Kredit foto: Harian Metro
Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan perletakan jawatannya sebagai Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Tunku Ismail membuat kenyataan tersebut pada sidang media yang berlangsung usai Majlis Kongres Kedua Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) di Johor Bahru.
Begitupun Tunku Ismail kekal memegang peranan Pengerusi FMLLP bagi terus menarik minat penajaan bola sepak tempatan.
Menurutnya lagi, FMLLP selepas ini akan dikenali sebagai Malaysia Football League (MFL).
Kredit foto: Mstar
"Bermula hari ini tanggung jawab saya hanya sebagai Pengerusi MFL untuk dapatkan lebih dana, penajaan dan menjaga kepentingan kelab di negara.
"Untuk skuad kebangsaan, saya ucapkan selamat berjaya kepada FAM.
"Dan jawatankuasa tatatertib, pengadil semua itu saya tak nak ambil tahu," katanya memetik laporan Mstar Online.
Di kesempatan itu, Tunku Ismail merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diperolehnya sepanjang diberi peluang mengendalikan jawatan terbabit.
"Saya ucapkan terima kasih kepada yang pecaya kepada saya. Pihak penaja dan semua sekali pasukan yang bertanding," katanya.
Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ini menayangkan surat peletakan jawatannya dalam sidang media sama.
"Di sini adalah surat perletakan jawatan saya sebagai presiden FAM. Allah peliharakan Sultan Negeri Johor," katanya.