ke hujung nyawanya.

Ada yang kerap melihat bayangan Saddam dalam mimpi.

Ada yang terkenang dialog yang dibual setiap hari. 

Salah seorang dari mereka bertindak menamatkan karier dalam tentera akibat pengalaman itu.

Pasukan Super 12 masih tercari-cari sebab utama untuk memahami kenapa selepas empat bulan menjaga Saddam Hussein - seorang yang sepatutnya mereka benci; akhirnya individu itu menjadi watak yang sangat mereka kagumi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)