Anda mungkin sering mendengar ungkapan bahawa "Ketawa adalah penawar terbaik". Walaupun ia mungkin bukanlah yang terbaik namun ia terbukti sangat baik.
Selain mampu mengeratkan perhubungan, ketawa juga dapat mengurangkan kesakitan, menghilangkan tekanan dan memperbaiki mood anda. Ia secara tidak langsung menjadikan anda lebih sihat dari segi fizikal mahupun mental.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, ketawa bukan sahaja menandakan seseorang itu gembira. Ketawa juga boleh menjadi tanda seseorang itu terlalu tertekan atau tidak waras. Malah, ada kejadian di mana ketawa menjadi sesuatu yang amat serius sehingga mencetuskan kebimbangan.
Ketawa misteri
Salah satu contoh adalah kejadian ketawa yang berlaku di Tanganyika (kini Tanzania). Pada 31 Januari 1962, seorang pelajar wanita sekolah berasrama penuh di desa Kashasha, Tanzania, mulai ketawa. Ia seperti kejadian berantai apabila dua lagi pelajar turut ketawa.
Apa yang bermula seperti ketawa biasa kemudian bertukar menjadi pelik apabila mereka tidak berhenti serta gagal mengawal diri. Mereka bukan sahaja ketawa terbahak-bahak tetapi juga melompat-lompat seperti terlalu gembira.
Lebih membingungkan, kejadian ketawa misteri itu turut menjangkiti para pelajar lain. Daripada keseluruhan 159 pelajar di sekolah itu, seramai 95 orang telah dijangkiti ketawa misteri itu.
Semua pelajar yang dijangkiti itu berusia antara 12 hingga 18 tahun. Ada mangsa yang ketawa selama enam jam dan ada pula yang berlanjutan sehingga dua minggu lamanya.
Keadaan yang berlanjutan selama dua minggu itu mengganggu pembelajaran dan memaksa guru serta pihak sekolah membatalkan semua kelas. Para pelajar juga diberikan cuti dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sehingga keadaan kembali reda.
Keadaan bertambah buruk
Ketika ini keadaan menjadi semakin membingungkan. Ada sebilangan ibu bapa yang menjemput anak mereka dari asrama itu turut dijangkiti ketawa misteri. Apa yang peliknya, tiada seorang guru atau kakitangan sekolah yang dijangkiti.
Tidak lama kemudian, kejadian yang digelarkan sebagai Epidemik Ketawa Tanzania itu telah menjangkiti sehingga hampir 1,000 orang. Penyakit itu turut merebak sehingga ke Uganda (Kashasha terletak di sempadan Tanzania-Uganda).
Malah, sekolah pertama di Kashasha yang dijangkiti turut disaman kerana tidak mengekang "penyakit" itu dan menjadi penyebab ianya tersebar kepada beberapa daerah lain.
Penyakit misteri itu berlaku tanpa amaran. Selain daripada ketawa tanpa henti, mangsa turut dilaporkan mengalami pening kepala, masalah pernafasan, sawan bahkan sendawa yang melampau.
Keadaan itu telah memaksa pihak berkuasa menutup 14 buah sekolah sementara keadaan kembali normal. Pihak perubatan juga telah mengambil sampel darah mangsa bagi mengetahui virus apakah yang menjangkiti mereka.
Sampel darah itu telah dihantar ke Eropah untuk diuji. Pihak perubatan Tanzania terkejut apabila keputusan darah yang dikeluarkan menyatakan bahawa tiada apa-apa yang luar biasa dikesan dalam darah mangsa.
Datang dan pergi secara misteri
Epidemik Ketawa itu berlarutan buat satu jangka masa yang agak lama. Kira-kira setahun setengah selepas kes pertama dilaporkan, penyakit ketawa itu berhenti. Ia berhenti secara tiba-tiba sama seperti ia muncul dahulu.
Apabila keadaan kembali pulih, pihak berkuasa membuka semula sekolah dan perniagaan supaya penduduk dapat meneruskan hidup seperti biasa. Kejadian selama 18 bulan itu menjadikan Kashasha dan Tanzania sebagai perhatian dunia.
Seorang pengkaji bernama Christian Hempelmaan dari Amerika telah melakukan penyelidikan terhadap kejadian itu. Dia menggambarkan epidemik itu sebagai penyakit psikogenik (penyakit berkaitan psikologi) atau sosiogenik (penyakit disebabkan masalah sosial) di mana ketawa merupakan salah satu simptom.
Christian dan beberapa pakar lain berpendapat bahawa histeria besar-besaran itu adalah manifestasi para pelajar itu daripada tekanan yang diterima mereka. Jika benar, bagaimana pula mangsa lain yang bukan terdiri daripada pelajar sekolah?
Menurut Christian lagi, penyakit psikogenik secara besar-besaran ini sering terjadi kepada orang yang tidak mempunyai kuasa untuk mengubah dunia mereka atau mengekspresikan emosi sehingga akal akan mencari jalan dengan apa cara sekalipun untuk melepaskannya.
Malah, tidak kurang juga pihak yang mendakwa bahawa histeria itu berpunca daripada gangguan makhluk halus. Walau apa pun teori yang diutarakan, tiada penjelasan kukuh mengapa dan bagaimana Epidemik Ketawa Tanzania berlaku.
Kini, dunia sedang berhadapan dengan wabak Covid-19. Ramai yang merasa tertekan kerana terpaksa duduk di rumah, kehilangan pekerjaan serta pelbagai lagi tekanan. Adakah kejadian Epidemik Ketawa Tanzania ini bakal berulang?