Sumber foto: sarawakvoice.com
Seorang pelajar lelaki tingkatan 2 ditahan polis semalam setelah disyaki mencuri dua unit telefon bimbit di rumah kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Matang, Padawan kelmarin.
Menurut Superintendan Aidil Bolhassan selaku Ketua Polis Daerah Padawan, insiden diketahui pengadu setelah menyedari dua unit telefon bimbit kepunyaan anaknya hilang pada jam 1.10 petang.
Tambahnya, pengadu selepas itu diberitahu oleh warden asrama yang tukang cuci sekolah berkenaan terlihat suspek pergi ke dalam kediamannya, manakala beberapa kawan subahatnya sedang menanti di luar kediaman.
"Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah itu dengan membuka pintu depan yang kebetulan tidak berkunci.
"Suspek kemudiannya dipercayai masuk ke dalam bilik anak perempuan pengadu yang ketika itu tiada orang berada di rumah tersebut," ujarnya sewaktu dihubungi tengahari semalam.
Jelas Aidil lagi, kerugian dianggarkan berjumlah RM1,000.
Beliau berkata, berdasarkan informasi tersebut, suspek selepas itu diberkas pada jam 1.30 pagi semalam.
"Hasil soal siasat, suspek memberitahu dia telah menyerahkan dua telefon bimbit itu kepada seorang lagi rakannya dikenali Alan.
"Polis kini sedang giat memburu Alan, manakala suspek yang ditahan reman bagi siasatan lanjut," katanya lagi.
Sumber berita: Kosmo Online