Tahukah anda, kebarangkalian untuk seseorang itu memenangi loteri adalah lebih rendah berbanding kebarangkalian dipanah petir, iaitu sekitar 1 dalam 960,000.

Kebarangkalian anda dipanah petir dua kali dalam seumur hidup jika anda hidup sehingga umur purata adalah sekitar 1 dalam 9,000,000.

Ini menunjukkan bahawa betapa sukarnya untuk memenangi loteri. Namun, bagaimana jika anda menggodam sistem loteri yang boleh meningkatkan peluang kemenangan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dan jika ini boleh dilakukan, sudah pasti ramai ahli matematik dan para penggodam mampu memenanginya, kan?

Ini membawa kita kepada kisah Jerry dan Marge Selbee.

jerry dan marge selbee pada tahun 1974

(Marge dan Jerry Selbee pada tahun 1974)

Pasangan ini mula bercinta sejak di bangku sekolah lagi dan masih lagi dilamun cinta dalam menikmati sisa-sisa hidup mereka.

Mereka tinggal di sebuah pekan kecil di Michigan yang dikenali sebagai Evart, untuk tempoh yang lama.

Jerry dan Marge mempunyai 6 orang anak dan mempunyai kedai serbaneka yang sangat dikenali oleh 1,900 penduduk pekan itu.

Marge bertanggungjawab dalam membuat sandwic manakala Jerry pula menjaga bahagian rokok dan minuman keras.

Dan ketika Jerry dan Marge masing-masing berusia 63 dan 62 tahun, mereka memutuskan untuk menjual kedai tersebut.

Rancangan mereka adalah untuk berehat, menonton TV dan menghabiskan sisa hidup. Selama mengendalikan kedai serbaneka tersebut untuk tempoh 17 tahum mereka tidak pernah mengambil cuti.

kedai serbaneka milik jerry dan marge selbee

(Kedai serbaneka milik pasangan Selbee)

Jadi, Jerry dan Marge berhak menikmati persaraan ini dan langsung tidak menyangka akan menjadi jutawan.

Pada suatu hari pada tahun 2003, Jerry ternampak sebuah risalah tentang satu permainan loteri baharu yang dikenali sebagai "WinFall". 

Jerry sememangnya seorang yang sangat pintar dalam matematik dan ketika muda menerima ijazah sarjana muda dalam subjek ini dari Universiti Western Michigan.

Dan apabila dia melihat permainan ini, dengan serta-merta Jerry mendapat satu idea bernas.

"Saya membaca tentangnya dan saya melihat potensi pada permainan ini," kata Jerry Selbee.

Risalah itu menyenaraikan pelbagai kebarangkalian tekaan yang betul.

loteri winfall

Jerry melihat dia mempunyai 1 dalam 54 peluang untuk memilih kombinasi 3 nombor daripada 6 nombor dalam satu-satu pilihan untuk memenangi $5.

Dia juga mempunyai kebarangkalian 1 dalam 1,500 untuk memilih kombinasi 4 nombor yang membolehkannya memenangi $100.

Dengan melakukan kiraan matematik, seorang pemain yang menunggu untuk roll-down berlaku, boleh memenangi wang tunai lebih daripada wang yang kalah, selagi tidak ada pemain yang memilih 6 nombor.

Jika tiada orang memenangi jackpot, setiap kombinasi 3 nombor yang menang boleh memberikan pulangan $50 kepada pemain, dan bukannya $5 yang ditawarkan pada asalnya.

Dan bagi kombinasi 4 nombor yang menang, pemain akan menerima $1,000 dan bukann $100. Dan jika tiada pemain yang menang jackpot, Jerry menyedari bahawa tiket loteri bernilai $1 mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada $1 ketika roll-down berlaku.

kedai di mana jerry mula mula ternampak tentang loteri winfall

(Kedai di mana Jerry ternampak risalah loteri WinFall)

Penemuan ini bukanlah dilakukan berlaku selepas beberapa bulan penyiasatan. Jerry menyedari tentangnya hanya selepas kira-kira 3 minit bahawa terdapat kecacatan pada loteri ini.

Dia menjelaskan bahawa permainan loteri seperti Mega Millions, hadiah akan terkumpul dan meningkat jika tiada siapa memenangi jackpot.

Berbeza dengan WinFall, di mana apabila tiada orang memenangi hadiah terbesar, jackpot akan mengalami roll down. 

Roll down berlaku apabila tiada pemenang jackpot, dan wang tunai tersebut akan diagihkan ke peringkat hadiah tertinggi (di bawah jackpot) yang mempunyai pemenang. Dengan kata mudah, jika tiada pemenang nombor 1, maka wang tersebut akan diberikan kepada pemenang nombor 2.

Dan sudah tentunya hadiahnya tidaklah sebesar jackpot, tetapi jumlahnya agak lumayan.

Bagi orang biasa seperti anda dan penulis, kita mungkin tidak menyedari sesuatu yang istimewa dalam situasi ini. Tetapi bagi Jerry yang sangat pintar, dia serta-merta mendapat cara untuk menggodam loteri ini.

bermain judi loteri adalah haram dalam islam

Dalam satu wawancara dengan media Amerika, Jerry menjelaskan bagaimana dia menggodam loteri tersebut:

"Ini apa yang saya katakan. Saya kata jika saya bermain $1,100, secara matematiknya saya akan dapat satu pemenang nombor 4, dan saya akan menang $1,000. Saya bahagikan $1,100 dengan enam, dan bukannya 57 kerana saya melakukan kira-kira dan saya memperoleh angka 18. Jadi saya tahu saya akan dapat 18 atau 19 pemenang nombor 3, dan saya memenangi $50 bagi setiap satunya. Dengan 18, saya mendapat $1,000 untuk pemenang nombor 4, dan saya mendapat 18 pemenang nombor 3 bernilai $50 setiap satunya, berjumlah $900. Jadi, saya memperoleh $1,900 dengan pelaburan $1,100,". kata Jerry Selbee.

Keuntungan daripada pelaburan Jerry ini adalah sekitar 80%.

Sistem yang digunakan Jerry ini mungkin kelihatan seperti rumit bagi kebanyakan orang, namun dia berkata ia sebenarnya aritmetik yang sangat asas.

Dan disebabkan itu, Jerry berfikiran bahawa jika dia boleh melakukan semua ini, sudah tentunya mereka yang pandai dalam matematik juga mampu. Namun, tidak ada siapa pun yang mengetahui tentang hal ini.

Apabila roll-down pertama diumumkan, Jerry melaburkan $3,600 untuk membeli tiket, dan mendapat pulangan $6,300. Dia kemudiannya melaburkan $8,000 dan memperoleh hampir dua kali ganda jumlah tersebut.

tiket loteri winfall

Melihatkan peluang lebih besar, Jerry memberitahu Marge untuk menggunakan simpanan persaraan mereka untuk bermain loteri dan berkata bahawa ia tidak mempunyai risiko kerana dia menggodam loteri tersebut.

Marge tidak terkejut dan berkata ketika diterangkan oleh Jerry, semuanya masuk akal. Satu-satunya perkara yang membuatkan Jerry keliru adalah mengapa masih tiada orang lain yang mengetahuinya.

Jerry meneruskan penggodamannya tetapi kali ini dengan jumlah yang lebih besar. Terlalu besar sehinggakan dia menubuhkan syarikat yang diberi nama G.S Investment Strategies.

Dalam satu wawancara bersama CBS, Jerry menunjukkan kepada wartawan tentang butiran setiap kemenangan, dan mengatakan bahawa kemenangan terbesar adalah ketika dia membeli loteri bernilai $515,000 dan menang $853,000.

Jerry kemudiannya menjual saham dalam syarikat kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya. Mereka ini menerima pulangan pelaburan yang sangat tinggi daripada kemenangan Jerry.

tiket loteri yang dibeli oleh pasangan selbee

(Tiket loteri yang dibeli pasangan Selbee)

Kebanyakan daripada mereka yang bukan ahli keluarga adalah penduduk pekan kecil itu yang dikenali sejak dahulu lagi. 

Jerry menerangkan tentang matematik di sebalik loteri itu dan terus memenangi hadiah besar. Salah seorang daripada rakan Jerry memberitahu bahawa pulangan kemenangan tersebut membantunya membayar yuran persekolahan 3 orang anaknya dan seorang lagi ke kolej perundangan.

2 tahun kemudian pada tahun 2005, Jerry mempunyai 25 anggota dalam "kelab loteri" nya. Sesetengah daripada mereka adalah anggota polis, pengurus kilang dan bank.

Namun, secara tiba-tiba Michigan memberhentikan permainan itu dengan alasan tidak menguntungkan, sekaligus menamatkan pelaburan yang boleh dilakukan Jerry.

Tak lama kemudian, Jerry menerima berita baik apabila salah seorang daripada anggota kumpulannya memberitahu bahawa terdapat permainan yang lebih kurang sama di Massachusetts, 1,448 kilometer dari tempat tinggal mereka.

jarak dari evart ke massachusetts

(Jarak dari pekan kecil Evart ke Massachusetts)

Jerry dengan pantas melihat permainan itu dari komputer dan sebaik sahaja dia mengkaji permainan itu, Jerry memberitahu rakannya itu bahawa mereka boleh bermain loteri itu.

Masa yang diambil oleh Jerry untuk mencari penyelesaian bagi menjamin kemenangan bagi loteri ini sekitar 10 minit. Dengan itu, kumpulan Jerry mula mengumpulkan wang bagi memulakan permainan di Massachusetts.

Untuk tempoh 6 tahun, Jerry dan marge akan memandu sejauh 1,448 kilometer untuk ke Massachusetts setiap kali mereka mengetahui roll-down dilakukan.

Mereka akan membeli berpuluh-puluh ribu tiket loteri setiap hari dan mereka berkata ia seperti satu pekerjaan di mana kadang-kala mereka bekerja hampir 10 jam sehari.

Mereka menyimpan berjuta-juta tiket yang kalah, sekiranya ada pihak yang menyiasat mereka.

tiket loteri yang kalah disimpan di dalam bekas sebagai persediaan jika mereka disiasat

(Tiket loteri kalah yang disimpan sekiranya mereka disiasat pihak berkuasa)

Apa yang dilakukan oleh Jerry dan Marge adalah tidak melanggar undang-undang kerana mereka hanyalah bermain loteri, namun mereka perlukan bukti bahawa mereka tidak menipu.

Pasangan warga emas ini juga memberitahu bahawa mereka tidak kisah dengan kerja keras dan memandu sejauh itu, hanya kerana ia berbaloi melihatkan ahli keluarga dan teman rapat mereka menang. 

Dan pada tahun 2011, akhbar The Boston Globe seolah-olah mengetahui tentang Jerry dan Marge. Mereka mendapat tahu berita bahawa seseorang atau sekumpulan orang membeli tiket dalam jumlah yang banyak di tempat-tempat tertentu di Massachusetts.

Apa yang menarik adalah The Boston Globe bukan sahaja mengetahui bahawa jika anda membeli sejumlah tiket untuk permainan ini anda akan terjamin untuk menang, tetapi juga penyiasat mendapati ada dua kumpulan yang melakukan perkara ini.

jerry selbee menewaskan sistem loteri winfall

(Jerry Selbee yang digelar Penggodam Loteri)

Wartawan memberitahu salah satunya adalah sindiket pasangan Selbee, dan pesaing mereka tak lain dan tak bukan adalah pelajar dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT).

Sekumpulan pelajar MIT mengumpulkan wang untuk dilaburkan dalam skim ini dan melakukannya dalam tempoh 7 tahun dengan jumlah keuntungan bernilai $3.5 juta (RM14.4 juta).

Apabila kisah ini terbongkar, permainan ini dihentikan serta-merta dan satu penyiasatan dilakukan yang diketuai oleh inspektor jeneral Massachusetts pada ketika itu.

Beliau memberitahu pihak media bahawa pasukannya bekerja keras untuk mencari jika wujudnya rasuah, penipuan atau apa-apa yang melanggar undang-undang. Namun, mereka mendapat bahawa tiada pelanggaran undang-undang yang berlaku.

"Saya sangat terkesima bahawa genius matematik ini berjaya mencari cara yang sah untuk memenangi loteri dan memperoleh keuntungan berjuta-juta dolar daripadanya," kata inspektor jeneral tersebut.

Sepanjang 9 tahun, syarikat yang diasaskan oleh Jerry dan Marge Selbee memperoleh sekitar $26 juta (RM106.6 juta).

jerry and marge win money using math

(Marge dan Jerry Selbee dalam wawancara dengan rancangan 60 Minutes)

Sebahagian besar daripada kemenangan ini diberikan kepada anak-anak, cucu dan bakal cicit pada masa akan datang. Mereka juga menggunakan wang tersebut untuk mengubah suai rumah.

Media melaporkan bahawa kumpulan itu masih bersama pada hari ini, tetapi hanya bertaruh dalam permainan poker antara satu sama lain.

Sehingga ke hari ini, Jerry memberitahu bahawa perkara paling menghairankan adalah tiada siapa yang mengetahui tentangnya, hanya sehinggalah diketahui pelajar MIT.

Mereka digelar sebagai The Lottery Hackers (Penggodam Loteri), diwawancara oleh rancangan 60 Minutes dan mungkin kisah mereka akan dijadikan inspirasi kepada filem Hollywood.

Rujukan:

1. CBS News

2. The Infographics

3. Insider

4. Business Insider




Hakcipta iluminasi.com (2017)