Persekolahan di Malaysia kini dibuka semula setelah ditutup akibat wabak Covid-19. Ia mungkin merupakan berita gembira kepada guru yang sebelum ini terpaksa mengajar pelajar secara PdPR (Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah) dalam memenuhi pendekatan norma baharu.

Credit : sinarharian

Bagi ibu bapa yang bekerja pula, ia meringankan beban mereka kerana terpaksa membahagikan masa sebelum ini untuk memastikan pembelajaran anak-anak di rumah berjalan lancar. Semua ibu bapa sedang sibuk membuat persediaan sama ada dari segi peralatan sekolah mahupun pakaian seragam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mengambil kira keadaan ekonomi sekarang, pihak kerajaan telah memberikan kelonggaran kepada pelajar untuk memakai pakaian biasa selain uniform asalkan ia memenuhi kesesuaian yang ditetapkan.

Pernahkah anda terfikir mengapa sekolah di Malaysia dan sebahagian besar negara di dunia mewajibkan uniform sedangkan negara maju seperti Amerika dan Sweden memakai pakaian biasa? Berikut adalah kelebihan mengapa majoriti memilih untuk mewajibkan pakaian seragam.

1. Mengukuh perpaduan

Apabila pelajar memakai pakaian yang sama setiap hari, ia dapat memupuk rasa kesaksamaan antara semua. Tambahan pula Malaysia mempunyai latar belakang penduduk berbilang kaum.

Setiap pelajar mempunyai datang dari sosioekonomi keluarga yang berbeza dan uniform akan membuatkan mereka setaraf di sekolah. Tanpa uniform, kanak-kanak dari keluarga kurang senang mungkin berasa malu kerana ibu bapa mereka tidak mampu membeli pakaian mengikut fesyen terkini.

2. Mengurangkan potensi buli

buli di sekolah 535

Tidak dinafikan masih berlaku kejadian buli walaupun memakai pakaian seragam. Namun, kejadian buli mungkin bertambah teruk tanpa pakaian seragam. Manusia sering menggunakan pakaian sebagai salah satu ekspresi diri termasuklah kanak-kanak.

Jika seorang pelajar itu mengekspresikan diri mereka dengan cara yang berbeza dengan orang lain, dia mungkin akan dianggap pelik dan mudah menjadi mangsa buli atau ejekan. Malah, perbezaan ini juga mampu mencipta jurang antara pelajar.

3. Meningkatkan etika belajar

Pakaian seragam mencegah daripada rasa kurang yakin pelajar. Tanpa uniform, pelajar yang tidak memiliki pakaian fesyen terkini mungkin akan berasa kurang yakin. Kurang keyakinan boleh menjadi salah satu penghalang terbesar dalam pertumbuhan akademik.

Uniform juga membuatkan pelajar lebih fokus kepada pembelajaran, bukannya kepada pemilihan pakaian yang sesuai atau mengikut trend. Apabila mengenakan pakaian seragam, minda pelajar akan berubah kepada mood belajar.

4. Meningkatkan keselamatan

pelajar sekolah rendah segak

Dengan pemakaian uniform, pelajar dengan mudah dapat membezakan diri mereka dengan orang luar. Ini dapat meningkatkan keselamatan diri pelajar di waktu sekolah.

Di luar sekolah pula, pemandu di jalan raya juga dapat lebih berhati-hati ketika menghampiri pelajar berpakaian uniform. Ketika lawatan di luar sekolah, orang ramai mudah mengenali pelajar beruniform sekiranya mereka terpisah daripada kumpulan.

5. Etika pemakaian yang mudah

Apabila sekolah mewajibkan pakaian seragam, kod pemakaian pelajar akan menjadi lebih ringkas. Jika sekolah membenarkan pakaian biasa pula, mereka perlu menyenaraikan standard pakaian yang lebih panjang.

Guru pula tidak perlu memeriksa murid dengan kerap bagi mencari kesalahan pemakaian sekiranya sekolah mewajibkan uniform. Pemakaian uniform juga dilihat lebih sopan berbanding pakaian biasa.

6. Persiapan untuk dunia luar

uniform pelajar di uk

Uniform pelajar sekolah di UK

Pakaian seragam sekolah membantu pelajar untuk lebih bersedia menghadapi dunia nyata. Apabila diajar sejak kecil untuk memakai uniform yang kemas dan seragam, kanak-kanak tidak akan berasa kekok berpakaian secara profesional ketika di alam pekerjaan kelak.

7. Persiapan mudah untuk pelajar dan ibu bapa

Persiapan pada waktu pagi akan menjadi lebih mudah bagi pelajar dan ibu bapa. Mereka tidak perlu memikirkan apa yang perlu dipakai setiap hari sekiranya sekolah mewajibkan pemakaian uniform.

Persiapan yang lebih tenang pada permulaan hari juga akan memberi kesan yang besar kepada seluruh pembelajaran pada hari itu.

8. Menjimatkan ekonomi

Kebanyakan uniform dijual pada harga yang berpatutan dan tidak terlalu membebankan. Uniform juga biasanya akan dibeli setahun sekali atau lebih. Ibu bapa dapat merancang kewangan mereka dengan lebih baik.

Jika berpakaian biasa ke sekolah, kanak-kanak mudah terpengaruh dengan apa yang dipakai oleh rakan mereka. Mereka akan meminta ibu bapa membeli pakaian berjenama atau trend yang berubah-ubah, sama seperti rakan mereka dan ia mungkin lebih mahal berbanding uniform.

Pemakaian pakaian biasa di sekolah

pelajar sekolah berpakaian biasa

Memakai pakaian biasa di sekolah juga mempunyai beberapa kelebihan tersendiri seperti pelajar dapat mengekspresikan diri mereka dengan lebih bebas dan kreatif.

Namun, kesedaran tentang kelebihan pemakaian uniform kini semakin berkembang di Amerika Syarikat apabila sekolah swasta dan beberapa sekolah kerajaan mula mewajibkan pelajar mereka memakai pakaian seragam.

Rujukan:

1. Kelebihan pakaian seragam sekolah

2. Uniform vs Pakaian Biasa

3. Kenapa perlu pakai uniform




Hakcipta iluminasi.com (2017)