Pada 1 Ogos 1958, beberapa minit sebelum tengah malam, cahaya putih yang sangat cerah telah menerangi langit malam di sekitar Pulau Johnston, sebuah kepulauan kecil yang terletak di tengah Lautan Pasifik.
Langit hitam berubah menjadi biru dan anggota tentera Amerika Syarikat di pangkalan tentera udara di kawasan tersebut pantas melarikan diri untuk mencari tempat perlindungan. Daripada manakah datangnya cahaya yang terang benderang ini?
BESARKAN TEKS A- A+
Sumber cahaya itu adalah ujian nuklear yang dilakukan di atmostera Bumi. Ini adalah salah satu daripada dua ujian yang dijalankan di bawah "Operasi Hardtack" untuk mengkaji, antara lain, pengaruh atmosfer bumi yang jarang berlaku terhadap letupan nuklear dan juga untuk menyiasat taktik pertahanan terhadap peluru berpandu balistik.
Latar belakang Operasi Hardtrack
Operasi Hardtack adalah satu siri 35 ujian nuklear yang dilakukan oleh Amerika Syarikat daripada 28 April hingga 18 Ogos 1958 di kawasan yang dikenali sebagai Pacific Proving Grounds.
Dalam tempoh operasi ini, ianya merekodkan lebih banyak letupan nuklear daripada jumlah letupan nuklear yang pernah yang dilakukan sebelumnya di Lautan Pasifik.
Ujian ini mengikuti siri Project 58 / 58A, yang berlaku daripada 6 Disember 1957 hingga 14 Mac 1958 dan mendahului siri Operasi Argus, yang berlangsung pada tahun 1958 dari 27 Ogos hingga 6 September.
Operasi Hardtack dikawal selia oleh Joint Task Force 7 (JTF 7). JTF-7 adalah kerjasama antara tentera dan banyak orang awam, tetapi disusun seperti organisasi ketenteraan. 19,100 anggota yang terlibat terdiri daripada anggota tentera AS, pegawai awam persekutuan serta pekerja yang berkhidmat dengan Jabatan Pertahanan (DOD) dan Suruhanjaya Tenaga Atom (AEC).
Lebih kuat daripada letupan di Hiroshima
Kita sudah sedia maklum mengenai peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki yang meragut ribuan nyawa rakyat Jepun dan memaksa kerajaan Jepun pada ketika itu untuk menyerah kalah. Namun, tahukah anda berapa kuatkah letupan bom nuklear yang digunakan dalam operasi ini?
Ujian khusus ini, yang diberi nama "Teak", adalah yang paling kuat dengan kekuatan letupan dianggarkan sekitar 3.8 megaton iaitu bersamaan dengan 250 bom nuklear yang digunakan di Hiroshima.
Lokasi letupan di altitud yang tinggi (76 kilometer) membolehkan cahaya yang terhasil daripada letupan ini dapat dilihat dari jauh. Di Hawaii, sejauh 1500 km, seribu penduduk terkejut memanggil polis untuk melaporkan "lampu" pelik di langit. Langit telah berubah dari gelap ke kuning menjadi oren dan kemudian menjadi merah.
Komunikasi lalu lintas pengangkutan udara orang awam dan pihak tentera udara terputus selama beberapa jam dan banyak rangkaian komunikasi frekuensi tinggi trans-Pasifik yang menggunakan ionosfer untuk penghantaran terganggu hingga sembilan jam.
Di Samoa Barat yang jauh, kira-kira 3200 kilometer ke selatan, letupan ini telah menghasilkan aurora yang jelas. Ahli astronomi di balai cerap Apia Observatory mengukur kekuatan denyut elektromagnetik (EMP) dan mendapati ia empat kali lebih kuat daripada apa yang terhasil daripada mana-mana fenomena.
Operasi Fishbowl
Empat tahun kemudian, Amerika Syarikat menjalankan satu lagi siri ujian nuklear di kedudukan altitud tinggi seperti ini. Kali ini, tujuan ujian adalah untuk mengkaji dan mengukur kesan peledakan nuklear pada medan magnet bumi.
Sebahagian besarnya, mereka ingin memahami kesan yang diperhatikan semasa ujian Teak - EMP yang dihasilkan semasa letupan, kejadian aurora aneh yang terhasil di lokasi yang terletak ribuan kilometer dari letupan dan fenomena semulajadi yang dikenali sebagai "radiasi Van Allen" yang baru ditemui.
Dikenal sebagai "Operation Fishbowl", ujian dilakukan pada ketinggian yang jauh lebih tinggi, di ketinggian altitud di mana satelit mengorbit. Dua percubaan pertama berakhir dengan kegagalan dan roket yang digunakan hancur. Percubaan ketiga, dengan nama kod "Starfish Prime", dilancarkan dari Pulau Johnston pada 8 Julai 1962 pada pukul 11 malam waktu tempatan di Hawaii.
Roket itu terus naik dan meletup pada ketinggian 400 kilometer, kira-kira 36 kilometer di barat daya kepulauan Johnston. Pada saat letupan berlaku, lampu jalan di Hawaii berkelip. Radio berhenti berfungsi dan talian telefon tiba-tiba terputus.
Di tempat lain di Pasifik, sistem komunikasi frekuensi tinggi tidak berfungsi akibat kewujudan gelombang EMP yang terlampau kuat di kawasan yang luas di bawah lokasi kejadian letupan itu. Dalam beberapa minit selepas letupan, aurora merah dapat dilihat dengan jelas di langit yang disebabkan oleh pengionan molekul udara.
Kredit: