Artikel ini ditulis oleh Poliklinik Az-Zaara Ampang di laman Facebook dan pihak iluminasi telah mendapat kebenaran untuk ulang siar penulisannya di laman blog ini. Semoga bermanfaat kepada semua.
Perut ibu mengandung besar dan tegang, mungkin tanda bayi ada masalah perut. Bukan sebab mengandung bayi lelaki.
Ada seorang ibu datang dengan perut yang agak besar dari sepatutnya. Baru hamil 32 minggu, tetapi perutnya agak besar dari sepatutnya. Bila ditanya, katanya sebab mengandung anak lelaki, memang perut besar sedikit mengikut kata orang tuanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Sukar mempercayai kenyataan tersebut, doktor terus melakukan beberapa pemeriksaan kepada ibu itu. Didapati air ketuban dalam kandungan ibu tersebut sangat tinggi, 28 berbanding 8-20 yang sepatutnya. Pemeriksaan lain mendapati ibu mempunyai bacaan gula yang normal, jadi dia tidak menghidap kencing manis yang biasa menyebabkan air ketuban banyak. Berat bayi dalam kandungan juga normal.
Keadaan ini menyebabkan ibu tersebut dirujuk kepada Pakar Sakit Puan.
Semasa temujanji dengan pakar, ujian ultrasound dilakukan sekali lagi dan menunjukkan jumlah air ketuban yang tinggi. Dan pemeriksaan lanjut juga mendapati struktur perut bayi yang tidak normal. Laluan dari perut ke usus kecil adalah sangat sempit dan kelihatan seperti tiada laluan langsung. Doktor pakar tersebut menerangkan kepada ibu tentang keadaan tersebut, keadaan itu berkemungkinan besar adalah apa yang disebut Duodenal Atresia.
Duodenal atresia adalah satu keadaan dimana pembentukan saluran makanan yang menghubungkan perut ke usus kecil tidak terbentuk dengan sempurna, menyebabkan laluan tersebut menjadi tersumbat. Oleh kerana itu, bayi tidak dapat menelan air ketuban menyebabkan air ketuban menjadi banyak dalam rahim ibu.
Secara normalnya, bayi akan menelan air ketuban dalam kuantiti tertentu dan menyebabkan jumlah air ketuban sentiasa dalam keadaan normal. Namun itu tidak berlaku dalam kes seperti ini.
Komplikasi akibat polyhydramnios (air ketuban yang banyak) tadi adalah seperti, risiko bersalin awal, jadi pemantauan rapi perlu dilakukan.
Selepas lahir pula, bayi akan dipantau dan jika disahkan mengalami Duodenal Atresia, pembedahan perlu dilakukan dalam beberapa hari pertama dilahirkan dan perlu berada dalam NICU untuk jangka masa yang lama.
Kami doakan ibu tersebut tabah dengan dugaan ini.