Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Juara Gegar Vaganza 2019 (GV2019), Naqiu Boboy bakal mendermakan separuh daripada wang kemenangan yang dimenanginya kepada rumah anak-anak yatim.
Naqiu atau Wan Naqiuddin Wan Najib, 33, berkata, dia terlebih dahulu sudah menanamkan niat terbabit sewaktu melayakkan diri ke konsert suku akhir GV2019 yang lalu.
“Masa tu saya cakap pada isteri saya, jika menang nanti saya mahu dermakan wang pada rumah anak-anak yatim," katanya memetik laporan Astro Gempak.
Beliau membuat kenyataan usai konsert akhir GV2019 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Terdahulu, kejuaraan diraihnya bersama Hady Mirza membawa kepada ganjaran berupa wang tunai RM100,000 setiap seorang.
Selain itu, mereka menerima pakej percutian ke Eropah Timur dan Timur Tengah sumbangan selamatbercuti.com, pakej ubahsuai ruang tamu dan ruang makan sumbangan IMHOMESTYLIST.
Termasuk hadiah penginapan dua hari satu malam di bilik Executive Suite, Hotel Tenara Bandar Baru Bangi dan trofi GV2019.
Sementara itu, Naqiu berkata, penyertaannya dalam pertandingan nyanyian itu lebih kepada ingin membina semula nama dalam industri hiburan tanpa memfokuskan kepada habuan wang ringgit.
Kredit foto: Instagram Ria X
“Pada saya, GV2019 adalah medium untuk saya membina karier jadi duit kemenangan tu saya tak fikir sangat sebenarnya, ia lebih kepada platform,” katanya.
Begitupun, penyanyi Janji Seorang Kekasih itu masih belum menetapkan rumah anak yatim yang bakal didermakan yang barangkali tidak membabitkan sebuah rumah sahaja.
Sumber berita: Mulianya Hati Naqiu Boboy…. Separuh Wang Kemenangan Akan Didermakan Kepada Rumah Anak-Anak Yatim