Gambar sekadar hiasan
Perubahan dunia akibat pandemik Covid-19 menyebabkan banyak keluarga terpaksa mengharungi detik-detik sukar. Di tengah-tengah semua ini, seorang lelaki bergelar suami terpaksa mengepalai ahli keluarga cuba berdepan tekanan hidup yang semakin meruncing.
Aspek kewangan menjadi beban utama gagal ditangani dengan cermat, membawa kepada kesan dalam aspek psikologi disebabkan keinginan diri untuk terus bergelar ketua keluarga yang dihormati dan mampu terus berdiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Malangnya saban hari, kita semakin kerap dikejutkan berita berkaitan lelaki yang telah bergelar suami dan bapa menamatkan nyawa sendiri dek tak tahan terhimpit masalah peribadi. Persoalannya - apa ang mendorong ramai golongan lelaki hilang arah, sanggup mengorbankan diri sendiri?
Malu ego tercalar
Sebelum kita masuk ke perbincangan statistik dan fakta yang lebih serius, ingin penulis ceritakan berkenaan seorang kenalan baik penulis, yang baru saja meninggal dunia sebulan sebelum artikel ini ditulis. Syukurlah dia bukan antara mereka yang nekad membunuh diri.
Namun kisahnya tetap menyayat hati.
Kami bersekolah bersama selama 5 tahun semasa peringkat menengah. Hubungan kami mula putus sejak kami sama-sama masuk ke peringkat pendidikan tertiari. Tamat pengajian, rakan penulis ini tak menunggu lama untuk jadi seorang yang agak berjaya ekoran kemahirannya.
Dia menjadi antara kumpulan pelajar terawal di antara kami menjalankan perniagaan sendiri, sering rapat dengan orang kenamaan serta diberikan peluang menyertai ekspo-ekspo kejuruteraan anjuran kerajaan.
Syarikat yang dibangunkan beliau bersama rakan kongsinya tampak terus rancak membangun dan dia melalui perkongsian media sosial beliau, nampak bahagia bersama isteri dan anak dua orangnya. Semua itu kekal sehinggalah sekitar tahun 2017, bilamana dia mula menghilangkan diri dari kenalan, sahabat dan juga sanak-saudara.
Ada sekali-sekala dia bertanya khabar, mengucapkan selamat ulang tahun dalam kumpulan mesej namun keseluruhannya dia menyepi. Sehinggalah sekitar penghujung tahun 2021, kami diberitahu beliau mula sakit dan kesihatannya uzur.
Siasat punya siasat, barulah ceritanya keluar satu per satu.
Takut dilihat tidak berjaya
Semua orang berusaha untuk berada di puncak.
Namun ramai yang lupa jatuh ketika di puncak lebih dahsyat berbanding jatuh ketika duduk di bawah. Isteri beliau yang sebelum rajin berkongsi foto berdampingan suami menyertai majlis makan malam, membuka mulut menceritakan situasi sebenar.
Selepas perniagaannya bungkus atas bermacam faktor, kenalan penulis cuba mencari pekerjaan namun jarang temuduganya berhasil.
Disebabkan badan yang semakin uzur akibat masalah jantung, kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi mengurangkan beban kewangan.
Tanpa sumber pendapatan, kedua-duanya berniaga nasi dan kuih di tepi jalan bagi menyara hidup.
Dek kerana rasa segan dengan sahabat yang dikatakan berjaya menurut kata kenalan ini sendiri kepada isterinya, kenalan penulis mendiamkan diri tidak lagi menghubungi sesiapa untuk cuba membantu memperbaiki situasi atau meringankan beban kewangan yang mereka tanggung.
Itulah yang dia dan isterinya lakukan untuk beberapa tahun, cekal menyiapkan jualan setiap pagi. Sehinggalah si suami hanya mampu sekali-sekala menolong akibat penyakit. Akhirnya dia meninggal dunia di atas katil hospital akibat kegagalan pernafasan .
Kami sebagai sahabat selepas mengetahui kealpaan kami, mula mempersoalkan kenapasi kenalan tidak menghubungi saja kami bagi membolehkan bantuan dihulurkan.
Sekurang-kurangnya ringanlah juga bebanan mereka kan?
Realitinya kami tahu sekiranya kami diletakkan dalam kedudukan serupa, kami pun berkemungkinan besar akan melakukan perkara sama - memilih mendiamkan diri daripada membuka mulut bercerita.
Ini kerana kami lelaki. Setiap lelaki normal ada egonya untuk jadi seorang yang mampu menyara keluarga.
Kenapa lelaki cenderung untuk bunuh diri?
Berbeza dengan kisah di atas yang berakhir dengan kematian di atas katil hospital, di luar sana semakin ramai lelaki baik bergelar suami atau sang bapa memilih jalan mudah membunuh diri dek tekanan hampir sama.
Sejak tahun 2015 sudah dilaporkan 65% daripada kes bunuh diri melibatkan warga tempatan dan warga asing dilakukan oleh orang lelaki. Bagaimanapun harus diperjelaskan, berlaku perubahan ketara ketika era pandemik di mana kes kematian bunuh diri melibatkan wanita naik hingga 4 kali ganda melebihi lelaki.
Apa yang menakutkan, majoriti kes bunuh diri yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini melibatkan golongan anak muda tak kira jantina berusia 15 hingga 18 tahun, merangkumi hampir 1/2 jumlah keseluruhan kes.
Apabila kita memfokuskan perbincangan kita kepada subjek kes bunuh diri melibatkan lelaki, kes yang berlaku biasanya cukup tragis. Formatnya hampir sama.
Suami larikan anak-anak lalu mencampak anak-anak dahulu dari bangunan tinggi, sebelum dia terjun. Suami membunuh anak-anak dan isteri dahulu, sebelum mencabut nyawa sendiri. Ada juga lelaki yang putus cinta bertindak membunuh diri, selepas membunuh bekas teman wanitanya.
Takut mendengar penerangan tentang apa yang berlaku. Kita yang hanya mendengar cerita, tak tergambar bagaimana tegang situasinya ketika kejadian.
Kes cuba bunuh diri semakin meningkat
Satu statistik yang tidak enak dikongsikan adalah berkaitan kenaikan jumlah kes cubaan bunuh diri yang membimbangkan di negara kita.
Dalam laporan bulan Mac tahun 2022 oleh New Straits Times, PDRM melaporkan kenaikan jumlah kes cuba bunuh diri setiap tahun; 193 (bagi tahun 2016), 256 (2017) 261 (2018), 241 (2019), 223 (2020) dan 312 (2021).
Majoriti kes cuba bunuh diri atau 67.9% adalah melibatkan individu lelaki, dengan 60.3% daripada keseluruhan kes melibatkan inidividu berusia 19 ke 40 tahun (133 lelaki, 57 perempuan). Punca utama kebanyakan kes ini berlaku direkodkan akibat tekanan mental dan masalah kewangan.
Berdasarkan trend semasa, Malaysia mempunyai kadar 5 kes bunuh diri setiap hari, menjadikan kita negara paling teruk kadarnya jika dibandingkan dengan negara lain yang majoriti rakyatnya orang Islam.
Kes-kes bunuh diri melibatkan lelaki dilaporkan berlaku kerana satu punca utama.
Golongan lelaki mempunyai masalah untuk menangani tekanan mental dengan lebih baik jika dibandingkan dengan wanita. Lelaki juga enggan bercerita tentang masalah mental atau masalah yang sedang mereka hadapi kepada orang lain, kadangkala termasuklah kepada pasangan sendiri.
Ekoran daripada kelemahan-kelemahan ini, ramai lelaki memilih untuk terus cuba berhadapan masalah yang tidak mampu mereka tangani sendirian sehingga akhirnya ada yang terpaksa memilih jalan keluar, di luar batasan pemikiran.
Situasi ini tidaklah hanya terhad kepada negara kita, bahkan turut sama berlaku di kebanyakan negara berbeza apabila kita bercakap tentang pelaku lelaki.
Jagalah tepi kain kawan-kawan kita sikit
Seperti yang penulis ceritakan - perangai atau peel seorang lelaki memang sukar untuk menerima dirinya jatuh atau gagal.
Sekiranya situasi itu menghempap dirinya, dia gemar mendiamkan rasa kekecewaan terhadap dirinya sendiri berbanding membuka mulut, berkongsi penderitaan yang ditanggungnya.
Seandainya pasangan anda baru saja hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan atau sedang bergelut dengan masalah yang menggugat kedudukannya sebagai 'ketua keluarga', rajin-rajinlah bertanya khabar dia.
Jika anda mempunyai kenalan yang anda tahu sedang mengalami masalah, jangan berat mulut atau kaki untuk menjenguk mereka. Hubungi semula rakan yang tiba-tiba diam menyepikan diri.
Penulis banyak belajar daripada pengalaman pertama berhadapan sahabat yang memilih untuk memencilkan diri, menebalkan rasa malu daripada berani menceritakan kepada rakan terdekat yang sepatutnya layak membantu.
Akhirnya kami kumpulan rakan hanya mampu menuding jari, menyalahkan diri sendiri dan satu sama lain kerana gagal cakna dengan keadaan saudara kami. Mujur kami hanya berhadapan dengan rakan yang hidupnya berdepan kesulitan tetapi meninggal dunia di atas katil hospital.
Sukar kami bayangkan sekiranya rakan kami memilih jalan berbeza.
Selepas setiap kes bunuh diri yang berlaku, pasti ada pihak yang akan menyalahkan si mati yang memilih jalan mudah daripada terus cekal mengharungi hidup dalam tekanan. Dalam perspektif berbeza, ada juga pihak bertindak menyalahkan diri sendiri, kerana gagal mengambil berat lebih awal.
Jadilah mereka yang peduli.
Tindakan 'menyibuk-nyibuk' anda itu mungkin dapat menyelamatkan satu nyawa daripada melakukan tindakan yang bodoh - yang bagi mereka, adalah satu-satunya jalan keluar yang mereka ada.