Oleh pada 13 Sep 2017 kategori

Bilakah kali terakhir anda ke pasar untuk membeli sayur-sayuran, buah-buahan atau bahan makanan lain?  

Di Semenanjung Malaysia, pasar borong yang paling popular dan terbesar mungkin sekali adalah Pasar Borong Selayang. Sesiapa yang pernah ke sana pasti tahu betapa sesaknya keadaan di pasar borong yang menjadi tumpuan peniaga dan orang ramai untuk mendapatkan barang makanan pada harga yang lebih murah dan dalam kuantiti yang banyak. Kereta dan lori memenuhi persekitaran pasar dan membuatkan sesiapa yang tidak biasa menjadi pening kepala.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Central de Abasto adalah pasar borong terbesar di dunia dan terletak di Mexico City.

pandangan atas central de abastos

Di sini, segala jenis hasil pertanian dan barangan makanan dari seluruh pelusuk Mexico dijual. Ianya terletak berdekatan dengan Iztapalapa dan merupakan kawasan komersil yang paling penting di Mexico. Setiap hari hampir 30,000 tan barangan dijualbeli di pasar borong yang berfungsi sebagai tempat pertemuan untuk pengeluar, pemborong, pengedar, peruncit dan juga orang kebanyakan untuk mendapatkan bekalan makanan ini.

pintu masuk ke central de abastos

Central de Abasto ini terletak di atas suatu kawasan dengan keluasan 3.28 kilometer persegi. Bangunan utamanya yang mempunyai saiz 820,000 meter persegi menempatkan lebih 2000 perniagaan yang tertumpu kepada penjualan buah, sayur, daging dan makanan yang telah diproses. Jika dibandingkan dengan keluasan padang bola sepak, keluasan ruang perniagaan di Central de Abasto ini adalah lebih kurang 102 padang bola.

central de abastos

Selain daripada itu, pasar borong bersaiz gergasi ini juga dilengkapi dengan fasiliti lain seperti penyejukan, pengangkutan, pembungkusan dan lain-lain. Pasar ini memberikan 70,000 orang penduduk Mexico City peluang pekerjaan dan ianya dikunjungi oleh seramai 300,000 pelanggan setiap hari. Atas sebab itu, maka beratus-ratus kafe, kedai makan dan restoran wujud untuk menyediakan makanan kepada pekerja dan pengunjung yang teramat ramai ini.

central de abasto horario comercio

Beratus-ratus lori treler membawa masuk bertan-tan hasil pertanian ke pasar borong ini setiap pagi. Untuk memindahkan barangan ini untuk dijual, sejenis troli yang dikenali sebagai diablos digunakan. Terdapat lebih daripada 12,000 troli seperti ini di segenap Central de Abasto dan ianya dikendalikan oleh penarik yang dipanggil diableros

troli diablos dan diableros 604

Troli ini digelar sebagai diablos kerana ianya amat liar dan sukar dikawal apabila sudah dipenuhi dengan muatan. Setiap hari, setiap diableros berjalan sejumlah hampir 32 kilometer dan mengangkut beribu-ribu kilogram muatan semasa menghantar barangan yang telah dijual ke segenap penjuru pasar borong ini.

seorang diableros menarik muatan di atas troli

Pasar borong ini berfungsi sebagai komponen paling penting dalam pengedaran makanan di seluruh Mexico. Apa yang menakjubkan, di dalam pasar borong ini terdapat 17 cawangan pelbagai bank yang menjadi tempat deposit berjuta-juta Dollar Amerika hasil jualan setiap hari. Disebabkan oleh jumlah wang yang sangat besar berlegar di pasar borong ini, ianya menjadi tarikan kepada penjenayah. Untuk mengawal keselamatan di pasar borong ini, seramai 700 anggota polis ditugaskan di sini dan pemantauan juga dijalankan melalui kamera litar tertutup.

polis di central de abastos

Jenayah paling serius di Central de Abasto adalah kes penculikan di mana ahli keluarga dan anak-anak pemilik perniagaan yang besar menjadi sasaran penculik yang inginkan wang tebusan. Beratus-ratus kes penculikan berlaku setiap tahun dan pemantapan tahap keselamatan di pasar borong ini sentiasa ditingkatkan untuk mengurangkan kes-kes penculikan ini. Jenayah lain seperti rompakan, pelacuran, pengedaran dan penyalahgunaan dadah masih berlaku walaupun dikawal ketat oleh pihak berkuasa.

Sumber rujukan: BBC, Wikipedia 




Hakcipta iluminasi.com (2017)