Kredit foto: Instagram Zack Kool
Bekas anggota Kool, Zack mendedahkan ketiadaannya dalam program Gegar Vaganza (GV) musim keenam kerana sudah meninggalkan kumpulan itu sejak tahun lalu.
Malah, Zack atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamad, berkata, dia kini menyertai tabligh dan dalam proses mendalami ilmu agama untuk peralihan ke arah kehidupan yang lebih baik.
"Sebelum rancangan itu (GV) berlangsung, saya ada menerima jemputan namun terpaksa menolaknya.
"Buat rakan tercinta iaitu Riot dan Hairee, teruskanlah kehidupan seperti biasa dan jangan sesekali meninggalkan solat," katanya kepada portal Harian Metro.
Terdahulu, Riot dan Hairee mewakili kumpulan Kool, merupakan antara 13 peserta yang bersaing dalam pertandingan realiti terbitan Astro, GV6.
Lain-lain peserta yang terlibat ialah Naqiu Boboy, Nur Fatima, Wann, Sham Visa, Noorshila Amin, Jatt Ali, Feeza, Mazleela, Roy, Hady Mirza, Ameer Sofazr dan One Nation Emcees.
Dalam pada itu, Zack berkata, dirinya masih aktif dalam bidang seni walaupun sudah membabitkan diri dengan kumpulan agama sejak awal tahun.
Kredit foto: Instagram Zack Kool
"Meniti penghujung usia, saya mahu berkarya melalui cara Islamik.
"Ini dunia baharu dan setakat ini, saya sudah keluar di tujuh lokasi untuk berkongsi ilmu agama termasuk Langkawi, Kuantan, Ipoh dan Johor Bahru," katanya yang turut terlibat dalam drama terbaharu terbitan A Aida Production berjudul Setiaku Di Sini.
Difahamkan, seorang lagi ahli Kool iaitu Jay juga tidak membuat kemunculan dalam GV kerana menjaga bapa mentuanya yang sakit di Lendu, Melaka.
Tambah Zack, dia sudah melepaskan jawatan Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) pada Januari lalu.
Sumber berita: Saya Mahu Berkarya Melalui Cara Islamik - Zack