Seorang psikopat sering kali dilihat dan dianggap sebagai pembunuh atau seseorang yang mahu mencederakan orang lain. Tanggapan sebegini tentang seorang psikopat biasanya ditonjolkan melalui televisyen, filem dan buku. Sebenarnya, tanggapan ini tidaklah semuanya benar.
Dianggarkan sekitar 1 daripada 100 orang memenuhi kriteria klinikal sebagai seorang psikopat. Walaupun statistik menunjukkan seramai satu perempat daripada banduan lelaki di penjara merupakan seorang psikopat, ramai lagi yang masih di luar sana. Jika benarlah seorang psikopat itu ganas dan gemar membunuh, pasti kadar kematian akan melonjak naik.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebenarnya, ramai psikopat atau sosiopat menjalani kehidupan biasa tanpa kita disedari. Bahkan, mereka mempunyai kelebihan berbanding orang lain dalam mencapai kejayaan di bidang profesion yang diceburi. Tidak hairanlah mengapa 1 daripada 5 pemimpin dunia perniagaan mempunyai ciri-ciri seorang psikopat.
Menurut kajian yang dijalankan oleh University of Wisconsin-Madison pada 2017, psikopat mempunyai kurang hubungan di kawasan otak yang mengawal ketakutan, kegelisahan, empati dan sentimen.
Pengalaman psikopat
Beberapa orang psikopat telah menjelaskan sendiri bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian. Mereka menjawab soalan yang diajukan di Reddit bagi membetulkan persepsi masyarakat yang memperolehi maklumat sensasi melalui media.
Salah seorang psikopat berkata :
Orang selalu berasa marah dengan pendapat saya. Untuk satu masa yang lama, saya beranggapan bahawa orang yang menangis itu sebenarnya terlalu dramatik dan pelik. Ketika ahli keluarga terdekat meninggal dunia, saya tidak merasakan apa-apa dan pada waktu itulah saya mula mempersoalkan diri sendiri.
Media ada kalanya menggambarkan orang seperti saya sebagai individu yang suka membunuh tanpa rasa bersalah atau menyesal. Namun, saya tidak pernah merasakan perlunya untuk mencederakan sesiapapun. Mungkin saya pernah mencubanya sewaktu kecil untuk mengetahui adakah saya mempunyai rasa bersalah tetapi soalan itu sudahpun terjawab.
Salah satu kesan mempunyai perasaan seperti ini dalam hidup mereka adalah mereka tidak akan memiliki atau menyukai haiwan peliharaan. Seorang psikopat cenderung untuk mengabaikan haiwan peliharaannya kerana tidak mempunyai rasa peduli yang cukup untuk menjaga haiwan supaya kekal hidup dan sihat.
Seorang lagi individu yang didiagnosis sebagai psikopat berkata:
Saya rasa saya mempunyai pendapat yang sangat baik dalam topik kontroversi seperti isu pengguguran bayi, agama dan politik tetapi biasanya pendapat saya akan membuatkan orang marah. Selain itu, saya melihat setiap kehilangan atau kerugian itu sebagai satu kelegaan.
Ada juga psikopat yang menggambarkan bahawa sifat pentingkan diri, kurang motivasi dan tidak serasi dengan orang lain menyekat diri mereka daripada menjadi pembunuh psikopat seperti yang digambarkan dalam filem atau TV. Menurutnya:
Media sering mensensasikan keadaan sehingga setiap psikopat itu digambarkan sebagai seorang pembunuh. Saya bukanlah pembunuh walaupun ada kalanya terfikir bahawa membunuh adalah salah satu pilihan bagi menyelesaikan masalah tertentu.
Walaupun ada psikopat tahu bahawa membunuh diri atau orang lain merupakan jalan penyelesaian terbaik tetapi ia tidaklah semudah itu. Pemikiran itu hanya dirancang dalam otak dan biasanya sukar dilaksanakan.
Hari demi hari, golongan psikopat juga mendapati mereka harus meniru orang-orang yang ada di sekeliling mereka. Mereka terpaksa berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan jadi mereka akan meniru apa yang dirasakan "normal" oleh orang lain supaya dapat menyesuaikan diri.
Sebilangan kecil golongan psikopat pula menyatakan bahawa mereka tidak merahsiakan perasaan mereka daripada orang lain. Seorang individu psikopat menyatakan bahawa kebanyakan rakan dan ahli keluarganya tahu tentang kecelaruan yang dihadapinya.
Dia memberitahunya sendiri agar mereka lebih bersedia sebelum perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Ini kerana dia ingin membuang mitos bahawa seorang psikopat menganggap kehidupan ini satu permainan dan mereka akan memanipulasi semua orang dan keadaan.
Namun, dia tidak menafikan bahawa dia boleh menjadi sangat manipulatif kerana tidak mempunyai emosi seperti orang lain dan tahu bagaimana menggunakan emosi terhadap seseorang bagi mendapatkan apa yang dikehendakinya.
Ini tidak bermaksud saya melakukannya sepanjang masa dan hanya cuba melakukannya ketika perlu sahaja. Saya juga sedar kekurangan emosi ini boleh menghalang saya daripada rapat dengan keluarga dan rakan.
Berikut adalah luahan dari beberapa orang psikopat yang ingin berkongsikan apa yang mereka lalui:
Hidup dengan memakai "topeng" ini sangat memenatkan. Diri sebenar anda terkurung sementara personaliti lain hidup. Namun, topeng ini sangat penting untuk anda terus menyesuaikan diri dengan dunia luar.
Saya sangat pandai berpura-pura menjadi seorang ekstrovert walaupun pada realitinya saya tidak peduli dengan interaksi sosial melainkan ia memberikan keuntungan. Saya akan bercakap apa yang orang MAHU dengar, bukannya apa yang mereka PERLU tahu.
Saya tidak mempunyai kebolehan untuk merasai perasaan orang lain. Namun, saya boleh meniru seolah-olah saya memahami mereka.
Rujukan: