Pertambahan populasi merupakan satu faktor asas yang sangat penting dalam sektor ekonomi moden.
Ini kerana hanya dengan berlakunya peningkatan jumlah individu dalam sesebuah masyarakat atau negara, sistem ekonomi negara itu dapat diperkembangkan menerusi peningkatan permintaan, pertambahan tenaga kerja serta jumlah pasaran yang ada.
Oleh kerana kita lebih sibuk membincangkan berkenaan masalah berlakunya pertambahan populasi, telah menyebabkan kita jarang sekali membicarakan masalah yang dihadapi sesetengah negara ketika ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Mereka perlu berhadapan dengan risiko berlakunya pengurangan populasi.
Bilangan manusia diramal bakal berkurangan
Seandainya faktor-faktor luaran seperti peperangan atau masalah masyarakat diketepikan, faktor utama yang dikatakan menjadi penyumbang kepada masalah penyusutan populasi bumi berpunca daripada perubahan cara hidup kita sendiri.
Golongan wanita semakin lama semakin jarang mengandung dan melahirkan anak!
Pola ini kekal sejak dekad 1950-an apabila golongan wanita zaman tersebut mempunyai purata 4.7 orang anak untuk setiap wanita, sebelum kadar itu turun mendadak kepada 2.4 bagi tahun 2017.
Kajian yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari School of Medicice University of Washington menganggarkan kadar itu akan turun kepada 1.7 orang anak bagi setiap wanita, pada tahun 2100.
Kumpulan penyelidik tersebut meramal bahawa populasi bumi akan mencapai kemuncak sekitar tahun 2064, mencecah 9.7 billion orang sebelum turun kepada 8.8 billion 36 tahun selepas itu.
Pola penyusutan itu diramalkan akan berkekalan disebabkan oleh kegagalan umat manusia untuk terus mengekalkan kadar 2.1 orang anak bagi setiap wanita, yang diambil sebagai nilai optimum dalam memastikan populasi bumi terus berkembang.
Faktor utama yang menyumbang kepada perubahan sikap wanita memilih untuk mempunyai lebih rendah jumlah anak, dipercayai berpunca daripada perubahan tahap pendidikan ke atas golongan wanita sendiri.
Disebabkan oleh pendidikan yang lebih baik membawa kepada peluang karier yang lebih besar, kaum wanita diramal akan melambatkan lagi usia perkahwinan mereka serta usia menimang anak kali pertama.
Purata usia semakin panjang
Walaupun kadar kelahiran diramal akan menjadi lebih rendah, purata jangka hayat manusia dijangka akan menjadi lebih panjang - menyumbang kepada peningkatan golongan warga tua yang meningkat tahun ke tahun.
Golongan berusia 80 tahun ke atas diramal akan bertambah daripada 144 juta pada tahun 2017, kepada 866 juta dalam tahun 2100.
Ramalan ini dibuat berdasarkan pola kelahiran dan kematian yang berlaku sejak 1950-an. Pada dekad tersebut, 25 kelahiran baru berlaku bagi setiap seorang individu yang mencecah usia 80 tahun.
Angka itu menurun pada zaman kita kepada 7 kelahiran baru untuk setiap individu mencapai usia lebih 80 tahun. Dalam tahun 2100 pula, diramal untuk setiap seorang individu yang hidup sehingga 80 tahun, hanya satu kelahiran diramal akan berlaku.
Agak menakutkan bukan jika ramalan itu benar-benar berlaku?
Lebih malang bagi kanak-kanak di masa hadapan; mereka besar kemungkinan akan sukar membuat kawan kerana jumlah kanak-kanak setiap tahun juga diramal akan menyusut secara konsisten.
Penyusutan golongan yang mampu bekerja
Salah satu perkara yang akan memberikan kesan terbesar kepada ekonomi adalah ketiadaan tenaga kerja yang sesuai dan ini diramal akan berlaku mengubah rentak ekonomi dunia, sekiranya situasi sekarang kekal.
Golongan boleh kerja yang dikategorikan berusia di antara 20 ke 64 tahun diramalkan akan berkurangan dengan konsisten dari tahun 2017 sehinggalah 2100.
Satu ramalan yang dibuat kumpulan penyelidik adalah bagaimana jumlah populasi bakal menjadi faktor utama yang menyumbang kepada status negara yang menguasai ekonomi dunia.
India diramal akan menjadi salah satu kuasa penting dunia pada tahun 2100 disebabkan oleh bilangan tenaga kerja dimiliki paling ramai, diikuti oleh Nigeria, China dan seterusnya Amerika Syarikat.
Antara negara lain yang dijangka mengalami kesan positif perubahan populasi dunia adalah Australia serta negara haram Israel. Kedua-dua buah negara diramal akan terus mendapat kemasukan migran dari negara luar yang menyumbang kepada kekukuhan sektor industri di dua negara itu walaupun jumlah populasi mereka semakin menyusut.
India dan Nigeria sebagai kuasa ekonomi dunia baru?
Hasil daripada kajian yang dijalankan, 23 buah negara dijangka bakal mengalami penyusutan populasi paling ketara tinggal hanya 50% daripada jumlah populasi sekarang pada tahun 2100.
Antara negara dalam kategori ini adalah Jepun, Thailand, Sepanyol dan Ukraine. Bagaimana dengan negara kita?
Data ramalan melibatkan Malaysia dilaporkan bahawa populasi negara kita akan bertambah dari 33 juta yang ada ketika ini dan mencapai kemuncak pertambahan populasi pada tahun 2070.
Dianggarkan ketika itu populasi negara kita bakal mencecah 44.19 juta orang penduduk sebelum faktor-faktor yang diterangkan di atas mula menyumbang kepada penyusutan jumlah penduduk negara kita.
Di kalangan negara Asia, Jepun bakal menjadi negara paling terkesan dari segi populasi penduduk disebabkan oleh faktor kelahiran yang rendah serta pertambahan populasi tua dalam masyarakat mereka. Ketika ini, populasi Jepun diramal akan turun sebanyak 16.3% pada tahun 2050 seandainya kondisi serupa terus kekal.
Negara benua Afrika diramal akan melawan trend penyusutan populasi dunia, dengan Nigeria bakal mendapat faedah terbesar penambahan populasi.
Negara itu diramal akan mengalami pertambahan hampir 4 kali ganda daripada 207 juta orang dalam tahun 2017 kepada 791 orang dalam tahun 2100, meletakkan mereka dan India sebagai dua kuasa besar ekonomi dunia di masa hadapan.
Nota : Perlu diperjelaskan, semua ini adalah ramalan berdasarkan kepada statistik sedia ada, belum mengambil kira faktor luaran seperti risiko perang, bencana dan sebagainya.
Rujukan