Pada 18 November 2020, kerajaan kita secara rasmi telah bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan China dalam beberapa bidang berkaitan pandemik Covid-19 khasnya berkaitan pembangunan vaksin.
Perjanjian 5 tahun ditandatangani Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama kementerian sama dari China secara maya, membolehkan negara kita menjadi antara negara rakan utama China dalam pembangunan vaksin serta mempunyai akses penuh dalam penyelidikan yang dijalankan.
BESARKAN TEKS A- A+
Ekoran persetujuan ini, Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin turut mengumumkan persetujuan lisan untuk menyediakan sistem pasport kesihatan digital bagi kegunaan Malaysia - berasaskan teknologi dari China, dalam memantau pergerakan masyarakat keluar masuk rakyat kedua-dua negara.
Banyak pihak di luar negara ketika ini sedang mempertikaikan pelaksanaan sistem ini yang dikatakan akan menggugat privasi masyarakat jika dilaksanakan sepenuhnya. Benarkah dakwaan itu?
Sistem passport kesihatan digital
Sebenarnya ketika ini pun kita sudah menggunakan sistem teknologi yang hampir serupa melalui aplikasi MySejahtera.
MySejahtera yang diperkenalkan pada pertengahan tahun 2020 sebagai usaha merekodkan pergerakan orang ramai bagi mencegah penularan Covid-19 serta menjadi rujukan utama untuk mengetahui kawasan-kawasan berisiko adalah 'passport kesihatan' sedia ada di Malaysia.
Penggunaannya walaupun diwajibkan, layak dikatakan masih ringan kawalannya. Deklarasi kesihatan yang perlu diisi dalam MySejahtera masih bergantung kepada penilaian peribadi kita sendiri dan tahap kejujuran kita.
Seseorang boleh memalsukan data tanpa ada hukuman atau denda yang dikenakan, walaupun individu itu sebenarnya sudah tahu risiko jangkitan jika dia berbuat demikian.
Berbeza dengan kita, sistem yang diamalkan di China lebih ketat berbanding dengan sistem yang kita gunakan sedia ada.
Kekangan yang dicipta passport kesihatan digital China
Teknologi pasport digital di China telah diperkenalkan di China sejak bulan Februari lagi, menerusi sistem aplikasi yang dibangunkan hasil kerjasama syarikat Alipay, WeChat dan kerajaan China.
Dimulakan kali pertama di Hangzhou, sistem menggunakan kod warna yang mewakili tahap kesihatan ini akhirnya berkembang ke beratus-ratus bandar dan pekan di seluruh China, dengan harapan agar penggunaannya secara menyeluruh dapat dicapai.
Sama seperti kita - deklarasi kesihatan yang dilakukan dalam aplikasi di China juga berlandaskan kepada kejujuran seseorang, tetapi memerlukan pengguna melakukan beberapa deklarasi tambahan seperti hubungan ahli keluarga serta melaporkan pergerakan keluar daerah atau rentas negeri dalam aplikasi.
Semua data yang dikumpul dijamin kerajaan China akan dilindungi serta tidak akan disalahguna untuk tujuan lain, melainkan bagi menangani penyebaran Covid-19 di seluruh negara mereka.
Malangnya, hasil beberapa kajian yang dijalankan pihak luar mendapati ada beberapa fungsi tersembunyi terkandung dalam sistem pasport kesihatan milik China.
Sistem pemantauan orang ramai secara menyeluruh
Walaupun deklarasi kesihatan dilakukan secara peribadi, sudah berlaku beberapa kes melibatkan warga China di mana seseorang mendapati status kesihatannya ditukarkan daripada hijau; kepada kuning atau merah secara sendiri.
Status kuning atau merah akan mengehadkan pergerakan orang ramai secara automatik, di mana seseorang individu itu akan diwajibkan menjalani kuarantin selama 7 hari atau 14 hari, seterusnya dihalang daripada masuk ke dalam premis perniagaan dan tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam.
Persoalannya adalah bagaimana status mereka boleh bertukar? Perkara ini masih belum dijawab secara rasmi oleh pengendali passport digital kesihatan China.
Banyak pendapat menyifatkan sistem yang digunakan China sebenarnya mampu menghubungkan individu dengan individu lain bagi menentukan rangkaian pergerakan. Seandainya ada di antara mereka yang sihat berhubung dengan pembawa virus atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi, secara automatik status hijau mereka boleh ditarik balik.
Situasi pertukaran tanpa notis ini telah menyebabkan ramai individu yang secara tiba-tiba ditukarkan kepada status merah terkandas, tidak mampu ke mana-mana. Mereka juga hilang akses untuk masuk ke tempat-tempat awam ekoran warna merah dalam pasport kesihatan mereka - mengakibatkan ramai berdepan kesusahan hidup.
Adakah ini masa depan kita?
Setakat ini kita belum mendengar perkara serupa dilaporkan berkenaan aplikasi MySejahtera yang kita gunakan - walaupun kita tahu MySejahtera memang ada merekodkan pergerakan kita.
Apa yang membimbangkan penulis adalah melihat bagaimana miripnya sistem yang digunapaki kita dengan apa yang telah dilaksanakan di China, tampak jelas pengaruh sistem di sana dengan sistem yang kita yang banyak persamaannya.
Negara-negara barat ketika ini pula baru sedang dalam ujian memperkenalkan sistem pasport kesihatan mereka sendiri, dengan sistem yang dinamakan sebagai CommonPass menjadi antara aplikasi paling hadapan untuk dijadikan pilihan pemantauan perjalanan antarabangsa.
Disokong oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), negara-negara yang menjadi penyokong kepada CommonPass adalah Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Hong Kong dan ujian percubaannya selamat dijalankan, melibatkan penerbangan-penerbangan negara terbabit.
Berbeza dengan sistem dibangunkan China yang bakal dikongsi dengan kita, CommonPass memerlukan seseorang mengambil ujian di makmal yang disahkan dan hanya selepas keputusan ujian itu berjaya dimuatnaik, barulah mereka boleh mendapatkan kebenaran perjalanan dan kod QR dapat dibentuk dalam aplikasi.
Pengumuman Khairy Jamaluddin menerusi ciapan pada 18 November 2020 menjelaskan usaha Malaysia dan China sedang membangunkan sistem passport kesihatan berasaskan teknologi 'blockchain' untuk kegunaan kedua-dua negara, sedikit sebanyak menunjukkan negara kita sedang mengambil pendekatan berbeza.
Agak jelas usaha kita lebih terarah kepada kerjasama bersama China dalam isu vaksin Covid-19 dan pasport kesihatan digital yang bakal diwujudkan. Adakah ini keputusan yang lebih baik? Apa pendapat anda?
Satu soalan utama yang kami ingin ajukan kepada anda;
Seandainya passport digital ini dihubungkan dengan status vaksinasi Covid-19 kita di masa hadapan; wajarkah individu yang tidak divaksin dibataskan pergerakannya?