Sekali pandang dan dengan nama yang unik, anda mungkin sangkakan bahawa restoran ini adalah restoran dari luar negara, namun ia sebenarnya berasal dari Malaysia.

Manhattan Fish Market adalah rangkaian restoran yang besar, dengan lebih daripada 70 cawangan di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan banyak lagi. 

Ia diasaskan oleh seorang anak muda berjiwa besar dari Melaka, bernama George Ang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dari penghantar Pizza Hut kepada jutawan F&B

kisah george ang pengasas manhattan fish market

Pada tahun 1991, George Ang yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Gajah Berang, Melaka telah berhijrah ke Petaling Jaya untuk menyambung pelajaran di Sunway College.

Untuk menampung kos pengajian, George Ang mencari masa untuk bekerja secara sambilan sebagai penghantar Pizza Hut dari rumah ke rumah.

Seperti anak-anak muda seusia dengannya pada ketika itu, George Ang gemar bermain snuker dan kadang-kala pergi ke disko DV8 (ketika itu Sunway College masih di Petaling Jaya) bagi menghilangkan stress.

Pada tahun kedua pengajian perakaunannya, George Ang perlu menyambung pengajiannya di Perth, Australia, yang membuatkan beliau runsing kerana perlu bekerja lebih keras kerana kos sara hidup dan pengajian sudah tentunya lebih tinggi berbanding di Malaysia.

george ang ketika bekerja sebagai penghantar pizza hut

(George Ang ketika bekerja sebagai penghantar Pizza Hut)

Dengan itu, George perlu lebih bersemangat dan nekad untuk bekerja keras termasuklah bekerja sebagai pencuci pinggan di pelbagai restoran untuk mencari duit poket bagi menampung kehidupannya di Australia.

Selepat menamatkan pengajiannya, George Ang pulang ke tanah air dan memulakan kerjayanya dengan bekerja di OCBC Bank dan kemudiannya berpindah ke BNP Paribas.

Dedikasi yang ditunjukkan beliau membuatkan George dinaikkan pangkat, walaupun ketika Krisis Ekonomi Asia pada tahun 1998.

Malah, dalam tempoh ini beliau dipindahkan dari Malaysia ke Singapura untuk mengetuai jabatan penyusunan semula pinjaman BNP Paribas.

bnp paribas 995

Walaupun George tidak mengalami situasi diberhentikan kerja, namun sifat dunia korporat yang tidak menentu membuka mata beliau terhadap kekurangan jaminan pekerjaan.

"Saya mahu menjadi usahawan, saya mahu mengawal hidup saya sendiri," kata George Ang.

Pada tahun 1998 ketika mana beliau masih bekerja makan gaji dengan syarikat kewangan tersebut, George dan seorang rakannya mengambil langkah berani dengan membuka sebuah restoran "fish & chips" iaitu The Fish Shop yang di-francais dari New Zealand, bermodalkan RM60,000.

Menurut beliau, antara cabaran awal yang sukar adalah meyakinkan pihak bank pada ketika itu untuk memberi pinjaman kerana mereka masih muda dan tidak mempunyai pengalaman.

Sehinggakan beliau menggunakan cara yang sangat bijak sewaktu berhadapan dengan pihak bank, iaitu memakai kacamata dan menggayakan rambut dengan gaya tersendiri agar kelihatan lebih matang dari usianya.

hidangan fish and chips

Setelah siap semuanya, perniagaan mereka dilancarkan dan ia mendapat sambutan yang baik, namun langit tidak selalu cerah apabila syarikat induk di New Zealand mengalami masalah.

"Kami kemudiannya mengambil keputusan untuk membuka sebuah restoran yang menggunakan konsep sama seperti The Fish Shop, tetapi dengan jenama kami sendiri. Kami pilih nama Manhattan Fish Market untuk menarik perhatian orang," kata George Ang.

George Ang menambah penggunaan nama tersebut membuatkan orang ramai menyangkakan bahawa ia restoran dari Amerika Syarikat yang membuatkan mereka ingin cuba merasa makanan mereka.

Dan akhirnya apabila sedap dan berpuas hati, para pelanggan akan terus datang lagi.

Dan ternyata percaturan dan strategi mereka membuahkan hasil, walaupun restoran ini langsung tidak pernah wujud di bumi Amerika Syarikat.

Malah, beberapa tahun kemudian, George Ang berjaya memiliki francais untuk membuka restoran steak terkenal iaitu Tony Roma's dan juga Popeye's di Malaysia.

Yang terbaru, langkah berani George Ang membuatkan ramai pihak terkejut selepas pengumuman bahawa beliau telah mengambil alih perniagaan makanan segera terkenal satu ketika dahulu iaitu A&W Malaysia dari KUB Malaysia Berhad dengan kos lebih RM34 juta.

george ang dan a w 827

Jenama A&W telah terkenal sejak tahun 1963 sebagai rantaian makanan segera pertama di Malaysia, sebelum KFC dan McDonald's.

Setelah mengambil alih, George merancang untuk membina semula jenama ini dan beliau tahu ramai orang menggemari jenama A&W ini, tetapi mungkin sedikit kecewa dengan bagaimana ia diuruskan selama bertahun-tahun.

Mereka merancang untuk menambah cawangan A&W kepada 100 hingga 150 cawangan dalam tempoh tiga tahun dan menjadikan ia berada di senarai top 3 jenama makanan segera di Malaysia.

"Hari ini, kami mempunyai kira-kira 35 restoran di luar Malaysia yang diberikan francais. Ini adalah bahagian perniagaan yang sangat menguntungkan tetapi kami menghabiskan bertahun-tahun untuk mendapatkan keuntungan ini," kata George Ang. 

tony ang miliki tony romas

Dengan penguasaannya dalam bidang makanan dan minuman di Malaysia dengan pemilikan Manhattan Fish Market, Tony Roma's, Popeye's dan A&W, kini George bergelar jutawan F&B.

Ini merupakan satu pencapaian yang sangat luar biasa dari seorang pemuda yang satu ketika dahulu kesempitan wang sehingga terpaksa bekerja sebagai pencuci pinggan dan penghantar pizza.

Ia sekaligus menjadi contoh dan inspirasi bagi kita semua lebih-lebih lagi kepada anak muda untuk bekerja keras dan tidak berputus asa dalam mengejar cita-cita.

Rujukan

Penulisan ini ditulis oleh Tuan Syahril A. Kadir di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi mendapat kebenaran mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. Penulisan ini telah disunting bagi menambah fakta serta memudahkan pembacaan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)