Secara umumnya, ikan terbahagi kepada dua, iaitu ikan air masin dan ikan air tawar. Antara contoh ikan air tawar adalah ikan kelah, keli dan sepat. Sementara itu, antara contoh ikan air masin yang biasa dijual di Malaysia pula adalah ikan tongkol dan kembung.
Kesemua ikan ini mempunyai ciri-ciri yang sama, ada insang, ada sirip dan ekor. Walau bagaimanapun, apakah sebenarnya yang membezakan antara ikan air tawar dan ikan air masin? Bolehkan ikan air masin hidup dalam air tawar dan bolehkah ikan air tawar hidup dalam air masin?
BESARKAN TEKS A- A+
Tidak boleh. Walaupun setiap ikan mempunyai ciri fizikal yang sama, ikan daripada kedua kategori ini mempunyai ciri biologi yang berlainan.
Memahami proses Osmosis
Setiap hidupan termasuklah manusia perlulah mengekalkan keseimbangan air dan garam di dalam badan untuk terus hidup. Ianya penting bagi memastikan mineral-mineral penting yang diperlukan oleh badan berada dalam keadaan yang seimbang. Untuk memahami perkara ini, adalah penting untuk mengetahui apa itu proses Osmosis.
Osmosis adalah pergerakan pelarut (dalam kes ini, air) melalui lapisan membran separa telap (seperti dinding sel) daripada larutan yang rendah kepekatan ke larutan yang tinggi kepekatan. Proses ini berlaku disebabkan oleh tekanan osmosis dan penting bagi mencapai keseimbangan kepekatan larutan pada kedua-dua bahagian membran ini.
Sebagai contoh, jika satu sel darah merak diletakkan di dalam air suling, kerana tekanan osmosis, sel darah merah yang mempunyai kepekatan garam yang lebih tinggi daripada air suling di luarnya akan menyebabkan air suling masuk ke dalam sel melalui dindingnya yang separa telap dan nipis itu. Lama-kelamaan, sel tersebut akan meletup.
Sebaliknya, jika sel tersebut diletakkan dalam larutan air masin, perkara sebaliknya akan berlaku. Kerana kepekatan garam dalam larutan air lebih tinggi daripada larutan garam di dalam sel darah merah, kandungan air di dalam sel darah merah akan keluar. Lama-kelamaan, sel tersebut akan mengecut. Jika kepekatan sel darah merah dan kawasan luarannya adalah sama, maka tiada sebarang perubahan akan berlaku padanya.
Ikan Air Tawar
Untuk ikan air tawar, darahnya mengandungi kepekatan garam yang lebih tinggi berbanding kawasan sekitarnya. Keadaan ini dipanggil hipertonik. Walaupun kulitnya separa telap, insangnya yang digunakan untuk bernafas sentiasa bersentuhan dengan air. Melalui insang ini, air akan masuk ke dalam saluran darah ikan melalui proses osmosis.
Oleh itu, untuk mengawal kandungan air yang banyak masuk ke dalam saluran darahnya yang akan mencairkan kandungan mineral terlarut di dalamnya, ikan air tawar perlu mengeluarkan sisa perkumuhan lebih kerap. Disebabkan itulah sekiranya anda membela ikan air tawar seperti ikan emas (goldfish), anda perlu kerap membersihkan air di dalam akuarium atau memasang penapis kerana air akan lebih cepat kotor.
Bagi memudahkan ikan air tawar mengeluarkan sisa perkumuhan lebih kerap, ianya mempunyai buah pinggang dan jaringan kapilari yang lebih besar dikenali sebagai gloerulus bagi membantu proses perkumuhan ini. Selain itu, ikan air tawar juga perlu mengambil garam dalam kadar yang diperlukan bagi memastikan kepekatan berada di tahap yang optimum seperti yang diperlukan oleh badannya.
Selain itu, ikan air tawar mempunyai sel penyimpan klorida (chloride secretory cells) di bahagian insangnya yang akan menyimpan garam daripada air sekeliling dan melepaskannya ke dalam saluran darah. Pada masa yang sama, tekanan osmosis akan memindahkan air ke dalam sistem, seterusnya mencairkan kepekatannya.
Ikan Air Masin
Bagi ikan air masin, kesnya adalah berlawanan dengan ikan air tawar. Maka, tabiat perkumuhannya juga berlawanan dengan ikan air tawar. Secara umumnya, ikan air masin mempunyai kandungan garam yang lebih rendah berbanding keadaan sekelilingnya. Keadaan ini dikenali sebagai hypotonik.
Oleh itu, melalui tekanan osmosis, ikan air masih akan kehilangan banyak air daripada saluran darahnya apabila ia bernafas melalui insangnya. Bagi menampung kehilangan air yang banyak ini, ikan air masin perlu meminum air yang lebih banyak melalui mulutnya. Proses meminum air ini bukanlah seperti manusia. Ianya adalah tindak refleksi ikan yang dilakukan tanpa sedar.
Tidak seperti ikan air tawar, ikan air hanya mengeluarkan sisa perkumuhan yang sangat sedikit. Oleh itu, berlawanan dengan ikan air tawar, ikan air masin mempunyai jaringan kapilari yang sangat kecil.
Kredit: