Zaman sekarang, seksualiti merupakan satu senjata yang kerap digunakan oleh banyak pihak khasnya, wanita sendiri dalam mendapatkan apa yang mereka hajati.

Visual di papan iklan, televisyen malahan iklan di media sosial, menyelitkan unsur seksualiti sebagai daya tarikan perhatian masyarakat - sehingga wujud pepatah yang menyebut 'sex sells!'

Kita biasa dengar kisah rekaan bagaimana wanita menggunakan seksualiti mereka bagi mengelakkan diri mereka di saman, namun pernahkah anda dengar tentang sebuah kisah sejarah benar yang telah berlaku, di mana seorang wanita menggunakan tubuhnya untuk menang kes di mahkamah?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Phryne seorang pelacur kelas bangsawan

phryne menggoda xeno

Orang Greek zaman dahulu sangat terkenal agak terbuka dengan nilai seksualiti wanita zaman mereka. Kita boleh lihat sendiri ukiran-ukiran lama yang mengagungkan keindahan tubuh manusia serta lukisan mereka yang seakan-akan memuja kecantikan wanita yang ada pada zaman tersebut. Bagaimanapun, sebelum itu semua berlaku - mereka sebenarnya jarang sekali menjadikan wanita sebagai subjek. Sehinggalah wanita cantik bernama Phryne muncul.

Phryne adalah seorang wanita yang dikatakan tercantik di Greek sekitar tahun 300BC. Lahir pada tahun 371BC, nama sebenar Phryne adalah Mensarete namun dia digelarkan Phryne berikutan kulitnya yang berwarna kekuningan. Dalam bahasa Greek, Phryne membawa makna 'katak' jadi kulit katak yang berwarna kuning menjadi nama gelaran kepada beliau - satu amalan yang biasa dilakukan oleh golongan pelacur yang bekerja melayan golongan bangsawan Greek, sebagai pelanggan utama mereka.

Itulah kerja Phryne. Walaupun terkenal dengan kecantikannya, Phryne adalah seorang pelacur kelas atasan, yang digelarkan 'hetaira' pada zaman tersebut.

Bukan wanita biasa

phryne dan praxiteles

Selain daripada dikenali dengan kerjaya yang dilakukannya, Phryne juga amat terkenal dengan kepandaiannya berfikir. Dia dikenali ramai sebagai seorang wanita berdikari yang berjaya tanpa bantuan orang lain, selain daripada mempunyai kemahiran pengurusan kewangan yang baik.

Berbeza dengan wanita Greek lain sezamannya, Phryne mempunyai beberapa kelebihan besar berikutan statusnya sebagai seorang 'hetaira.' Wanita Greek ketika itu masih ramai yang mengamalkan kehidupan biasa, menguruskan keluarga serta jarang bercampur gaul dengan masyarakat walaupun mereka datang daripada keluarga bangsawan.

Golongan hetaira seperti Phryne pula diberikan pendidikan sejak muda, bagi membolehkan mereka mampu berkomunikasi dengan baik setiap kali melayani atau menemani golongan bangsawan. Oleh kerana itu, Phryne mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang falsafah dan juga sastera, seterusnya membantu meningkatkan profil Phryne dibantu dengan ramainya kenalan beliau, daripada golongan kelas atasan.

Phryne bukanlah orang susah malahan layak digelarkan sebagai wanita paling kaya yang 'berniaga' sendiri semasa zamannya, sehinggakan dia mampu mendanai banyak projek khidmat masyarakat di sekitar Athens.

Salah sebuah dinding di bandar Thebes yang runtuh memerlukan dana pembinaan semula dan Phryne sanggup mengeluarkan belanja, asalkan namanya diukir pada dinding tersebut. Tawarannya ditolak oleh majlis kerajaan ketika itu berikutan pekerjaan sebagai 'hetaira' dan dinding itu dibiarkan saja tidak dibaiki.

Kecantikan luar biasa

phryne arca kepala

Salah satu kisah yang menjadi bukti kecantikan luar biasa Phryne adalah berkenaan pembinaan ukiran tugu Dewi Aphrodite oleh pengukir legenda Greek, Praxiteles. Ukiran tersebut merupakan satu permintaan pihak Kuil Aphrodite di Knidos, bakal menjadi satu simbol penghormatan kepada Dewi Greek yang terkenal dengan kecantikannya.

Bagi memulakan kerja, Praxiteles memerlukan seorang wanita untuk dijadikan model kepada tugu tersebut. Phryne terpilih berikutan kecantikan semulajadinya yang tidak ada tolok banding ketika itu. Bertungkus-lumus Praxiteles menyiapkan dua ukiran patung Dewi Aphrodite berdasarkan tubuh Phryne, dengan keadaan satu berpakaian dan satu lagi tidak berpakaian. Hanya yang berpakaian saja diterima Kuil Aphrodite.

Tugu satu lagi yang memaparkan Aphrodite dalam keadaan tidak berpakaian pula diambil oleh orang Knidos diletakkan di bandar mereka, menjadi antara tugu paling terkenal berikutan bentuknya yang tidak ada cacat celanya walau dari mana-mana sudut pandang sekalipun.

Berikutan ukiran Praxiteles yang halus, ramailah lelaki mula menjadikan patung tersebut sebagai bahan perangsang nafsu mereka. Ini termasuklah seorang budak lelaki yang jatuh cinta dengan patung tersebut, sebelum ditangkap cuba menyetubuhi patung itu. Malu perbuatannya dikesan, budak itu membunuh diri terjun ke dalam laut.

Ukiran Dewi Aphrodite itu memulakan tren baru dalam masyarakat Greek, menyaksikan pembinaan lebih banyak tugu wanita di sekitar bandar. Praxiteles puas melihat ukirannya dikagumi ramai dan Phryne, teman wanitanya yang menjadi model pula pasti teruja melihat tubuhnya digilai ramai lelaki.

Mempesonakan mahkamah dengan...

phryne gadis greek kelas atasan

Kisah kecantikan Phryne belum berakhir begitu saja. Berikutan satu kes yang timbul, Phryne dipanggil menghadap mahkamah atas tuduhan tidak mempercayai dan menghormati agama mereka ketika itu. Tidak diketahui apa sebenarnya yang telah dilakukan Phryne sehingga dia menghadapi tuduhan seberat itu.

Selepas melalui perbicaraan yang membuktikan penolakan Phryne terhadap kepercayaan zaman tersebut, Phryne dibuktikan bersalah dan boleh menghadapi hukuman mati. Ada dua versi kisah bagaimana Phryne boleh terlepas daripada hukuman ketika itu.

Versi pertama, dengan menggunakan kecantikannya dan suaranya yang gemalai, Phryne menggenggam tangan setiap orang juri yang ada - memohon agar dia dilepaskan daripada hukuman dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.

Versi kedua pula lebih nakal.

Menyedari tidak ada jalan keluar lain, peguambela Phryne, Hypereides mengambil langkah drastik menarik jubah yang dipakai Phryne; seterusnya mendedahkan buah dadanya ada barisan juri sambil mempersoalkan:

"Adakah anda sanggup menghukum ciptaan Tuhan seindah dan sesempurna ini? Bukankah ini juga satu ciptaan Tuhan yang perlu dipelihara kita? Seandainya kita menghukum ciptaan Tuhan secantik ini, tidakkah itu juga dapat dilihat sebagai satu bentuk melanggar peraturan Tuhan?" Terpesona dengan 'keindahan' yang dinampakkan di depan mereka serta tidak mahu merosakkan ciptaan Tuhan, Phryne dilepaskan daripada dakwaan. Senang kan?

Begitulah antara kisah paling awal bagaimana kecantikan dan seksualiti seorang wanita digunakan dalam zaman purba. Bezanya tubuh Phryne digunakan untuk menyelamatkan Phryne daripada hukuman mati atau penjara. Sekarang? Kami biarkan anda berfikir menggunakan imaginasi nakal anda.

Rujukan

BBC Culture




Hakcipta iluminasi.com (2017)