Oleh pada 29 Jun 2024 kategori

Siapa suka makan ikan?Ikan adalah makhluk yang hidup dalam persekitaran akuatik, kecuali beberapa jenis ikan tertentu tetapi itu dah masuk bab lainlah.

Bila dah duduk dalam suasana dalam air ni, mestilah tubuh ikan mempunyai cara yang berbeza dalam menyelia pengambilan air dan garam dalam badan kan?

Pernah tak anda terfikir, bagaimana ikan 'minum' tak kiralah ikan jenis air tawar atau air masin? Jom kita pelajari bagaimana ikan menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka dan bagaimana ikan minum air.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Teknik ikan air tawar minum air

bagaimana ikan minum air

Sebelum meneruskan artikel, kami nak jawab dulu satu soalan utama kepada anda. Adakah ikan rasa dahaga?

Tidak. Ikan tidak mempunyai keupayaan untuk rasa dahaga seperti kita atau banyak makhluk hidup lain. Tubuh ikan memang dibentuk oleh Maha Pencipta tanpa memerlukan rasa dahaga, yang sebenarnya bertindak sebagai isyarat untuk kita minum air.Namun begitu, ikan tetap memerlukan air untuk terus hidup, cuma kaedah mereka minum jauh berbeza.

Teknik bagaimana ikan 'minum' berbeza mengikut kedudukan. Ikan air tawar hidup di dalam persekitaran air yang mempunyai kandungan garam yang lebih rendah berbanding dengan cecair badan mereka.

Perbezaan paras garam ini menyebabkan air secara semulajadi masuk ke dalam badan ikan diserap melalui proses osmosis melalui insang dan kulit mereka.Proses yang terjadi secara aktif pada setiap ikan air tawar menjadi kaedah ikan mendapatkan air dalam tubuh.

Untuk mengelakkan lebihan air terserap dalam badan, ikan air tawar merembeskan air lebihan atau dalam bahasa kasarnya, air kencing yang cair selepas diproses ginjal. Sistem tubuh ikan air tawar efisien dalam menapis air yang berlebihan sambil mengekalkan garam dan elektrolit penting, membantu mengekalkan keseimbangan cecair dan nutrien dalam badan mereka.

Pada tubuh ikan ada bahagian bukaan yang dinamakan cloaca, menjadi bukaan yang mengeluarkan najis ikan sama ada air atau dalam bentuk fizikal akibat proses pemakanan.

Bagaimanapun, ada juga ikan yang cloaca-nya hanya untuk mengeluarkan bahan fizikal dan mulutnya pula menjadi saluran mengeluarkan air.

Bagaimana pula ikan air masin minum?

ikan laut air masin minum air

Kami dah ceritakan tentang kepentingan kadar garam dalam air, yang akan menentukan bagaimana proses ikan 'minum' berlaku. Lain pula ceritanya bila kita bercakap tentang ikan air masin.

Oleh kerana ikan air masin tinggal di persekitaran di mana air sekelilingnya lebih masin daripada cecair yang ada dalam badan mereka, kandungan garam yang tinggi menyebabkan air secara semulajadi keluar dari badan ikan melalui osmosis.

Untuk mengimbangi kehilangan air ini yang berlaku secara automatik, ikan air masin secara aktif akan minum air laut.Walau bagaimanapun, dengan meminum air laut yang tinggi kandungan garamnya pasti akan menyebabkan kadar garam meningkat pada tubuh ikan.

Bagi menyeimbangi proses penyerapan air masin, ikan air masin mempunyai sel-sel khas dalam insang mereka yang berfungsi untuk mengeluarkan garam berlebihan selain memiliki ginjal yang mampu menghasilkan lebihan air kencing dalam bentuk pekat untuk menyelia tahap air dalam tubuh ikan.

Sistem tubuh ini yang dinamakan sebagai osmoregulasi sangat efisien membantu ikan air masin mengekalkan tahap penghidratan yang perlu walaupun hidup dalam persekitaran yang tinggi kandungan garam.

Ada tak ikan yang unik sifatnya?

ikan salmon unik kerana migrasi

Sesetengah ikan yang istimewa mempunyai kaedah adaptasi yang agak unik dan berbeza berbanding kebanyakan ikan, dalam menjalankan osmoregulasi mereka:

Ikan yang mengamalkan migrasi seperti ikan salmon, yang mampu berpindah daripada kawasan air tawar dan air masin mampu menyesuaikan mekanisme osmoregulasi mereka mengikut perubahan persekitaran. Ikan dalam kategori ini dinamakan sebagai ikan anadomous.

Dalam suasana air tawar, salmon akan menyerap air melalui kulit dan insang tetapi dalam persekitaran manakala di air masin, salmon mempunyai kebolehan untuk minum air laut dan tubuhnya juga mampu memproses lalu mengeluarkan garam yang berlebihan.

Adaptasi semulajadi ini membolehkan ikan salmon dilahirkan dalam persekitaran air tawar, membesar dan berpindah ke kawasan laut di mana airnya masin sebelum kembali ke air tawar untuk membiak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)