Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Populariti luar biasa diraih vokalis kumpulan Boboy, Naqiu membuatkan ada segelintir peminatnya yang terlalu obses hingga sanggup mencederakan diri.
Insiden sekitar awal tahun 2000 itu diimbas kembali Naqiu yang kini merupakan salah seorang peserta program realiti, Gegar Vaganza musim keenam (GV2019).
"Kejadian itu berlaku selepas saya membuat persembahan di sebuah funfair di Sabah awal tahun 2000.
"Ada seorang peminat wanita datang ke arah saya sambil menjerit-jerit dan mengelar tangan kiri dan kanannya.
"Mujur ketika itu saya dihalang oleh orang sekeliling dan mereka membawa wanita itu untuk menerima rawatan.
"Dalam fikiran saya, siapakah dia. Nak kata bekas kekasih rasanya bukan... Nak kata kenal pun tak," ujar Naqiu memetik laporan Astro Gempak.
Penyanyi Episod Cinta itu mengakui peristiwa tersebut sukar dilupakannya kerana berasa begitu terkejut.
Dalam pada itu, Naqiu berkata, dia juga pernah nyaris ditikam seorang lelaki yang cemburukan kekasihnya kerana tergila-gilakan dirinya.
Kredit foto: Instagram Astro Gempak
"Ada satu kejadian lagi seorang lelaki datang dari arah tepi dan cuba menikam saya.
"Tetapi pengawal peribadi saya menadah badannya dan pisau itu terkena padanya. Sampai dia dikejarkan ke unit rawatan rapi!
"Mujur peminat sekarang tidak ekstrim seperti dahulu dan menghormati saya dan keluarga, tidak bertindak keterlaluan dan melulu," cerita Naqiu.
Terdahulu, Naqiu bersama Boboy mencipta fenomena sekitar awal era 2000-an menerusi deretan lagu berhantu seperti Episod Cinta, Janji Seorang Kekasih dan Demi Masa.
Dalam perkembangan lain, beliau bakal berduet bersama Siti Nordiana menerusi lagu Gurauan Berkasih di konsert Gegar Vaganza 2019 minggu keempat (minggu 4) Ahad ini.
Kredit foto: Instagram Naqiu Boboy
Sumber berita: "Peminat Terjerit-Jerit Sambil Kelar Tangan, Ada Nak Datang Tikam Saya!" - Naqiu Boboy