Semasa Wulan Mayastika masih kecil, ayahnya menguasai wilayah Badran di Jogjakarta.
Walaupun baru berusia setahun jagung, Wulan dapat menghidu ada sesuatu yang tidak kena dengan bapanya. Bapanya dilahirkan sebagai Gunardi tetapi Wulan hairan mengapa bapanya dipanggil “Gun Jack” oleh semua orang dengan rasa hormat dan gerun.
Wulan juga keliru mengenai pekerjaan bapanya sebagai seorang penjual bakso sahaja tetapi kenderaan bapanya dipenuhi dengan senjata dan sering ditemani para pengikut yang setia ke mana sahaja dia pergi.
BESARKAN TEKS A- A+
Syak dengan ayah
Wulan mula mengesyaki bapanya adalah preman (panggilan untuk samseng jalanan di Indonesia) apabila melihat cara hidupnya lain daripada yang lain. Ayahnya juga sering keluar "bekerja" pada waktu malam dan tidur pada siang hari.
Semasa masih di bangku sekolah, Wulan selalu berasa hairan melihat rakan-rakan ayahnya yang kebanyakannya berwajah bengis dan bersenjata. Walau bagaimanapun, mereka sangat mesra dengan Wulan.
Suatu pagi ketika Wulan hendak ke sekolah, dia tunduk di dalam kereta untuk mengikat tali kasut dan terkejut melihat beberapa bilah pedang tersorok di bawah kerusi. Apabila dia bertanya kepada ibunya milik siapakah pedang-pedang tersebut, ibunya memberitahu yang kesemuanya adalah milik bapa Wulan.
Wulan dibesarkan di Badran, daerah yang terkenal dengan jenayah. Bandar itu pada mulanya adalah sebuah tapak perkuburan Cina. Dahulu, ramai penjenayah bersembunyi di sebalik perkuburan Cina ini bagi mengelak apabila diburu polis. Semakin lama, kawasan itu semakin membangun.
Hari ini, Badran terkenal dengan pelbagai aktiviti jenayah. Menurut Wulan, jika seseorang itu datang dari Badran, sudah pasti mereka adalah penjenayah, kaki botol, penjudi, waria (golongan pondan) atau seorang yang gila.
Ketua samseng Jogjakarta
Dalam kejiranan hitam inilah Gun Jack meningkat naik dan menempa nama. Preman merupakan gelaran untuk penjenayah jalanan yang dicedok daripada bahasa Inggeris iaitu "free man". Gun Jack berjaya menguasai wilayah tersebut dalam banyak hal berkaitan jenayah.
Dia bersama konco-konconya bekerja sebagai pelindung kepada pusat judi tempatan dan mengutip wang perlindungan daripada orang kaya yang juga terlibat dalam jenayah. Selain itu, mereka juga melakukan kerja sampingan sebagai pengawal dengan menawarkan khidmat mereka untuk Partai Persatuan Pembangunan (PPP).
Walaupun Gun Jack merupakan seorang preman, dia juga terkenal kerana sikap baik hati dan keterbukaan mindanya. Dia pernah mengambil seorang anak angkat dari bandar Solo setelah kanak-kanak berusia 13 tahun itu kematian bapa.
Kini, budak yang diberi nama Mas Doni itu sudahpun berusia 39 tahun dan merupakan satu-satunya anak Gun Jack yang mengikuti jejak langkahnya.
Mas Doni turut serta terlibat dalam aktiviti samseng kerana keadaan yang 'memaksanya' berbuat demikian. Walau bagaimanapun, Gun Jack tidak pernah menghukum atau memarahi Mas Doni.
Menurut Mas Doni, ayahnya itu tidak pernah menghakimi sesiapapun. Gun Jack hanya mahu setiap manusia menjadi diri mereka sendiri. Disebabkan itulah Mas Doni menyerahkan seluruh hidupnya kepada Gun Jack sebagai salah satu cara untuk membalas jasa ayahnya itu.
Malu dengan ayah
Lain pula kisahnya dengan Wulan. Walaupun membesar sebagai anak Gun Jack sering digambarkan sebagai bertuah tetapi pada masa yang sama dia berasa kecewa. Semasa kelahiran Wulan, Gun Jack sedang dihukum penjara kerana membunuh dengan tidak sengaja semasa pergaduhan di pusat hiburan tempatan.
Selepas dibebaskan, Gun Jack mencuba sedaya-upaya untuk mengelakkan diri daripada dipenjara tetapi kerap kali tidak dapat menahan amarah jika dicabar.
Gun Jack tidak pernah mengikut peraturan kerana merasakan bahawa dialah yang mencipta peraturan di situ. Dia pernah membawa Wulan berjalan-jalan di Malioboro dan meletakkan kenderaan di tempat yang dilarang. Kerana melakukan kesalahan parkir, atendan tempat letak kereta telah menegurnya.
Gun Jack yang berang apabila ditegur terus memanggil rakan-rakannya dan memukul atendan berkenaan beramai-ramai. Wulan benci dengan apa yang dilihatnya dan lari meninggalkan Gun Jack kerana lebih rela berjalan kaki pulang.
Banyak lagi peristiwa bersama Gun Jack yang membuatkan Wulan tidak selesa dengan ayahnya itu. Pernah sekali, kumpulan Gun Jack telah bertembung dengan kumpulan musuh yang ingin membalas dendam. Apabila Wulan tiba di rumah, dia mendapati kesemua tingkap rumahnya telah pecah.
Warung bakso milik Gun Jack juga telah musnah akibat dibom oleh musuh. Kejadian yang menjadi tajuk berita utama dalam akhbar tempatan itu membuatkan Wulan trauma dengan ayah sendiri.
Kelebihan menjadi anak ketua samseng
Wulan akui bahawa terdapat juga kelebihan menjadi seorang anak preman terbesar. Orang yang tidak dikenali sering memberikan Wulan hadiah jika dia mengunjungi stesen kereta api berhampiran. Pengusaha restoran kadangkala enggan menerima wang apabila Wulan datang untuk makan.
Malah, pengawal keselamatan juga akan tunduk hormat padanya dan menemaninya melintas jalan dengan selamat. Setiap kali ayahnya datang menjemput dari sekolah, gerombolan kanak-kanak akan berteriak "Gun Jack! Gun Jack!" Semua orang mengenali ayahnya, tidak mengira peringkat usia.
Apabila Wulan meningkat dewasa, Gun Jack mula mendedahkan rahsia lain yang disimpannya selain menjadi preman dan penjual bakso.
Perisik rahsia
Pada suatu hari, Gun Jack mengajak Wulan untuk duduk berbicara dengannya. Dia tahu anak gadisnya itu berasa malu dengan diri dan pekerjaannya. Setelah beberapa ketika, Gun Jack menunjukkan satu kad sambil memberitahu Wulan yang dia sebenarnya adalah seorang perisik BIN (Badan Intelijen Negara) dan itulah kerjaya sebenarnya. Gun Jack memberitahu Wulan tiada apa yang perlu dimalukan, malah sepatutnya Wulan perlu berasa bangga dengannya.
Wulan mula sedar akan kesilapannya kerana salah tanggapan terhadap ayah sendiri. Setelah itu, barulah Wulan faham mengapa Gun Jack sering ke luar kawasan, adakalanya ke luar negara seperti semasa berlakunya kekacauan di Poso pada tahun 2000 dan ketika isu pengeboman di Bali pada tahun 2002.
Wulan kini sudahpun berusia 25 tahun dan masih menetap di Badran. Hidupnya sebagai anak preman terbesar menjadi inspirasi bagi dirinya melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi di Universiti Gadjah Mada untuk mengkaji minda dan cara manusia berfikir.
Gun Jack menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 2011 disebabkan limfoma. Bagi Wulan, setelah ketiadaan bapanya, bandar Badran tidak lagi sama. Pengganti ayahnya iaitu preman yang lebih muda dan sukakan kekerasan telah menguasai Jogjakarta dan seringkali memburukkan nama bandar itu.
Role-model yang baik
Wulan memilih untuk mengetengahkan kisah mengenai Gun Jack supaya ia dapat menjadi contoh yang baik kepada preman lain. Kini, keadaan semakin genting di bandar itu kerana pergaduhan sering tercetus atas sebab peribadi, kuasa dan kebendaan.
Menurut Wulan, rakyat di bandar itu perlukan contoh yang baik bagaimana untuk menguasai kawasan secara bermaruah, membela nasib saudara-mara serta menjaga keamanan kejiranan.
Bagi Mas Doni pula, kehidupan Gun Jack telah menjadi inspirasi kepadanya. Semasa hayatnya, Gun Jack sering menghulurkan bantuan dengan memberi beras percuma kepada ibu-ibu tunggal dan membantu membina masjid tempatan dengan tulang empat keratnya sendiri. Selain bersifat pemurah, Gun Jack sering bergaul mesra dengan warga tempatan dan dikenali serta disegani semua orang.
Seperti pepatah mengatakan "harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama". Itulah yang dapat digambarkan oleh Mas Doni dan Wulan.