Pada masa kini, kita seringkali mendengar mengenai kes berita tidak benar dan palsu. Malah, kerajaan Malaysia juga semakin tegas mengekang penyebaran berita palsu ini dengan mendakwa pihak yang terlibat menyebarkan berita tersebut. 

Sedar atau tidak, berita palsu sebenarnya mempunyai keburukan tertentu. Dalam kes penyebaran virus COVID-19, penyebaran berita palsu dalam beberapa kes telah mewujudkan keadaan panik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak kurang juga ada yang menggunakan berita palsu sebagai alat propaganda. Perkara ini pernah kami tulis satu ketika dahulu mengenai industri berita palsu di Macedonia yang bernilai jutaan ringgit. Kewujudan sosial media seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya hanya memudahkan lagi pengguna menyebar luaskan berita palsu ini dengan hanya satu klik.

Dalam sejarah, penghasilan berita palsu dalam memanipulasi pihak media dan mencipta sesuatu propaganda bukanlah perkara baru. Namun, memandangkan pada waktu dahulu belum wujudnya sosial media, maka cara yang lebih "tradisional" atau konvensional telah digunakan bagi "mengawal" pihak media.

Pelancaran Operasi Mockingbird

operasi mockingbird amerika cia untuk kawal media

Operasi Mockingbird (atau Operation Mockingbird) merupakan sebuah operasi rahsia berskala besar yang dicetuskan oleh pihak CIA pada awal 1950-an. Dalam operasi ini, mereka telah merekrut sekumpulan penulis dan wartawan untuk menghasilkan berita-berita propaganda mengikut telunjuk mereka.

Wartawan yang direkrut dibayar gaji oleh CIA dan diarahkan untuk menulis cerita palsu mengenai sesuatu isu mengikut pandangan agensi perisikan itu. BPada peringkat awal, banyak organisasi bebas dan majalah yang telah ditaja oleh pihak CIA sebagai "alat" untuk operasi ini.

Bermula dari skop yang kecil, tidak lama kemudian skop operasi ini dibesarkan dimana pihak CIA mula menyasarkan media-media cetakan utama di pasaran. Frank Wisner, Pengarah Unit Anti Keganasan CIA telah dilantik untuk mengetuai operasi ini.

Dalam operasi ini, Frank Wisner telah diarahkan untuk menumpukan pada topik propaganda, peperangan ekonomi, sabotaj dan anti sabotaj, langkah pencerobohan dan pemindahan, bantuan kepada kumpulan-kumpulan pengikut bawah tanah dan sokongan elemen-elemen anti-komunis.

Modus Operandi Operasi Mockingbird

agensi perisikan cia

Pada peringkat awal, pihak CIA telah membiayai organisasi-organisasi bebas kecil sebagai alat untuk menyampaikan mesej propaganda mereka. Lama-kelamaan, pihak CIA mula menyasarkan akhbar-akhbar utama di pasaran. Sewaktu zaman kemuncaknya, pihak CIA dipercayai telah menguasai sekitar 25 syarikat atau agensi penerbitan akhbar.

Modus operandi operasi ini adalah dengan meletakkan sebuah laporan yang memaparkan kepakaran CIA serta pandangan mengenai sesuatu isu daripada sudut pandangan CIA sendiri sebelum tulisan ini kemudiannya akan diambil dan diterbitkan semula dalam rangkaian 25 syarikat penerbitan yang sudah dikuasai mereka.

Rangkaian syarikat yang menjadi sasaran utama operasi ini adalah syarikat yang dikendalikan oleh orang-orang yang terkenal dengan pandangan liberal tetapi pro-Amerika, memiliki perniagaan besar dan berfahaman anti-Soviet.

Antara individu atau syarikat yang dikuasai mereka adalah seperti William S. Paley (CBS), Arthur Hays Sulzberger (The New York Times), Alfred Friendly (The Washington Post), Jerry O'Leary (The Washington Star) dan Hal Hendrix (Miami News). Jika diteliti, syarikat-syarikat ini adalah akhbar-akhbar besar di arus perdana dan masih kekal beroperasi sehingga ke hari ini.

Pembiayaan CIA terhadap organisasi bebas dan swasta bukan hanya bertujuan untuk mencipta cerita yang menggembirakan dan memihak kepada mereka sahaja. Ia juga merupakan satu cara untuk mengumpulkan maklumat dari negara-negara lain yang berkaitan dengan keselamatan negara Amerika.

Dalam satu artikel bertajuk “The CIA and the Media" terbitan tahun 1977 yang dimuatkan dalam majalah Rolling Stone, penulisnya Carl Bernstein telah mendedahkan bahawa CIA "Telah secara rahsia membiayai pelbagai perkhidmatan akhbar asing, majalah dan akhbar-bahasa Inggeris dan asing - yang menyediakan perlindungan yang sangat baik untuk operasi rahsia CIA ini".

Dalam operasi ini, pihak CIA juga didapati telah melakukan pengintipan terhadap peralatan komunikasi yang digunakan oleh wartawan. Selain itu, satu dokumen dalaman CIA juga ada mendedahkan pihak CIA telah menggunakan khidmat dua orang penulis akhbar popular yang dikenali sebagai Robert S. Allen dan Paul Scott untuk menyampaikan mesej-mesej propaganda mereka.

Kedua orang wartawan ini sangat berpengaruh dan dikatakan terdapat lebih 300 laporan atau tulisan mereka yang telah dipaparkan di dalam akhbar seluruh dunia terutamanya di Amerika Syarikat sendiri.

Pendedahan mengenai Operasi Mockingbird 

church committee

Mesyuarat Church Committee

Pendedahan secara terbuka ini telah menyebabkan kerajaan telah menjalankan siasatan dalaman dengan menubuhkan satu jawatankuasa penyiasatan yang diberi nama "Church Committee". Selain CIA, pasukan siasatan khas ini juga turut menyiasat sekiranya terdapat salah laku organisasi lain seperti FBI, NSA dan IRS.

Pada tahun 2007, dokumen yang mengandungi sekitar 700 muka surat sejak tahun 1970-an telah didedahkan kepada orang awam (baca: declassify) oleh pihak CIA dalam sebuah koleksi yang diberi nama “The Family Jewels”.

Dokumen ini mengandungi pelbagai laporan penyiasatan mengenai skandal dan salah laku agensi ini sekitar tahun 1970-an. Operasi Mockingbird ada dinyatakan dalam laporan ini yang mana telah mendedahkan bahawa 2 orang wartawan Amerika Syarikat telah diintip peralatan komunikasi mereka selama beberapa bulan.

Kredit:

  1. Medium
  2. CIA
  3. Wikipedia
  4. CBS News



Hakcipta iluminasi.com (2017)