Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini memberikan kesan secara langsung kepada semua aspek kehidupan, termasuklah perniagaan.
Tak kiralah sama ada syarikat gergasi mahupun perniagaan kecil-kecilan, semuanya terkena tempias akibat penularan novel koronavirus yang dipercayai bermula pada November 2019 yang lalu.
Dan ketika kita sedang menghampiri bulan Ramadhan kurang daripada seminggu sahaja lagi, para peniaga terutamanya peniaga bazar Ramadhan berasa sangat resah kerana mungkin tidak dapat berniaga seperti biasa.
BESARKAN TEKS A- A+
Ini kerana kerajaan telah mengeluarkan kenyataan melarang sebarang perniagaan berbentuk bazar dalam tempoh tersebut.
Namun, terdapat beberapa inisiatif yang dilakukan bagi membolehkan kita semua menikmati bulan Ramadhan jika tidak seperti tahun-tahun sebelum ini sekalipun, sekurang-kurangnya terubat sedikit penderitaan yang kita hadapi sekarang.
Platform baharu NAK MAKAN
Salah satu usaha ini adalah oleh MYEG yang memperkenalkan platform perkhidmatan makanan dalam talian yang baharu yang diberi nama "Nak Makan", yang akan menyediakan dan menjual makanan yang dimasak segar serta produk makanan secara online.
Platform Nak Makan akan menganjurkan e-Bazaar Ramadan sebagai penyelesaian alternatif untuk bazar fizikal semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung, berdasarkan laporan RinggitPlus.
Penjual dan peniaga di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Selangor boleh mendaftar dan menyenaraikan makanan bazar mereka di laman sesawang Nak Makan.
Para penjual akan beroperasi dari premis mereka sendiri seperti biasa sementara MrSpeedy, iaitu rakan penghantaran Nak Makan, akan mengambil dan menghantar makanan kepada pelanggan.
"Disebabkan apa yang berlaku ketika ini, membeli-belah dalam talian kini menjadi norma baru tetapi masih terdapat jurang digital untuk para penjual yang tidak tahu bagaimana untuk memasarkan produk mereka secara online. Bagi para penjual kecilan dan persendirian, Nak makan akan memudahkan mereka bergerak ke ruang digital dengan memimpin setiap langkah mereka," kata MyEG.
Selain daripada e-Bazaar, MyEG juga merancang untun melancarkan dua lagi inisiatif e-dagang untuk bulan Ramadhan iaitu e-Sahur, bagi penghantaran makanan sahur dan juga e-Raya yang merupakan platform membeli-belah dalam talian khas untuk barangan Ramadhan serta Hari Raya.
Para penjual dan peniaga yang berminat kini boleh mendaftar dengan Nak Makan dengan mengisi borang dalam talian di laman sesawang rasmi. Klik di sini.
Soalan-soalan lazim berkenaan Nak Makan
1. Apa itu Nak Makan?
Nak Makan merupakan sebuah platform pesanan makanan dalam talian yang boleh dilayari orang ramai di www.nakmakan.com.my. Platform ini membantu peniaga-peniaga mikro, kecil dan persendirian sebagai peluang kepada mereka untuk memperluaskan perniagaan.
2. Bagaimana platform Nak Makan berfungsi?
Berikut adalah turutan proses bagi fungsi platform Nak Makan:
Pelanggan akan mendaftar di laman sesawang Nak Makan.
Pelanggan membuat pesanan mengikut kawasan.
Notifikasi di laman sesawang khas akan diterima oleh vendor dan seterusnya perlu menyediakan pesanan.
Vendor akan kemaskini status penyediaan di laman sesawang khas dan rakan penghantaran, MrSpeedy akan mendapat notifikasi.
Juadah akan diambil oleh penunggang MrSpeedy dan seterusnya dihantar kepada pelanggan.
3. Bagaimana cara mendaftar sebagai vendor Nak Makan?
Pendaftaran adalah menerusi laman sesawang www.nakmakan.com.my
4. Bagaimana sekiranya saya memerlukan bantuan untuk proses pendaftaran?
Kami mempunyai pihak sokongan yang bersedia membantu anda. Sila hubungi kami di +6037664 8100 atau +6017 228 5948/5954/5958/5983.
5. Apakah kriteria diperlukan untuk menjual di platform Nak Makan?
PENGELUARAN, PENYEDIAAN, PENGENDALIAN dan PENYIMPANAN makanan oleh vendor adalah DIWAJIBKAN untuk mengikut garis panduan HALAL. Vendor juga WAJIB mendapatkan suntikan Typhoid.
6. Di manakah saya boleh mendapatkan suntikan Typhoid?
Jika anda belum mengambil suntikan Typhoid, kami mengesyorkan anda mendapatkan suntikan tersebut di klinik swasta dan klinik am terpilih berhampiran anda.
7. Adakah terdapat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu vendor ikuti?
Vendor digalakkan untuk menyediakan makanan dengan segera selepas menerima pesanan daripada pelanggan. Selain itu, makanan yang dijual juga seharusnya berada di tahap tertinggi dari segi kebersihan dan kualiti serta mengikut garis panduan HALAL.
8. Saya tidak mempunyai e-mel. Bolehkah saya mendaftar?
Anda PERLU mempunyai e-mel.
9. Bila saya akan mengetahui status permohonan disenaraikan di laman sesawang Nak Makan?
Vendor yang berjaya akan dimaklumkan proses seterusnya.
10. Adakah terdapat bayaran dikenakan?
Nak Makan akan mengambil 3% daripada jumlah jualan setiap pesanan sebagai caj pentadbiran untuk tempoh 24 April – 22 Jun 2020.
11. Adakah terdapat caj tersembunyi seperti deposit atau penyenaraian?
Tiada.
12. Siapa yang akan menguruskan penghantaran dan bagaimana prosesnya?
Rakan penghantaran kami adalah MrSpeedy bagi kawasan pesanan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Anda cuma perlu menyediakan pesanan dan penunggang MrSpeedy akan menghantar juadah di lokasi sepatutnya.
13. Bagaimana proses pembayaran kepada vendor?
Pembayaran kepada vendor akan dilakukan dalam tempoh seminggu.
14. Berapakah caj penghantaran?
RM0.80 bagi setiap 1 kilometer dan kos ini akan ditanggung oleh pelanggan.
15. Adakah terdapat tarikh akhir untuk pendaftaran?
Tiada. Sila ambil maklum bahawa pihak kami akan mengambil masa sekurang-kurangnya 1-2 hari bekerja bagi memproses permohonan anda.
16. Adakah vendor perlu berniaga setiap hari mengikut waktu operasi yang ditetapkan?
Bergantung kepada kertersediaan pihak anda. Anda boleh kemaskini menerusi laman sesawang khas bagi vendor atau hubungi pihak kami untuk panduan.
17. Bagaimana jika saya kehabisan stok makanan pada hari berniaga?
Sila kemaskini menerusi laman sesawang khas bagi vendor atau hubungi pihak kami untuk panduan.
18. Sekiranya saya tidak ingin berniaga pada sesuatu tempoh, adakah dibenarkan?
Sila kemaskini menerusi laman sesawang khas bagi vendor atau hubungi pihak kami untuk panduan.
19. Bagaimana jika hujan? Adakah Nak Makan beroperasi untuk pesanan dan penghantaran?
Ya, kami masih menerima pesanan dan penghantaran. Bagaimanapun, jangkakan kemungkinan pesanan pelanggan mengalami kelewatan.
20. Bagaimana jika saya ingin menghentikan penjualan? Adakah terdapat penalti?
Sila hubungi pihak khidmat pelanggan kami untuk proses selanjutnya.
21. Apakah waktu operasi platform Nak Makan?
Bermula jam 10 pagi – 6 petang. (Tetapan waktu operasi ini berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan. Jika berlaku perubahan waktu, vendor akan dimaklumkan.)
22. Apakah waktu operasi bagi vendor?
Bermula jam 10 pagi – 7 petang. Sila ambil maklum bahawa pesanan akhir oleh pelanggan menerusi laman sesawang adalah pada jam 6 petang. (Tetapan waktu operasi ini berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan. Jika berlaku perubahan waktu, vendor akan dimaklumkan.)
23. Bolehkah pelanggan membuat pesanan daripada mana-mana vendor dalam satu pesanan?
Tidak. Bagaimanapun pelanggan dibenarkan untuk membuat pesanan secara berulang kali.