Perbalahan antara negara sering membawa masalah besar. Pelbagai usaha dilakukan oleh mereka yang terlibat untuk memastikan kemenangan dikecapi, tak kiralah dengan apa cara sekalipun.
Antara operasi pelik yang pernah berlaku adalah pada tahun 1960an. Central Intelligence Agency (CIA) telah melancarkan satu projek rahsia yang dikenali sebagai "Acoustic Kitty".
BESARKAN TEKS A- A+
Dengar nama macam comel, tetapi projek ini bukanlah seperti yang anda sangka berdasarkan namanya. Ia bukan sebuah projek di mana sekumpulan kucing menyanyi sambil bermain gitar akustik.
Sebaliknya, ia merupakan projek yang sah oleh Direktorat Sains dan Teknologi cawangan CIA dengan niat untuk menggunakan kucing bagi mengintip kedutaan Soviet ketika Perang DIngin. Power kan?
Pembentukan operasi Acoustic Kitty
Idea di sebalik projek rahsia ini adalah dengan menggunakan kucing yang diletakkan di lokasi-lokasi tertentu seperti tepi tingkap, bangku taman atau tong sampah, dan merekodkan bunyi-bunyi di sekitar lokasi dan dihantar kepada CIA.
Idea ini diperoleh selepas para pegawai CIA menyedari bahawa ketika dalam percubaan untuk mencuri dengar terhadap perbualah seorang ketua negara, lokasi tersebut dipenuhi dengan kucing liar.
Mereka menyedari bahawa kucing-kucing berkeliaran di premis tersebut tanpa menarik perhatian mana-mana pihak, kecuali mereka iaitu CIA.
Sebab lain kepada penghasilan operasi ini adalah dakwaan bahawa kucing adalah makhluk yang mempunyai sifat ingin tahu.
CIA yang terlibat percaya bahawa kucing yang terlatih akan pergi ke mana sahaja yang mempunyai bunyi yang menarik bagi mereka, yang memungkinkan kucing-kucing tersebut pergi ke tempat di mana perbualan antara pegawai Kesatuan Soviet berlaku.
Oleh kerana sifat yang tidak begitu menonjol dan semula jadi, kehadiran kucing tidak disedari atau disyaki, apabila haiwan ini melewati kawasan tersebut sambil merakam bunyi atau suara.
Proses pendawaian operasi Acoustic Kitty
Untuk merealisasikan projek ini, CIA merekrut seorang pakar bedah haiwan untuk melakukan prosedur percubaan terhadap kucing.
Beliau memasang atau menanamkan pemancar radio kecil di belakang leher kucing, mikrofon dalam saluran telinga dan wayar yang hampir tidak nampak di bawah bulu-bulu yang menghubungkan kedua-dua peranti (mikrofon dan pemancar radio).
Bekas pegawai CIA, Victor Marchetti berkata dengan lebih jelas: "Mereka menoreh kucing itu, masukkan bateri dan pasangkan wayar,".
Persediaan latihan Acoustic Kitty
CIA kemudiannya memastikan kucing tersebut melalui proses latihan yang direka khas untuk mengajar apa yang sepatunya didengar oleh kucing tersebut.
C.I.A. kemudian letakkan kucing itu melalui proses latihan yang direka untuk mengajar apa yang sepatutnya didengar.
Konsep di sebalik projek Acoustic Kitty adalah, tidak seperti peranti curi dengar (bugging device) mekanikal, telinga kucing mempunyai koklea sama seperti telinga manusia, yang boleh menapis bunyi yang tidak relevan.
Pelbagai halangan dihadapi
Namun, mereka berhadapan dengan pelbagai halangan ketika menjalankan projek ini. Masalah pertama adalah bateri yang digunakan untuk menyambungkan peranti perakam dan penghantar bunyi.
Saiz badan kucing yang kecil membuatkan bateri yang boleh dipasang adalah yang bersaiz paling kecil, yang mana hanya mampu merakam untuk seketika sahaja.
Masalah kedua adalah kucing akan berasa lapar. Setelah beberapa kali ujian dilakukan, mereka mendapati bahawa kucing akan meninggalkan "kerja" tersebut apabila berasa lapar, jadi mereka terpaksa memasang wayar tambahan bagi mengatasi masalah tersebut.
Misi pertama Acoutic Kitty yang dijalankan selepas proses latihan adalah mencuri dengar perbualan 2 orang lelaki di luar kawasan Soviet di Washington, D.C.
Halangan ketiga adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, di mana rasa ingin tahu yang dimiliki oleh kucing mampu membunuh mereka.
Selepas kucing tersebut dilepaskan berhampiran taman itu, ia telah dilanggar oleh kereta dan mati serta-merta, gagal sampai ke destinasi sepatutnya.
Menurut pegawai senior dari Arkib Keselamatan Kebangsaan di Washington, beliau tidak pasti berapa lama kucing tersebut dapat bertahan selepas melalui pembedahan tersebut, walaupun tidak dilanggar oleh kenderaan.
Projek dihentikan
Projek itu dihentikan secara rasminya pada tahun 1967 dan walaupun ia singkat, namun menelan kos yang sangat tinggi. Menurut Victor, CIA membelanjakan RM40 juta untuk projek Acoustic Kitty ini.
Walaupun telah disunting dengan begitu terperinci, dokumen-dokumen mengenai projek ini telah didedahkan kepada umum oleh Arkib Keselamatan Kebangsaan pada tahun 2011, membolehkan orang awam mengetahui mengenainya.
Selepas operasi ini didedahkan secara terbuka, ia mengalami cemuhan yang sangat teruk daripada orang awam.