Kredit foto: New Straits Times & BH Online
Dalam ruangan pojok akhbar Harian Metro baru-baru ini melaporkan tentang krisis hubungan antara pengasas kosmetik Datuk Seri Vida dan komposer Edry Abdul Halim. Sebagaimana yang kita maklum, Vida telah mendapatkan khidmat Edry untuk menghasilkan single sulungnya yang berjudul I Am Me.
Apa yang menjadi pertikaian Vida apabila lirik lagu tersebut yang merupakan hasil nukilan bersama tidak menyatakan Vida sebagai penulis lirik, sebaliknya ciptaaan sepenuhnya oleh Edry.
Manakala hakmilik video muzik mengikut perbincangan awal akan dimuatkan dalam laman Youtube rasmi Vida, tetapi akhirnya selepas siap hanya dimuat naik ke laman Youtube milik KRU Music.
Penulis ruangan pojok tersebut melahirkan rasa hairan kerana daripada pengetahuannya, lagu dan video muzik sememangnya menjadi milik penuh syarikat rakaman jika penyanyi itu adalah artis naungan mereka, justeru tertanya mengapa Vida boleh membuat tuntutan tersebut.
Bagaimanapun ia hanyalah khabar angin yang belum pasti kesahihannya. Jika benar berita ini, nampaknya dua nama besar ini perlu duduk semeja dan bersemuka kerana ada isu berbangkit yang perlu diselesaikan.