Menurut Encyclopedia Britannica, tinju moden merangkumi 12 peraturan yang membuatkan sukan ini lebih logik dan lebih berperikemanusiaan. Peraturan itu ditulis oleh John Graham Chambers yang berasal dari London dan diterbitkan oleh John Sholto Douglas, Marquess of Queensberry yang kesembilan pada tahun 1867.
Peraturan yang dinamakan sebagai "Peraturan Queensberry" itu masih dikuatkuasakan sehingga hari ini di mana salah satunya membatasi setiap pusingan hanya berlangsung selama tiga minit sahaja dengan rehat selama satu minit antara setiap pusingan.
BESARKAN TEKS A- A+
Sejarah sukan tinju
Rekod sukan tinju terawal yang telah ditemui ialah pada salah satu arca Sumeria purba dari Mesopotamia yang menunjukkan peninju bertarung dengan tangan kosong sambil diperhatikan penonton.
Pertarungan tinju menggunakan sarung tinju muncul pada 1500 hingga 1400 SM daripada penemuan hasil lukisan puak Minoan yang dijumpai di Kepulauan Yunani Purba Crete. Sukan Olimpik purba ke-23 pada tahun 668 SM telah menetapkan peraturan pertama untuk penggunaan sarung tinju.
Akan tetapi, tinju semasa zaman Yunani purba tidak mempunyai kategori berat badan atau berapa pusingan ianya dimainkan. Ketika itu para peninju akan bertarung sehingga salah seorang menyerah kalah atau terbunuh.
Ketika tinju diperkenalkan pada penduduk Rom pada tahun 393 Masihi, sarung tinju telah diubah menjadi alat seperti buku lima supaya menjadikan pertarungan itu penuh dengan darah seperti mana yang disukai oleh penonton di sana pada waktu itu. Akan tetapi, cara pertarungan ini diharamkan di banyak bahagian lain di Eropah.
Tinju mula menjadi popular
Setelah kejatuhan Empayar Rom, tinju kembali menjadi popular di Eropah sekitar kurun ke-12. Pada awal abad ke-16, sukan tinju menggunakan tangan kosong menjadi terkenal di Britain.
Pada 6 Januari 1681, Duke of Albemarle yang kedua iaitu Christopher Monck telah mengatur pertandingan tinju antara penjual dagingnya dan pembantu peribadinya. Tiada sebarang peraturan yang ditetapkan dan kedua-dua peninju itu menggunakan hantukan kepala, mencekik, mencucuk mata, menendang dan menggigit. Akhirnya pertandingan itu dimenangi oleh penjual daging.
Pada tahun 1743 pula, seorang peninju bernama Jack Broughton telah memperkenalkan "Peraturan Broughton" dalam percubaannya untuk mengelakkan sebarang kematian dalam gelanggang tinju.
James J. Corbett vs John L. Sullivan - Pertarungan tinju moden pertama
Peraturan itu memberikan masa 30 saat kepada peninju yang jatuh akibat tumbukan K.O untuk bangun semula dan juga peraturan tidak boleh memukul pihak lawan di bahagian pinggang ke bawah.
Pada tahun 1882, tinju menggunakan tangan kosong telah diharamkan sama sekali. Pertandingan tinju moden yang pertama telah diadakan di Pelican Athletic Club di New Orleans pada tahun 1892 ketika "Gentleman Jim" Corbett mengalahkan John Lawrence Sullivan dalam pertarungan kelas berat.
Pertandingan paling panjang dalam sejarah
Setahun selepas pertandingan tinju moden pertama diadakan, sejarah mencatatkan pula pertandingan tinju paling lama dalam dunia. Pada 6 April 1893, Andy Bowen dan Jack Burke telah bertarung dalam pertandingan yang diadakan di Olympic Club di New Orleans, Louisiana.
Pertarungan itu telah berlangsung dalam 110 pusingan dan memakan masa selama tujuh jam dan 19 minit, bermula dari 9.00 malam hingga awal pagi pada hari berikutnya.
Hadiah yang ditawarkan ialah Kejohanan Lightweight Selatan dan wang tunai berjumlah USD 2,500. Burke adalah peninju pilihan pada awal pertandingan itu dengan memenangi 25 pusingan pertama tetapi "Iron Bowen" enggan menyerah kalah.
Bowen berjaya memberi pukulan K.O kepada Burke di pusingan ke-25 tetapi loceng telah berbunyi sebelum pukulan itu diambil kira. Pada satu ketika, kedua-dua tangan Burke telah longloi dan kedua-dua peninju itu begitu penat sehingga bakat yang dimiliki mereka sudah tidak digunakan lagi.
Bowen vs Burke
Kebanyakan penonton yang hadir telah meninggalkan pertarungan itu pada waktu tengah malam manakala mereka yang masih ada di situ ada yang tertidur di kerusi masing-masing.
Menjelang pusingan ke-108, tiada satu tumbukan pun yang dilepaskan. Kedua-dua peninju hanya berpusing-pusing di dalam gelanggang. Pada pusingan ke-110, pengadil perlawanan iaitu John Duffy telah menghentikan pertarungan itu dengan mengumumkan keputusan seri bagi kedua-dua peninju dan membahagikan hadiah sama rata antara mereka.
Salah satu sukan paling popular
Tinju telah kini bernilai ratusan juta ringgit, terima kasih kepada para atlet terhebat yang berjaya menaikkan dan mempopularkan sukan ini seperti Joe Frazier, George Foreman, Sugar Ray Robinson, Evander Holyfield, Rocky Marciano, Mike Tyson dan Muhammad Ali yang dianggap sebagai peninju terhebat sepanjang masa.
Floyd Mayweather vs Manny Pacquiao
Pada tahun 1927, pertarungan antara Jack Dempsey dan Gene Tunney berjaya mengutip lebih daripada USD 2.7 juta tanpa bantuan daripada kutipan televisyen. Dalam keputusan yang penuh kontroversi, Tunney menang dalam pertarungan terakhir yang disertai Dempsey itu.
Pada 2015, pertarungan antara Floyd Mayweather dan Manny Pacquiao berjaya mengutip bayaran yang begitu tinggi sehingga kedua-dua petarung menerima bayaran lebih daripada USD 100 juta seorang.
Pertarungan itu berlangsung selama 12 pusingan dengan Mayweather diisytiharkan sebagai pemenang. Kini, sukan ini semakin dikenali dan diminati melalui beberapa filem-filem tinju seperti siri Rocky yang dimainkan oleh Sylvester Stallone.
Rujukan:
2. Mental Floss
3. The Comeback