Seorang gadis berusia 18 tahun dari Riyadh, Arab Saudi, fokus untuk melakukan kebaikan dan menolong orang lain dengan mencipta permainan video yang mampu mendiagnosis remaja yang mengalami gangguan kegelisahan (anxiety disorder).

Gadis yang bernama Rasha Alqahtani ini mendapat ilham ini daripada pengalamannya sendiri melalui rakan dan keluarga yang mengalami tekanan akibat pandemik yang sedang melanda ketika ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Rasha mula melakukan kajiannya pada tahun lepas ketika menjadi peserta Mawhiba, sebuah program yang dianjurkan untuk pelajar cemerlang dan berbakat di Arab Saudi.

Tahun ini, prototaipnya telah memenangi anugerah sains di Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa Regeneron yang dianjurkan oleh Persatuan Sains di Washington, DC. Prototaip ini dibina bertujuan untuk mengatasi sekatan yang dihadapi remaja bagi mendapatkan rawatan kesihatan mental.

Tekanan dihadapi rakan dan keluarga

Rasha mendapat ilham setelah melihat ahli keluarganya mengalami kegelisahan akibat pandemik COVID-19, rakan sekolah menangis dalam setiap ujian kerana tekanan dan orang asing yang membuat pengakuan mengalami masalah mental di media sosial.

Pada satu tahap, Rasha sebagai pelajar cemerlang straight-Ajuga bergelut untuk mengekalkan tahap terbaiknya.Dia tekad mahu membantu rakan-rakannya dan mereka yang segenerasi dengannya untuk memahami tahap kesihatan mental mereka dengan cara berbeza.

gad anxiety disorder

Rasha mendapati bahawa kesedaran mengenai kesihatan mental agak terhad di Arab Saudi dan negara-negara jirannya. Malah, kesihatan mental sering dipandang negatif masyarakat setempat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa kegelisahan (anxiety) berada dalam senarai 10 penyebab utama masalah kesihatan dan ketidakupayaan remaja. Rasha juga tahu bahawa seseorang remaja itu biasanya takut untuk berjumpa dengan pakar psikologi.

Rasha yang meminati permainan video "Minecraft" telah menggunakan pendekatan yang sama untuk menilai tahap kesihatan mental remaja seusianya. Dia tahu cara ini lebih menyeronokkan berbanding cara konvesional dan remaja akan berasa lebih selesa.

Membangunkan permainan video

Daripada menghabiskan masa dan wang untuk membina sebuah permainan video dari awal, Rasha hanya membina apa yang dipanggilnya sebagai "feature" atau modul tambahan yang dapat diakses pengguna melalui permainan video "Minecraft" yang sedia ada.

Gadis itu menghasilkan sebuah video yang kelihatan seperti "Minecraft: Story Mode" di mana pemain boleh memilih pengembaraan sendiri dengan menentukan bagaimana mereka mahu memberikan tindak balas terhadap beberapa senario berbeza.

minecraft story mode

Dalam versi yang dihasilkan Rasha, pemain bukannya memilik watak mana yang perlu diselamatkan dari musuh tetapi pemain memilih bagaimana reaksi mereka terhadap senario berbeza yang berpotensi menimbulkan kegelisahan.

Rasha juga mengadaptasi psikometrik dari tahun 1950-an yang dihasilkan oleh Taylor Manifest Anxiety Scale (TMAS) yang pertama kali digunakan secara antarabangsa untuk mengukur kecenderungan seseorang terhadap gangguan kegelisahan.

Pemain akan diberi markah bagi setiap soalan yang diselesaikan. Keseluruhan markah terkumpul daripada semua 13 soalan akan menentukan tahap kegelisahan pemain itu. Lebih tinggi markah yang diperolehi maka tahap kegelisahan mereka juga tinggi.

Ciptaannya mendapat sambutan

Menurut satu tinjauan yang dilakukannya, Rasha mendapati seramai 500 pemain menawarkan diri untuk mendapat penilaian psikologi ini melalui permainan videonya. Rasha sendiri pernah membimbing 35 pemain wanita untuk mengambil bahagian melalui aplikasi Zoom.

Analisis yang dilakukan Rasha menunjukkan senario permainan video ini seakan-akan sama dengan keputusan ujian TMAS yang sebenar. Pemain yang melakukan ujian TMAS dan permainan video Rasha mendapat markah yang hampir sama.

analisis rasha alqahtani

Analisis Rahsa antara permainan videonya dan ujian TMAS

Rasha amat bangga apabila kerja kerasnya dihargai dan dianggap sebagai sesuatu yang dapat memberi perubahan dalam kehidupan.

Inovasi gadis ini dilihat dapat menjadi sebahagian daripada bidang terapeutik digital yang diintegrasikan dengan psikologi dan teknologi. Rasha berhasrat menyambung pelajarannya dalam jurusan perisian atau kejuruteraan bioperubatan di pusat pengajian yang menjadi pilihan utamanya iaitu Universiti Raja Saud.

Dia juga merancang untuk menambah lagi beberapa ukuran berbeza dalam penilaian kesihatan mental ke dalam permainan videionya supaya lebih lengkap. Rasha juga mengalu-alukan kolaborasi untuk lebih memajukan projek yang diusahakannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)