Oleh pada 15 May 2017 kategori

Bulan Ramadhan dah dekat, tinggal lagi kurang 2 minggu saja lagi, puasa tu dah habis ganti ke belum? Jangan buat-buat lupa pula. Sememangnya kedatangan penghulu segala bulan ini dinanti-nantikan dengan penuh keghairahan oleh seluruh umat Islam di serata dunia. Tak kira lah apa bangsa sekalipun, umat Islam akan berasa sangat gembira menyambut kedatangan Syahrul Quran, iaitu bulan yang di dalamnya diturunkan permulaan Al Quran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

bazaar 625

Di Malaysia yang terkenal dengan masyarakat yang berbilang kaum, apabila tibanya Ramadhan, anda akan dapat melihat perbezaan yang amat ketara pada keadaan sekeliling. Salah satu daripadanya adalah budaya jual-menjual di petang hari di bazaar-bazaar yang dikunjungi oleh semua kaum termasuklah Cina, India dan lain-lain. Ia bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan, malah dapat merapatkan hubungan silaturahim sesama bangsa. Malah, ada juga bangsa-bangsa lain yang turut sama berpuasa bagi memeriahkan lagi sambutan ini.

pasarramadhan

Namun, bagi umat Islam terutamanya bangsa Melayu, sambutan bulan Ramadhan bukan sahaja dihayati dengan hanya berpuasa dan beribadat, malah telah tercipta sesuatu yang lebih daripada itu, seolah-olah menjadi budaya dalam masyarakat Melayu yang sering dilakukan setiap kali datangnya bulan ini. Sama ada ia perkara baik atau buruk, ia tetap telah menjadi sebahagian daripada budaya kita.

Iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda perkara-perkara sering dilakukan dan dibincangkan oleh ketika bulan Ramadhan, yang diinspirasikan oleh video yang dihasilkan oleh saudara Matluthfi.

1. Bila tarikh puasa?

tarikh melihat anak bulan

Antara topik yang menjadi perbualan hangat ialah tarikh puasa. Jika menurut kalendar, tarikh mulanya puasa yang ditetapkan tidaklah 100% tepat dan hanya anggaran. Ianya kerana tarikh sebenar ditentukan dengan merukyah atau melihat anak bulan pada petang 29 hb Hijriah bagi menentukan keesokan harinya 30 atau 1 haribulan. Sekiranya anak bulan kelihatan di ufuk selepas matahari terbenam, maka keesokan harinya dikira awal bulan baru, tetapi jika tidak kelihatan maka bulan tersebut digenapkan menjadi 30 haribulan.

2. Di mana nak solat tarawih?

masjid zahir alor setar kedah

Biasanya perkara ini telah dibincangkan terlebih dahulu sebelum datangnya bulan Ramadhan. Kebanyakan antara kita menentukan di mana tempatnya untuk menunaikan solat tarawih berdasarkan beberapa faktor. Antaranya jarak dari rumah, keselesaan sesebuah masjid, malah cara bacaan Imam yang mengedalikan solat tarawikh. Ada yang menyukai bacaan yang sedap dan bertaranum dan ada pula yang lebih memilih bacaan yang cepat supaya cepat habis. Di mana sahaja anda solat tarawih itu tidak menjadi masalah asalkan ia terlaksana.

3. Lapan atau dua puluh?

solat tarawih 37

Pastinya ini pernah terjadi kepada anda. Sama ada mahu solat 8 atau 20 rakaat. Rakan anda mahu solat 8 tapi anda mahu solat 20. Terdapat khilaf mengenai rakaat solat tarawih mengikut sunnah Rasulullah, sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat namun persoalan ini telah dijawab oleh para ulama. Rasulullah S.A.W tidak pernah menetapkan bilangan tertentu. Sebenarnya, ulama telah pun membincangkan permasalahan ini sejak dari dulu lagi. Imam Al-Sayuti mengatakan, "Berdasarkan kepada hadis-hadis sama ada yang sahih, hasan dan juga yang daif serta terghib (galakan), tidak ada pun yang menetapkan bilangan khusus.

Terpulang kepada kehendak masing-masing. Jika anda mahu lakukan 8 rakaat, atau 20 rakaat, dipersilakan. Ada yang melakukan 8 rakaat kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan, dan ramai orang-orang tua melakukan 20 rakaat. Yang penting anda melaksanakan sunat muakkad ini.

4. Bau mulut lebih wangi daripada kasturi?

bersiwak 9

Diriwayatkan dari sahabat Abu Huroiroh Rodhiyallahu ‘anhu, “Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah pada hari kiamat dari pada wangi kasturi”. Namun, ramai yang tersalah anggap bahawa ia adalah makruh untuk memberus gigi ketika sedang puasa di bulan Ramadhan.

Berdasakan hadis tersebut, ulama Syafi'i, Maliki dan Hanafi mengatakan ber-siwak, termasuk juga memberus gigi, kerana kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama iaitu membersihkan mulut, hukumnya makruh setelah waktu masuk waktu dhuhur hingga maghrib. Melakukannya pada waktu pagi hingga siang tetap disunnahkan. Alasannya, kerana umumnya seorang yang puasa, aroma mulutnya yang kurang sedap muncul setelah waktu siang

Jadi, jangan menjadikan alasan tidak memberus gigi kerana disisi Allah menjadi lebih wangi daripada kasturi, yang akan menyebabkan orang bukan Islam salah faham dengan kita. Sesungguhnya Islam itu agama yang bersih dan suci.

5. Menunjuk-nunjuk ketika beribadah

matluthfi 671

Bukan sahaja di bulan puasa, malah ia seakan-akan sudah menjadi tabiat manusia di seluruh dunia untuk mempamerkan apa sahaja yang mereka lakukan. Disebabkan zaman kini berteknologi maju dan canggih, media-media sosial seperti Facebook dan Instagram digunakan untuk menjadi medan berkongsi segala apa sahaja yang terdetik di hati, termasuklah amal ibadah yang dilakukan.

gayafotoselfie menurutislam compressor 329

Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, hamba yang hatinya selalu merasa cukup dan yang suka mengasingkan diri.” Mengasingkan diri di sini bererti amalannya pun sering tidak ditunjukkan kepada orang lain.

Jika sebelum ini kita selalu menunjuk-nunjuk amalan kita kepada dunia, marilah sama-sama kita menggunakan Ramadhan kali ini untuk membuat perubahan pada diri kita.

6. Pembaziran makanan yang melampau

juadah berbuka 806

Ini antara satu kesalahan terbesar yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia. Salah satu tujuan sebenar kita berpuasa adalah untuk menahan nafsu lapar dan dahaga supaya kita dapat merasakan apa yang dirasa oleh saudara kita yang berlapar, bukan untuk sebulan, tapi entah sampai bila. Kita patut makan lebih kurang namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Jika makanan yang dibeli di bazaar dikawal oleh hawa nafsu, maka tiada hikmah disebalik Ramadhan yang kita pelajari.

pembaziran yang melampau 908

Menurut syarikat yang menyelia sisa pepejal iaitu SWCorp, makanan yang masih elok dan boleh dimakan telah dibuang oleh kita adalah sebanyak 270,000 sepanjang sebulan Ramadhan. Menurut SWCorp lagi, jika lambakan makanan ini disusun, ia bersamaan dengan ketinggian 30 buah menara KLCC. Makanan yang terbazir itu boleh menampung 180 juta orang, 6 kali ganda populasi rakyat Malaysia.

Jadi, bagi kita yang bukan tahun pertama menyambut Ramadhan, amat patutlah kita memikirkan mengenai perkara ini dan mula berubah jika kita masih melakukannya. Sama-sama kita menyelami maksud sebenar bulan mulia ini dan sematkan pada hati kita rasa ingin berubah ke arah kebaikan. Sama-sama kita berpesan ke arah kebaikan dan diberkati. InsyaAllah dipermudahkan.

Selamat menggantikan puasa dan selamat berpuasa.

Sumber rujukan :

1. Alhijroh

2. Berita Havoc

3. Addeen

4. Rumaysho

5. Pesantren Virtual

6. Aku Anak Pahang




Hakcipta iluminasi.com (2017)