Ada kalanya, kemusnahan hutan di seluruh dunia tidak dapat dielakkan terutamanya untuk pembinaan penempatan baru dan pembangunan. Disebabkan itulah, di sesetengah negara kerajaan telah menggazetkan kawasan tertentu sebagai Taman Negara bagi menghalang khazanah negara daripada dimusnahkan. 

Di Malaysia, kita juga mempunyai puluhan Taman Negara dan Taman Negeri. Antara yang popular adalah Taman Negara Malaysia, Taman Negara  Endau Rompin, Taman Negara Pulau Pinang dan banyak lagi. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Taman-taman negara di seluruh dunia juga mengalu-alukan kedatangan pelancong dan mendorong orang ramai untuk meneroka keindahan Bumi yang ada padanya. Kali ini, kami ingin berkongsi pula kepada para pembaca Iluminasi beberapa taman negara terbesar di dunia.

7. Taman Negara Manú

taman negara man

Taman Negara Manú terletak di Peru dan ditubuhkan pada tahun 1973. Keluasannya yang digazetkan adalah seluas 6627 batu persegi, meletakkannya di tangga ke 7 dalam senarai ini. Taman yang mengagumkan ini terletak di antara Lembangan Amazon dan Tropical Andes, adalah rumah bagi populasi hidupan liar hutan hujan yang menakjubkan.

Haiwan unik seperti sloth, armadillo gergasi dan ocelot bebas berkeliaran di taman negara ini dan berkembang biak di bawah perlindungan taman negara ini. Di antara hutan lebat dan kepelbagaian flora yang luas, Taman Negara Manú dianggap sebagai salah satu lokasi semula jadi dengan pemandangan yang terbaik.

6. Taman Negara Kruger

taman negara kruger

Taman Negara Kruger terletak di daerah Limpopo dan Mpumalanga di Afrika dan telah ditubuhkan pada tahun 1926. Keluasannya pula diistyiharkan seluas 7,523 batu persegi, menjadikannya taman negara ke 6 terbesar di dunia dan salah satu taman negara terbesar di Afrika. 

Taman ini melindungi populasi besar pelbagai jenis hidupan liar, termasuk 500 spesies burung yang berbeza. Ramai pengunjung tertarik dengan begitu banyak haiwan menarik yang berkeliaran di savana dan safari yang memberi peluang kepada pelancong untuk melihat haiwan liar ini secara lebih dekat di hadapan mata mereka. 

5. Taman Negara Denali

taman negara denali

Denali National Park and Preserve adalah salah satu taman negara popular di Amerika Syarikat. Terletak di Alaska, kawasan ini ditubuhkan pada tahun 1917 dan keluasannya dianggarkan sekitar 9492 batu persegi. Tarikan utama pelancong ke sini adalah pemandangan indah Gunung Denali itu sendiri. 

Taman yang sangat besar dan indah ini mendapat namanya dari Gunung Denali (dahulunya dikenali sebagai Gunung McKinley), puncak gunung tertinggi di Amerika Utara. Puncak kolosal ini mencapai ketinggian puncak 20,310 kaki di atas permukaan laut dan merupakan tempat yang selamat untuk pelbagai spesies hidupan liar.

4. Taman Negara dan Pemeliharaaan Artik

taman negara dan pemeliharaaan artik

Gates of the Arctic National Park and Preserve adalah sebuah lagi taman negara yang terletak di Alaska, Amerika Syarikat. Taman negara ini ditubuhkan pada tahun 1980 dan mempunyai keluasa 13,238 batu persegi. Kawasan ini adalah taman negara paling utara di Amerika Syarikat.

Taman ini benar-benar sesuai untuk pelancong yang gemarkan hutan belantara dan ingin menjauhkan diri dari manusia. Tidak ada laluan khas yang ditandai atau kawasan perkemahan yang ditentukan, yang bermaksud setiap pengunjung yang serius perlu membawa sendiri satu set alatan perkhemahan dan pertahanan kendiri.

3. Taman Negara Wood Buffalo

taman negara wood buffalo

Taman negara ini ditubuhkan pada tahun 1922 dan mempunyai keluasan 17,300 batu persegi, menjadikannya taman negara ketiga terbesar di dunia. Taman negara ini juga adalah taman negara terbesar di Kanada. Ia berfungsi sebagai rumah bagi spesis haiwan terbesar "wood bison" dan empangan memerang terbesar di dunia.

Taman ini pada mulanya didirikan untuk melindungi populasi wood bison yang menurun dengan mendadak. Selain daripada berfungsi sebagai tempat pemeliharaan haiwan liar, taman negara ini memiliki pelbagai jenis pemandangan yang mengagumkan, termasuk hutan boreal dan dataran boreal.

2. Taman Negara Namib Naukluft

taman negara namib naukluft

Taman Negara Namib Naukluft ditubuhkan pada tahun 1979 dan mempunyai keluasan seluas 19,216 batu persegi. Terletak di negara Namibia, ianya juga adalah taman negara paling besar di benua Afrika. Taman ini meliputi kawasan gurun Namib yang indah.

Bukit pasirnya yang menjulang tinggi menonjol sebagai mercu tanda dan warna orennya begitu menarik perhatian dan ramai pelancong berusaha memanjatnya. Kawasan bukit pasir yang terletak di daerah Sossusvlei yang digelar "Big Daddy" merupakan antara yang mudah diakses oleh pendaki.

1. Taman Negara Greenland Timur Laut

taman negara greenland timur laut

Taman Negara Greenland Timur Laut merupakan taman negara paling besar di dunia dengan keluasannya dianggarkan sekitar 375,000 batu persegi. Taman negara yang terletak di Denmark ini ditubuhkan pada tahun 1974 dan terkenal dengan pemandangan yang indah dan lokasi haiwan-haiwan yang menarik seperti musang artik, lembu kasturi (musk ox) dan beruang kutub.

Taman negara ini benar-benar jauh daripada penempatan manusia dan merupakan rumah bagi kurang daripada 50 penduduk manusia yang kebanyakannya adalah pemburu Inuit dari Ittoqqortoormiit. Taman Negara Greenland Timur Laut adalah paling utara dari semua taman negara di seluruh dunia dan satu-satunya taman negara di Greenland.

Kredit:

  1. Britannica Encyclopaedia
  2. National Geographic
  3. Visit Greenland
  4. Discover Africa
  5. Travel Alaska



Hakcipta iluminasi.com (2017)