Pasti anda semua menyedari betapa pentingnya ibu jari. Tanpanya di kedua-dua belah tangan, kita pasti akan sukar untuk melakukan aktiviti harian seperti membuka balang, bersalaman dan banyak lagi.
Tetapi adakah anda juga tertanya-tanya tentang jari-jari yang lain? Mengapa kita ada 10 jari tangan dan 10 jari kaki?
Ia mungkin disebabkan oleh perihal keseimbangan. Lagipun, 6 jari di sebelah kaki dan 4 pada sebelah lagi pasti menyukarkan kita untuk berjalan.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun hal ini masih tidak dapat ditentukan mengapa, namun para saintis membuat teori-teori sejak dahulu lagi.
Ini termasuklah salah satu yang dikenali sebagai Hukum Anggota Badan, yang dikembangkan oleh ahli neurobiologi teoritis Amerika Syarikat, Mark Changizi.
(Mark Changizi)
Menurut hukum ini, formula matematik boleh digunakan untuk menjelaskan berapa bilangan anggota yang diperlukan oleh serangga atau haiwan berdasarkan panjang anggota badannya.
Lebih pendek anggota badan, lebih banyak yang diperlukan. Jadi, bagaimana Hukum Anggota Badan ini terpakai kepada jari tangan dan jari kaki?
Menurutnya, jari tangan dan jari kaki harus dianggap sebagai anggota badan kecil bagi tangan dan kaki, seperti mana tangan dan kaki kepada badan kita.
Kita memerlukan jumlah jari yang cukup-cukup sahaja dan tidak boleh lebih, supaya dapat melakukan tugasan tertentu seperti menggenggam tangan, memegang objek dan macam-macam lagi.
Dan ternyata, hukum ini menjelaskan bahawa nisbah yang betul dan tepat untuk tangan manusia adalah 5 jari.
Ia adalah mudah untuk manusia normal kerana kita dilahirkan dengan 10 jari tangan dan 10 jari kaki. Namun, tak semua daripada kita mengalami hal ini.
(Yoandri Hernandez Garrido, lelaki dengan 12 jari tangan dan kaki)
Sesetengah bayi dilahirkan dengan jari tangan atau kaki yang lebih. Walaupun tambahan jari ini biasanya dibuang melalui pembedahan, ia adalah bukti bahawa 10 jari tak semestinya berlaku kepada semua orang.
Namun, para saintis yakin bahawa 10 adalah nombor yang tepat bagi jari tangan dan kaki. Dalam hal ini, jumlah jari yang banyak tidak semestinya lebih baik.
Menambahkan jari keenam pada setiap tangan atau kaki tidak begitu memberikan penambahbaikan.
Kita tidak memerlukan jari keenam untuk menggenggam objek dan jari tambahan ini akan menjadi penghalang kepada pelbagai tugasan mudah, termasuklah untuk menggenggam tangan.
Walaubagaimanapun, tangan robot yang digunakan sebagai tangan prostetik pula telah terbukti hampir sama efektif dengan 2, 3 atau 4 jari berbanding dengan 5 jari.
Jadi, jawapan yang paling tepat mengapa kita mempunyai 10 jari kaki dan tangan adalah kerana ia merupakan jumpah yang paling sempurna bagi kita menjalani kehidupan.
Dan walaupun manusia cuba untuk mencari jawapan mengapa kita dilahirkan dengan 10 jari kaki dan tangan, semuanya sudah tertulis bahawa ia merupakan ciptaan Sang Pencipta yang lebih tahu tentang ciptaannya.
Wallahualam.
Rujukan:
2. Health
3. Seeker