Oleh pada 23 Mar 2018 kategori

Kehidupan di kawasan setinggan yang sesak dan kotor di bandar Manila adalah sangat menyeksakan dan menyediakan makanan buat ahli keluarga yang kelaparan setiap hari juga adalah satu cabaran yang besar.

Disebabkan itulah hidangan "pagpag" menjadi popular di sana. Istilah Tarong ini kebiasaannya merujuk kepada habuk/debu selepas mengibas permaidani atau pakaian. Namun, di kawasan sesak Manila, ia bermakna daging yang dikutip dari tapak pelupusan sampah, dibersihkan dan dimasak semula sebagai hidangan yang murah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pagpag telah lama menjadi makanan ruji warga Filipina di kawasan setinggan, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini ia juga menjadi satu perniagaan yang menguntungkan bagi pengutip sampah dan juga pemilik kedai makan kecil yang membeli daging terbuang ini dengan harga yang murah dan mengitar semula untuk dijadikan menu baru.

pagpag makanan sisa sampah filipina lebihan makanan terbuang hidangan 3

Pengutip sampah yang sebelum ini hanya berminat dengan plastik dan logam yang boleh dikitar semula kini lebih menumpukan perhatian kepada lebihan makanan dan makanan tamat tempoh yang datang dari rangkaian restoran makanan segera dan pasar raya. Mereka akan menggeledah timbunan sampah yang dikerumuni haiwan lain, mengumpulkan daging-daging ini ke dalam satu beg plastik dan menjualnya kepada pemilik kedai makan.

Satu beg plastik berisi daging pagpag biasanya dibeli dengan harga 20 piso (RM1.50) dan sudah cukup untuk tukang masak menyediakan beberapa hidangan murah yang dijual antara 10 piso (75 sen) hingga 20 piso.

pagpag makanan sisa sampah filipina lebihan makanan terbuang hidangan 2

Sebelum daging pagpag dimasak semula, ia akan dibasuh terlebih dahulu untuk mengeluarkan sampah-sarap dan kotoran yang melekat. Kemudian, tulang-tulang akan diasingkan sebelum dimasak menggunakan pelbagai sos, sayuran dan rempah untuk dihidangkan kepada pelanggan.

Menurut salah seorang penghuni kejiranan, hidangan pagpag sebegini membantu mereka kerana satu beg plastik daging sudah boleh mengenyangkan seluruh ahli keluarga.

pagpag makanan sisa sampah filipina lebihan makanan terbuang hidangan 5

Dahulu, pagpag merupakan pilihan terakhir bagi penduduk kawasan sesak di Manila yang akan dimakan apabila tidak mempunyai pilihan lain atau ketika mereka tidak punya wang untuk membeli hatta secupak beras. Kini, dengan kadar inflasi yang semakin tinggi, semakin ramai penduduk di sana yang mengalami kesusahan sehingga pagpag menjadi makanan harian mereka sekeluarga.

Walaupun kebanyakan daging pagpag adalah lebihan daripada gigitan dan buangan orang lain, penduduk di sini yakin ia selamat untuk dimakan kerana telah dibasuh sebelum dimasak semula. Ada juga yang menyatakan ia adalah sedap dan berkhasiat meskipun pihak berkuasa kesihatan Filipina menganggap ia sebagai satu risiko ancaman kesihatan.

pagpag makanan sisa sampah filipina lebihan makanan terbuang hidangan 4

Adakalanya makanan lebihan ini disembur dengan disinfektan sebelum dibuang dan ada juga makanan yang telah dijangkiti patogen berbahaya seperti salmonella kerana dibiarkan dalam keadaan kotor berpanjangan.

Menurut seorang pakar pembangunan sosial, Melissa Alipalo, ia mungkin dianggap satu penghinaan kerana memakan sisa makanan orang lain namun ia adalah mekanisme kelangsungan hidup bagi penduduk miskin tegar di sana.

Dengan ketiadaan jalan penyelesaian bagi penduduk di kawasan ini, populariti pagpag hanya boleh meningkat naik walaupun berdepan dengan risiko keracunan makanan dan pelbagai masalah kesihatan yang membawa maut.

Jika anda sanggup melihat bagaimana hidangan pagpag ini disediakan, boleh tonton sendiri video berikut. (Amaran: Video mengandungi visual yang boleh meloyakan tekak)

Kita yang berada di Malaysia seharusnya bersyukur kerana rezeki dan makanan sentiasa melimpah-ruah sehinggakan terlalu banyak makanan dibazirkan. Ada yang dibuang begitu sahaja tanpa dijamah sedikitpun. Ada yang dicampak-campak begitu sahaja.

Jika anda rasa pernah merasakan lauk sambal sotong dan ikan pari masak asam pedas itu adalah "lauk ikat perut pada hujung bulan", cuba sesekali anda bayangkan perasaan penduduk Filipina ini yang terpaksa makan sampah setiap hari untuk meneruskan hidup.

Makan biarlah berpada-pada dan jangan sesekali membazir. Jadilah insan yang tahu bersyukur.

Sumber: 

1. CNN

2. Pepper.ph




Hakcipta iluminasi.com (2017)