Kita semua mengenali Mike Tyson - bekas juara tinju dunia yang kerap berdepan kontroversi. Dikritik kerana keegoannya di luar dan di dalam gelanggang, reputasi Tyson musnah selepas dia bertindak menggigit telinga Evander Holyfield dalam pertarungan pada tahun 1997.
Walaupun begitu, rekodnya dalam sukan tinju sangat cemerlang. Dia adalah antara juara kedua-dua kejuaraan tinju dunia yang berjaya mempertahankan gelaran selepas 8 kali dicabar.
BESARKAN TEKS A- A+
Bergelar sebagai salah seorang peninju yang mempunyai tumbukan paling padu, tidak ramai yang mengetahui sebab mengapa Tyson mula gemar bertumbuk. Kisahnya bermula dengan seorang kaki buli dan seekor merpati, semasa Tyson berusia 10 tahun.
Datang dari keluarga bermasalah
Seperti kanak-kanak kulit hitam lain ketika era 60-an dan 70-an, hidup Tyson sejak kecil dibelenggu masalah keluarga. Dilahirkan pada 30 Jun 1966, Michael Gerard Tyson adalah anak bongsu kepada pasangan Jimmy Kirkpatrick dan Lorna Mae Tyson.
Sejak kecil, Tyson tidak mengetahui siapakah ayah kandungnya. Di dalam rekod pendaftaran, ayahnya bernama Purcell Tyson, seorang pendatang warga Jamaica tetapi ayahnya yang dikenali adalah Jimmy. Jimmy sebelum itu pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak, kemudian bercerai dan berkahwin dengan ibu kepada Tyson.
Jimmy meninggalkan keluarga barunya dengan Michael yang ketika itu baru saja dilahirkan; memerlukan Lorna Mae menjadi penjaga tunggal kepada keluarga berantakan itu. Atas tekanan yang dihadapi, sejak kecil lagi Lorna Mae memberi Tyson dadah dan arak untuk memudahkan Tyson tidur - supaya Lorna Mae boleh pergi bekerja.
Pada usia Michael 16 tahun, Lorna Mae meninggal dunia menyebabkan Tyson terpaksa menumpang tempat berteduh dengan pelatihnya dan orang yang paling banyak mempengaruhi hidupnya, Cus D'Amato.
Kisah bagaimana Tyson mengenali Cus D'Amato yang membantu dia menjadi juara dunia, amat menarik untuk diceritakan.
Pergaduhan kali pertama Tyson
Membesar dalam komuniti yang banyak masalah jenayah, Tyson juga tidak dapat lari daripada terlibat sama. Jenayah yang paling kerap dilakukan beliau adalah kes-kes kecurian serta pergaduhan.
Sehingga usia 13 tahun Tyson pernah ditahan sebanyak 38 kali atas pelbagai jenis kesalahan - majoritinya melibatkan kes pergaduhan ekoran kutukan yang diterima kerana suaranya yang agak pelat dan nyaring.
Bagaimanapun, pergaduhan pertama Tyson berlaku pada usianya 10 tahun. Sukar mendapat kawan, Tyson lebih banyak menghabiskan masa membela burung merpati yang sering dianggap sebagai rakan sebenar beliau.
Dalam satu kejadian buli, salah seorang pembuli yang selalu mengganggunya bertindak mematahkan leher salah seekor burung merpati belaannya yang sangat beliau sayangi.
Tyson yang sebelum itu berhati lembut tidak pernah berkasar, gagal menahan lagi rasa amarah bertindak menyerang pembuli tersebut dengan tumbukan-tumbukan padu. Detik perubahan itu membawa dirinya ke kancah jenayah pada usia muda, menukarkan hatinya semakin memberontak mencari haluan hidup.
Ketika berusia 11 tahun selepas terlibat dengan banyak kes jenayah dan pergaduhan, Tyson dihantar ke sekolah pemulihan Tryon Schools for Boys yang terletak di Johnstown, New York bagi meredakan masalah disiplinnya. Di situlah dia mula belajar cara-cara bertinju oleh kaunselor sekolah pemulihan itu, seorang bekas juara tinju amatur bernama Bobby Stewart atas permintaan Tyson sendiri.
Stewart merupakan bekas pemenang tinju amatur peringkat kebangsaan pada tahun 1974 dalam kategori 'light heavyweight.' Tyson memohon pertolongan mengajarkan dirinya ilmu-ilmu sukan tinju dan sebagai balasan, Stewart meminta Tyson mengubah perangai buruknya serta lebih serius dalam pelajaran.
Tyson yang baru berusia 11 tahun, sudahpun mempunyai ketinggian 5 kaki 9 inci serta berat 95 kilogram tidak menyedari kelebihan yang ada padanya, kerana pada usia tersebut amat sesuai untuk Tyson mula mempelajari bagaimana bertinju dengan betul.
Stewart akhirnya bersetuju untuk melatih Tyson setelah melihat ada perubahan pada tingkah laku Tyson dan Tyson sendiri nampak serius dalam latihan.
Perkenalan dengan ayah angkat Cus D' Amato
Setelah beberapa bulan Stewart melatih Tyson sendirian, dia tahu Tyson yang berpotensi besar memerlukan bantuan seseorang yang lebih berpengalaman. Stewart mengambil keputusan menghubungi bekas jurulatihnya, Cus D' Amato yang pernah menguruskan kariernya semasa menjadi peninju profesional.
D' Amato adalah seorang bekas peninju bertaraf amatur yang gagal menjadi seorang peninju profesional akibat kecederaan, menyebabkan kerosakan kekal pada bahagian matanya. Pada usia 22 tahun, D' Amato membuka sebuahbpusat sukan di kawasan Bronx, menemui bakat peninju hebat Floyd Patterson dan melatihnya sehingga memenangi pingat emas Olimpik pada tahun 1952.
Pada tahun 1965, D' Amato sekali lagi mencuri tumpuan selepas anak didiknya Jose Torres berjaya menjadi juara dunia kategori 'light heavyweight' selepas Torres berjaya menewaskan Willie Pastrano. Bagaimanapun selepas itu D' Amato memilih untuk memencilkan diri membuka sebuah pusat sukan di Catskill, New York.
Bobby Stewat menjemput Mike Tyson untuk bertemu dengan D' Amato. Melihat potensi yang ada pada remaja tersebut, D' Amato bertindak mengubah gaya tinju Tyson supaya lebih memfokuskan kepada strategi serangan hendap.
Selama beberapa tahun dibawah didikan D' Amato, Tyson mula mengorak langkah dalam peringkat amatur, memenangi pingat emas acara tinju kejohanan Olimpik remaja bagi tahun 1981 dan 1982, sebelum tewas pada tahun 1984 yang hanya melayakkan dia mendapat pingat perak.
Menjadi peninju profesional
Selepas kematian ibunya pada usia 16 tahun, D' Amato bertindak menamakan dirinya sebagai penjaga sah kepada Tyson yang masih muda dan memerlukan sokongan ibu bapa. Kariernya dalam sukan tinju amatur sudah mula bertapak tetapi sasaran Tyson dan D' Amato sudah pastilah dalam liga profesional.
Mike Tyson bergelar peninju profesional pada usia 18 tahun dan memenangi pertarungan profesional pertamanya dengan kemenangan 'Total Knockout.' Ekoran kemenangan berturut-turut yang dimenangi dengan majoritinya secara 'TKO', nama Tyson mula disebut-sebut sebagai peninju berpotensi yang bakal menjadi juara sukan tinju dunia.
Nasib Tyson kembali malang selepas bapa angkatnya D' Amato tidak sempat melihat sendiri usaha titik peluhnya mendidik dan membentuk Tyson berhasil. D' Amato meninggal dunia pada 4 November 1985 menyebabkan Tyson mula hilang arah tujuan. Nasib baiklah salah seorang anak didik D' Amato, seorang bekas peninju bernama Kevin Rooney bertindak mengisi kekosongan yang ditinggalkan D' Amato.
Pertarungan demi pertarungan melibatkan karier muda Tyson dengan peninju-peninju yang semakin meningkat kualitinya akhirnya sampai ke kemuncaknya pada 22 November 1986, hampir genap setahun D' Amato meninggalkan dia.
Pada usia 20 tahun dan 4 bulan, Mike Tyson menumbangkan Trevor Berbick, pemegang kejuaraan WBC kategori 'heavyweight' ketika itu dan juga peninju terakhir yang bertarung dengan legenda Muhammad Ali dengan tumbukan TKO pada pusingan kedua.
Kejayaan Tyson mengungguli pertarungan itu disifatkan sebagai kesinambungan kepada legasi yang ditinggalkan peninju terhebat sebelum era beliau seperti Joe Louis, Rocky Marciano dan sudah tentulah Muhammad Ali.
Tyson bergelar peninju termuda memenangi gelaran juara dunia, semuanya bermula selepas kematian burung merpati kesayangannya yang mengubah hidupnya supaya menjadi lebih agresif seterusnya memperkenal dia pada sukan tinju.