Kesempitan hidup mampu mendorong manusia melakukan apa saja untuk bertahan.
Dalam satu artikel, kami menceritakan tentang kewujudan komuniti di Filipina yang memilih untuk menjual buah pinggang secara tidak sah dalam pasaran gelap - demi kelangsungan hidup mereka.
Bagi masyarakat di Iran, aktiviti serupa turut menjadi salah satu peluang keluar daripada masalah kewangan secara segera.
BESARKAN TEKS A- A+
Bezanya, Iran adalah satu-satunya negara di dunia yang undang-undang mereka membenarkan jual beli buah pinggang rakyat mereka berlaku secara terbuka.
Undang-undang serampang dua mata
Iran mencatat sejarah dalam dunia perubatan moden, menjadi negara Asia Tengah pertama berjaya melakukan pemindahan organ buah pinggang.
Pembedahan bersejarah tahun 1967 itu membuka kepada lebih banyak peluang pesakit di benua sana untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan ekoran kepakaran yang ada.
Bagaimanapun ketiadaan fasiliti dan akses perjalanan organ yang lebih baik, mengehadkan potensi Iran untuk menjadi destinasi perubatan terulung.
Dianggarkan hanya lebih 100 pembedahan serupa dapat dijalankan dalam tempoh 20 tahun selepas kejayaan pertama mereka disebabkan kekangan yang ada, khususnya isu kekurangan bekalan organ buah pinggang untuk dijadikan ganti pesakit.
Statistik dekad 1980-an dan 1990-an di Iran malangnya menyaksikan pertambahan mendadak jumlah pesakit yang dikategorikan perlu menjalani dialisis bagi mencuci buah pinggang, memaksa Iran berbelanja besar cuba memperbaiki kualiti hidup masyarakat mereka.
Kerajaan Iran cuba memperkenalkan satu dasar baru menggalakkan mana-mana sukarelawan yang ingin mendermakan buah pinggang mereka untuk terbang ke United Kingdom atas tajaan kerajaan Iran sendiri, bagi menjalani pembedahan mengeluarkan buah pinggang, untuk kegunaan di Iran.
Bagaimanapun kos yang meningkat bagi tujuan menghantar warga Iran ke United Kingdom, memaksa Iran mencari kaedah berbeza dalam memastikan bekalan buah pinggang yang ada bertambah.
Selain daripada usaha membangunkan fasiliti perubatan yang lebih baik bagi membolehkan penderma menderma dalam negara dan membantu tahap keyakinan orang ramai, kempen galakan untuk mengajak orang ramai menderma juga harus ditambahbaik - dalam kadar segera.
Warga Iran digalak kerajaan menderma buah pinggang untuk duit
Dalam memastikan bekalan buah pinggang bagi menampung lebih 250,000 permintaan pesakit yang sudah ada ketika itu, kerajaan Iran nekad memperkenalkan dasar baru yang membenarkan mana-mana individu asing tiada hubungan dengan pesakit, menderma buah pinggang mereka atas kerelaan sendiri.
Penderma sebegini yang dikategorikan sebagai 'living non-related donation' atau LNRD dalam istilah perubatan, diselia oleh satu badan berkait dengan kerajaan dinamakan Kesatuan Pesakit Dialisis dan Pemindahan Organ Iran atau DTPA.
Dengan pengenalan sistem dan badan ini, bagi masyarakat Iran sudah wujud dua pilihan berbeza bagi mendapatkan bekalan buah pinggang untuk menggantikan organ yang sudah rosak, sama ada melalui derma selepas kematian seseorang ataupun daripada individu tidak dikenali sukarela mahu menderma.
Untuk setiap sukarelawan berstatus LNRD, satu skim insentif berbentuk pampasan menjadi imbuhan utama. Kerajaan Iran menetapkan jumlah pampasan untuk satu buah pinggang kepada kadar RM21,250 jika seseorang mahu menyedekahkan organ mereka kepada badan bertindak DTPA.
Bagaimanapun, hasrat murni ingin memperbaiki kelangsungan hidup pesakit dialisis daripada terus merana mula menyumbang kepada idea berbeza di kalangan warga Iran - khususnya mereka yang duduk dalam golongan susah.
Sistem dimanipulasi masyarakat sendiri
Hasrat kerajaan Iran mewujudkan sistem baru itu jelas sebagai usaha mempermudahkan serta mempercepatkan urusan pendermaan dan pembedahan bagi mereka yang memerlukan.
Bagaimanapun apabila duit dah jadi imbuhan dan dibayar oleh kerajaan sendiri, ramai warga Iran melihat insentif yang ditawar sebagai satu kaedah mudah mereka keluar dari kesempitan hidup.
Ganjaran yang ditawar mula mengakibatkan ramai sukarelawan penderma muncul, berebut-rebut mahu mendapatkan amaun yang ditawarkan selain perlindungan insurans percuma yang turut diberikan kepada semua penderma.
Kadar penderma yang diharapkan naik, benar-benar naik sehinggakan lebih 3/4 bekalan buah pinggang yang diterima datang daripada kelompok LNRD. Walaupun demikian manusia-manusia yang terlebih kreatif mula melihat kaedah licik bagaimana hendak memanipulasi sistem yang diperkenalkan.
Sukarelawan penderma mula berani menampal iklan sendiri di merata-rata tempat, menawarkan buah pinggang mereka di jalanan dengan harapan agar ada individu terdesak sanggup membayar kos 'pembelian tambahan' selain ganjaran yang sudah sedia ditawarkan kerajaan.
Ada juga individu bertindak lebih berani menunggu di pusat-pusat dialisis, untuk berunding ketika menawarkan buah pinggang mereka kepada pesakit yang hadir - agar proses perpindahan dapat disegerakan demi kesenangan pesakit.
Kaedah-kaedah sebegini walaupun diiktiraf adalah kesalahan dari segi undang-undang negara Iran tidak lagi diambil peduli, disebabkan oleh kewujudan undang-undang yang sudah membenarkan jualan organ secara sukarela diadakan diburukkan lagi ekoran kegagalan kerajaan Iran mengawal 'urusan jual beli' yang berlaku di luar bidang kuasa DTPA.
Hendak tak hendak penguatkuasa Iran memilih untuk menutup sebelah mata melihat perbincangan di antara pesakit dan penjual berlaku sehinggalah persetujuan berjaya dicapai.
Lagipun jika kita fikirkan isu ini dari aspek penderma, bukankah memang patut kita dapat pulangan yang terbaik untuk pengorbanan sekali seumur hidup yang bakal kita lakukan demi orang yang tidak kita kenali?
Mungkin itu agaknya yang bermain difikiran mereka yang berpegang dengan pemikiran sebegini.
Baik buruk sistem halal jualan buah pinggang
Kebimbangan wujudnya masalah berleluasa akibat kebenaran jualan yang diberikan, mendorong kerajaan Iran memperketatkan undang-undang yang ada. Beberapa perubahan diperkenalkan bagi melindungi aktiviti jualan ini daripada terus tidak terkawal.
Orang luar tidak lagi dibenarkan membeli buah pinggang yang diperolehi dalam sistem penderma sukarelawan di Iran. Bagi kumpulan pelarian seperti warga Afghanistan yang menetap di sana, mereka dibenarkan untuk menderma dan menerima imbuhan - tetapi mereka hanya layak menderma penerima yang sama etnik dan keturunannya.
Setelah lebih 3 dekad sistem ini berlangsung, baik buruk dasar yang dijalankan kerajaan Iran ini masih menjadi topik perbincangan hangat, khususnya melibatkan pakar-pakar perubatan dunia dan isu bekalan buah pinggang yang meruncing di majoriti negara dunia.
Ramai melihat kelemahan sistem yang digunapakai Iran sehingga mudah dieksploitasi serta telah menjadi sesuatu yang komersial di kalangan warganegara mereka adalah sesuatu yang perlu diperbaiki.
Apatah lagi apabila ramai orang Iran sendiri sudah melihat menjual buah pinggang sebagai satu bentuk bantuan kewangan yang lumayan.
Bagaimanapun bagi mereka yang melihat aspek positifnya, mereka percaya walaupun tidak dinafikan sistem Iran ini ada kelemahannya, undang-undang ini berjaya mempercepatkan proses menunggu seperti yang sering berlaku di negara-negara lain.
Adakah anda akan lakukan perkara serupa?
Pada mereka apa yang dilakukan oleh penderma walaupun bermotifkan wang ringgit semata-mata sekalipun, tetap membawa kesan positif membantu menyelamatkan nyawa lain yang lama menderita.
Tindakan mendaftar sebagai penderma hanya untuk mendapatkan wang yang diidamkan juga dikatakan lebih baik, jika dibandingkan dengan mereka yang memilih untuk melakukan jenayah ketika benar-benar terdesak.
Sistem Iran membolehkan urusan pendermaan dan perpindahan berlaku secara sah dan berdaftar, menjamin hak penderma agar lebih terbela jika dibandingkan dengan sistem pasaran gelap jualan organ yang juga popular di banyak negara, seperti yang berlaku di banyak negara Asia.
Sekiranya kita di Malaysia ditawarkan tawaran serupa oleh kerajaan kita, yang akan membayar lebih RM20,000 untuk salah satu buah pinggang kita - adakah anda terbuka untuk menerima tawaran sebegitu rupa?
Atau adakah anda adalah mereka yang lebih berani, yang akan bertanya "takkan buah pinggang sebelah saja? Organ lain tak nak ke?"
Rujukan
Paying kidney donors: time to follow Iran?
Kidneys and Controversies in the Islamic Republic of Iran: The Case of Organ Sale