Oleh pada 28 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Ghaz Abu Bakar & Youtube DSV Entertainment

Pengarah Ghaz Abu Bakar sudah terlebih awal menjangkakan muzik video arahannya, I Am Me nyanyian Datuk Seri Vida akan dikritik netizen.

Menurut Ghaz, netizen tidak memahami kos sebenar RM1 juta itu bukanlah diperuntukkan kepada keseluruhan produksi.

"Saya mahu jelaskan di sini, sebenarnya RM1 juta itu adalah peruntukan untuk props dan peralatan dalam muzik video bukannya kos keseluruhan produksi.

"Walau apa pun, Vida berpuas hati dengan hasilnya. Saya pun gembira dengan muzik video itu," katanya menurut laporan portal Mstar Online.

Ghaz membuat kenyataan tersebut mengulas isu kualiti muzik video Vida yang dikatakan tidak setaraf dengan kos yang diwar-warkan.

Sementara itu, Ghaz atau nama penuhnya Mohd Ghazali Abu Bakar mendedahkan tentang perancangannya untuk menghasilkan filem biografi tentang usahawan selebriti itu.

Malah dia sudah bercakap tentang idea tersebut kepada Vida dan menerima maklum balas baik daripadanya.

"Saya ada beri tahu Vida mengenai idea ini, dia pun positif mengenainya.

"Jika filem biografi ini dihasilkan, ia boleh menjadi inspirasi kepada orang lain untuk turut berjaya seperti Vida," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ghaz terpilih sebagai salah seorang juri yang akan mengadili pertandingan Penciptaan Kandungan Kreatif Digital 2017 (DC3 2017).

Kata Ghaz, fokusnya dalam penilaian nanti akan lebih mengutamakan kandungan dan penyampaian peserta berbanding aspek teknikal.

Selain itu, sutradara filem Polis Evo ini juga sedang berada di set penggambaran siri televisyen terbaru arahannya.

Siri yang dibuat untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu menampilkan pelakon hebat seperti Namron dan Khir Rahman dan akan menemui penonton sekitar bulan kemerdekaan tahun hadapan.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)