Negara Jepun boleh dianggap sebuah negara yang tidak bernasib baik dari segi geografinya. Gempa bumi, bentuk muka bergunung-ganang dan ancaman tsunami merupakan cabaran bagi negara ini dan perkara ini sudah kami tulis panjang lebar dalam artikel "Kenapa keadaan geografi di Jepun sangat teruk?".

Di Jepun juga, terdapat sebuah kawasan yang boleh dianggap unik kerana setiap penduduknya di pulau ini dikehendaki membawa topeng keselamatan setiap masa. DIkenali sebagai Miyake-Jima, ianya adalah sebuah pulau yang memiliki gunung berapi yang masih aktif.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Memiliki penduduk tetap

pulau miyake jima

Percaya atau tidak, walaupun dianggap bahaya kerana memiliki gunung berapi yang masih aktif, terdapat kira-kira 2,415 orang yang menjadikan kawasan pulau ini sebagai rumah mereka. 

Mungkin ada segelintir daripada anda tertanya-tanya, mengapakah penduduk ini seolah-olah mengambil risiko membina penempatan di kawasan seperti ini? Kami tidak mempunyai jawapan khusus untuk persoalan ini, namun terdapat 4 kelebihan tinggal di kawasan gunung berapi walaupun kawasan ini secara umumnya dilihat merbahaya.

Kawasan gunung berapi di pulau ini masih lagi aktif dan berterusan melepaskan gas beracun ke udara. Keadaan ini menjadikan udara di sekelilingnya berada pada keadaan tidak sihat untuk pernafasan manusia, seterusnya memaksa penduduk setempat memakai topeng keselamatan.

Dalam satu dekad kebelakangan ini sahaja, gunung berapi di pulau ini sudah meletus sebanyak 6 kali. Kali terakhir letusan berlaku adalah di Gunung Oyama pada tahun 2000 yang telah mengembuskan gas-gas beracun sulfur dioxsida.

Letusan pada Jun 2000 ini menjadikan 20% kawasan tanah rata berhampirannya tidak selamat untuk didiami. Bagai jatuh ditimpa tangga, selepas kejadian letusan ini pulau ini dilanda pula bencana gempa bumi sebanyak 17,500 kali gegaran. Ya, tujuh belas ribu!

Arahan pengosongan pulau

letupan gunung berapi 774

Walaupun letusan gunung berapi di Gunung Oyama berlaku pada bulan Jun, hanyalah 3 bulan kemudian iaitu pada bulan September kerajaan telah mengarahkan penghijrahan keluar beramai-ramai penduduk dari pulau ini ke kawasan yang lebih selamat.

Walaupun arahan pengosongan telah dikeluarkan oleh kerajaan, ada juga segelintir kecil penduduk pulau ini yang masih berdegil untuk tidak berpindah keluar ke tempat lain. Pada masa yang sama, kerajaan juga mengharamkan sesiapa sahaja untuk datang berdekatan ke pulau ini selama 5 tahun.

Langkah tersebut diambil memandangkan Gunung Oyama telah menghembuskan kira-kira 10,000 hingga 20,000 tan gas bertoksik setiap hari dalam tempo 2 tahun. Malah, sehingga kini satu pertiga daripada kawasan pulau ini masih lagi ditutup kepada orang awam.

Dalam tempoh 2 tahun ini juga, asap dan gas yang dilepaskan daripada gunung ini juga sangat tebal dan berisiko pada kesihatan. Kerana tahap penglihatan yang sangat terhad juga, selama 8 tahun lamanya semua penerbangan keluar dan masuk ke pulau ini telah dibekukan.

Pulau Miyake-Jima pada masa kini

topeng gas beracun 129

Pada tahun 2005, kerajaan telah menarik balik larangan untuk memasuki pulau ini. Penduduk asal pulau ini yang telah dipindahkanke Tokyo juga telah dibenarkan pulang kembali ke pulau ini. Daripada kira-kira 3600 orang yang telah berpindah keluar sebelum itu, 2800 daripadanya telah mengambil kputusan untuk kembali ke pulau ini.

Di sesetengah kawasan di pulau ini, kerajaan telah mengarahkan setiap penduduk agar membawa topeng keselamatan setiap masa. Malah, kemasukan ke pulau ini juga telah dihadkan mengikut umur seseorang individu tersebut. Kerajaan juga pada masa yang sama telah melakukan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk tempatan. 

Selain penduduk tempatan, pulau ini juga kini dibuka kepada pelancong luar yang inginkan cabaran dan suasana berlainan. Pelancong yang ingin menjejakkan kaki ke pulau ini juga disarankan melakukan ujian  perubatan pernafasan sebelum dan selepas datang ke sini.

Kerajaan memandang keunikan yang ada di pulau ini mempunyai nilai komersial untuk diketengahkan. Maka, tidak hairanlah anda boleh melihat topeng gas keselamatan boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai runcit dan jeti.

Mungkin ada antara pembaca tertanya-tanya mengapakah terdapat pelancong yang sanggup datang ke tempat sebegini. Untuk makluman, pulau ini merupakan sebahagian daripada Taman Nasional Fuji-Hakone-Izu yang kaya dengan flora dan fauna yang sangat unik. Pagi penyelam pula, kawasan sekitar pulau ini adalah syurga terumbu karang dan terdapat populasi ikan lumba-lumba. 

Kredit:

  1. Atlas Obscura
  2. Daily Express
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)