Bandar Kantubek adalah sebuah bandar yang di Pulau Vozrozhdeniya berdekatan Laut Aral, di bawah pentadbiran kerajaan Uzbekistan. Lokasinya pula betul-betul berdekatan sempadan negara itu dan jirannya Kazakhstan.

Sekitar beberapa dekad lalu Kantubek menjadi lokasi di mana saintis-saintis pakar dalam bidang biologi Kesatuan Soviet berkumpul, bagi menjalankan eskperimen membangunkan senjata biologi serta mengujinya, mengikut rancangan kepimpinan Kesatuan Soviet.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun ada sesuatu yang buruk telah berlaku di sana menjadikannya sebuah bandar tinggal yang kini tidak lagi didiami sesiapa, kecuali mereka yang benar-benar cekal jiwanya. Kenapa?

Sejarah awal Kantubek

aralsk7 bandar kantubek

Kantubek berkembang pesat pada zaman Kesatuan Soviet sebagai sebuah penempatan yang didirikan untuk menyokong pelbagai operasi kerajaan di Pulau Vozrozhdeniya, dikenali dengan nama rasmi Aralsk-7 dalam kod pendaftaran Kesatuan Soviet.

Pulau Vozrozhdeniya ini mula mendapat perhatian sekitar tahun 1950-an ketika Kesatuan Soviet memilihnya sebagai tapak untuk ujian senjata biologi. Keadaan geografinya yang agak terpencil di tengah-tengah Laut Aral menjadikannya ideal bagi kerajaan Soviet menjalankan pelbagai eksperimen, secara terbuka ataupun rahsia.

Pulau Vozrozhdeniya dipilih jelas kerana lokasinya yang jauh dari penempatan awam dan kedudukan geografinya yang secara semulajadi diasingkan oleh Laut Aral. Kelebihan geografi ini memastikan keselamatan dan kerahsiaan dapat dieplihara dengan baik.

aralsk7 bandar kantubek antraks

Kantubek satu masa dulu

Di sinilah Soviet menguji pelbagai jenis patogen berbahaya seperti antraks, cacar, wabak dan tularemia untuk dijadikan senjata biologi.

Kantubek mula dibangunkan sebagai sebuah bandar terancang, dilengkapi kemudahan infrastruktur asas seperti perumahan, hospital, sekolah dan kemudahan lain, bagi memudahkan golongan saintis dan pekerja yang berkhidmat di tapak ujian tersebut.

Di era kepesatannya, Kantubek membangun menjadi sebuah komuniti yang sibuk dengan penduduk yang terdiri daripada ahli sains, tentera, dan keluarga mereka.

Kantubek Menjadi Tempat Pembuangan Antraks Terbesar di Dunia

makmal ujikaji antraks

Pada tahun 1971, selepas penghasilan besar-besaran bakteria antraks untuk dijadikan sebagai senjata biologi, Kesatuan Soviet menghadapi masalah lebihan stok antraks.

Jika sebelum itu kita bercakap berkenaan kelebihan yang dimiliki Pulau Vozrozhdeniya menyebabkannya terpilih untuk dijadikan pusat kajian, kelebihan itu jugalah menyebabkan Pulau Vozrozhdeniya dipilih sebagai tempat pembuangan bahan berbahaya ini kerana lokasinya yang terpencil dan sukar diakses orang awam.

Puluhan tan spora antraks yang tidak lagi diperlukan ditanam di pulau ini, menjadikannya tempat pembuangan antraks terbesar di dunia.

Bagaimanapun, sifat spora antraks tahan lama dan mampu bertahan walaupun dalam tanah selama berpuluh-puluh tahun, menjadikan kawasan ini berbahaya dan layak dianggap tercemar.

Ini menyebabkan risiko kesihatan yang besar bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi juga kepada masyarakat, kerana perubahan bentuk muka bumi Pulau Vozrozhdeniya mengubahnya menjadi semenanjung disebabkan semakin surut paras air Laut Aral.

Penutupan Operasi dan Kejatuhan Soviet:

1482230649 swalker org avtoklavy kuda pomeschali umershih obezyan pri vysokoy temperature i davlenii dlya obezzarazhivaniya 1

Keadaan di sana mula mengalami perubahan ketara pada tahun 1991 selepas kejatuhan Kesatuan Soviet .

Dengan kejatuhan Kesatuan tersebut yang menjadi penggerak utama ekonomi di sana, Pulau Vozrozhdeniya dan khususnya bandar Kantubek mula ditinggalkan. Tanpa sokongan kerajaan pusat, tapak pelupusan bahan cemar yang ada tidak lagi dapat diselia dengan baik.

Laut Aral juga menyusut drastik akibat beberapa projek pengairan Soviet sebelum itu yang telah menyekat aliran sungai. Campur tangan manusia ini menyebabkan Pulau Vozrozhdeniya bertukar menjadi sebuah semenanjung yang bersambung dengan daratan, meningkatkan risiko penyebaran kontaminasi yang sebelum itu dibantu oleh kawasan perairan.

Jika anda buka peta sekarang, anda akan mendapati apa yang dinamakan sebagai Pulau Vozrozhdeniya kini tidak lagi menyerupai sebuah pulau.

kantubek kesatuan soviet patogen bandar

Penduduk Kantubek terpaksa meninggalkan bandar tersebut kerana pencemaran biologi yang memberi risiko besar kepada mereka. Sisa-sisa patogen berbahaya yang masih ada di tapak ujian menjadikan kawasan tersebut tidak selamat untuk didiami.

Walaupun ada gesaan agar usaha untuk membersihkan kawasan dijalankan, namun gerak kerja yang perlu berhadapan kesukaran serta memerlukan sumber yang banyak, yang pada ketika itu tidak dimiliki kerajaan Uzbekistan dan Kazakhstan yang baru merdeka.

Projek pembersihan dengan kerjasama Amerika Syarikat

Pada awal 2000-an, disebabkan risiko antraks yang masih digeruni, satu usaha pembersihan besar-besaran dilancarkan dengan bantuan pihak antarabangsa bagi mengurangkan bahaya antraks di Pulau Vozrozhdeniya.

Kerjasama pasukan pakar dari Amerika Syarikat dan Uzbekistan menggali dan memusnahkan sisa-sisa antraks yang tertanam, membakar spora-spora antraks yang masih bersisa serta menggunakan bahan kimia untuk mendekontaminasi tanah agar tidak lagi berisiko kepada manusia.

Projek besar-besaran ini pada ketika itu merupakan gerak kerja operasi dekontaminasi biologi terbesar dalam sejarah, yang banyak memberikan panduan dan maklumat penting dalam pengurusan dan pembersihan tapak yang telah tercemar.

Walaupun demikian, usaha pembersihan yang dijalankan hanya berjaya mengurangkan risiko pencemaran namun pulau tersebut tetap dianggap tidak selamat untuk dikunjungi apatah lagi untuk didiami.

Ditutup kepada orang awam

bandar kantubek abandoned

Kantubek kini ditutup aksesnya dan untuk melawat pulau ini, seseorang memerlukan kebenaran khas daripada kerajaan Uzbekistan dan Kazakhstan. Ini kerana pulau tersebut dianggap kawasan berisiko tinggi kepada manusia.

Tidak ada seorang pun penduduk tetap direkodkan di Kantubek, kekal tidak didiami akibat latar belakangnya yang penuh dengan kisah buruk. Walaupun ditinggalkan, Kantubek tetap menarik minat pengkaji sejarah dan wartawan yang ingin melihat sendiri kesan-kesan yang telah berlaku akibat Perang Dingin.

Pernah menempatkan bijak pandai dari seluruh Soviet, apa yang berlaku kepada Kantubek adalah peringatan untuk kita tentang kesan buruk menjalankan eksperimen biologi yang tidak terkawal serta mengeksploitasi alam sekitar tanpa ada hala tuju.

Kini dibiarkan sepi, Kantubek masih lagi didaftarkan sebagai sebuah bandar, tetapi sayang terpaksa ditinggalkan dek pemimpin yang besar rasa halobanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)