Mungkin sukar untuk mencari seorang kekasih atau pasangan bagi sesetengah orang, tetapi tidak bagi Matthias Buchinger. Ahli silap mata Jerman abad ke-17 yang tidak mempunyai anggota badan ini bukan sahaja mempunyai seorang kekasih tetapi 74 orang yang direkodkan.
Dia pernah berkahwin sebanyak empat kali dan memperolehi 14 orang cahaya mata bersama isteri-isterinya itu. Dikhabarkan, Buchinger adalah seorang lelaki idaman para gadis semasa zaman kegemilangannya. Selain empat orang isterinya itu, dia dikatakan juga mempunyai lebih daripada 70 orang kekasih dan perempuan simpanan.
BESARKAN TEKS A- A+
Buchinger adalah seorang ahli silap mata, pakar ilusi, pereka yang berkebolehan dan mahir dalam pertunjukan ngeri seperti membaling pisau dengan mata tertutup. Dia juga dikenali kerana memenangi hampir semua permainan Poker yang disertainya. Mungkin segala kualiti inilah yang menjadikannya idaman para gadis.
Bukan sekadar itu sahaja, dia juga seorang penyanyi dan pelukis yang bagus walaupun tidak mempunyai kedua-dua belah kaki dan tangan. Semua ciri-ciri yang ada pada Buchinger itu merupakan ciri-ciri idaman seorang wanita terhadap lelaki.
Walaupun hanya bersaiz tidak lebih daripada 75 cm, namun dia berjaya membuatkan dirinya lebih menonjol berbanding orang lain di sekelilingnya. Dia bukan terkenal kerana keadaan istimewa atau kekurangannya itu tetapi dengan kebolehan unik yang dilakukannya tanpa mempunyai anggota badan.
Latar belakang Matthias Buchinger
Buchinger dilahirkan dengan kecacatan kongenital anggota badan. Dia tidak mempunyai tangan dari paras siku dan kaki daripada paha ke bawah. Ibu bapanya telah berhijrah ke sebuah penempatan kecil di Nuremberg, Jerman selepas sahaja dia dilahirkan pada 3 Jun 1674.
Mereka berpindah untuk menghindari cemuhan terhadap anak lelaki mereka yang "aneh" itu. Buchinger juga sering disembunyikan daripada masyarakat setempat selama 20 tahun pertama hidupnya.
Keadaannya itu disebabkan oleh gangguan genetik yang dikenal pasti sebagai phocomelia dalam perubatan moden. Akan tetapi, pada zamannya kecacatan itu dilihat sebagai kerja syaitan. Malah ada kisah mengenai orang kerdil yang diburu untuk keseronokan ketika itu.
Penduduk dahulu juga percaya kepada tahyul bahawa kecacatan itu adalah tanda seseorang itu mengamalkan ilmu hitam dan mereka akan dihukum tanpa bicara. Oleh itu, ketika lapan orang adik-beradiknya yang lain bermain di luar, Buchinger memanfaatkan masanya di dalam rumah untuk mengasah bakat terpendamnya.
Dia akhirnya membesar sebagai seorang lelaki pintar, berbakat, mahir dalam pelbagai bidang dan dihormati kerana dapat melakukan semua itu dalam keadaan serba kekurangan. Pada usia 20 tahun, dia mula menunjukkan bakatnya itu. Tidak lama selepas itu dia menjadi buat mulut para penonton dengan persembahan mengagumkannya.
Melukis dan mengukir adalah salah satu aset paling berharga bagi Buchinger. Kemahiran itu menjadi sumber pendapatannya sepanjang hayat. Namun, dia juga mempunyai kemahiran lain seperti silap mata, fencing, boling, menembak, menjahit, memanah dan bermain pelbagai alat muzik. Dia dapat lakukan pelbagai perkara itu mengikut standard yang boleh diterima.
Pameran hidup Matthias Buchinger
Seorang ahli silap mata Amerika, Richard Jay Potash, atau dikenali dengan nama pentasnya, Ricky Jay, telah mendedikasikan 30 tahun hidupnya untuk mencari fakta-fakta tentang kewujudan Buchinger. Dia melakukan semua ini setelah membaca mengenai Buchinger dalam sebuah buku yang ditulis oleh seorang sejarawan silap mata bernama Milbourne Christopher.
Ricky Jay
Pada tahun 2016, Ricky Jay telah mengadakan satu pameran Wordplay: Matthias Buchinger's Inventive Drawings from the Collection of Ricky Jay yang diadakannya di Metropolitan Museum of Art di Bandaraya New York.
Pameran itu juga memaparkan karya seni Matthias Buchinger yang pertama. Terdapat pelbagai lukisan yang rumit, ukiran kayu kecil dan kapal di dalam botol. Apa yang menarik perhatian ahli sejarah seni ialah, dia cenderung untuk menandatangani semua karyanya dengan nama Matthias Buchinger walaupun serba kekurangan. Selain itu dia juga akan mencatatkan tarikh dan lokasi karya itu dihasilkan.
Pameran Matthias Buchinger oleh Ricky Jay
Kemahiran micrography yang dihasilkan Buchinger juga dihasilkan. Dia melukis huruf kaligrafi dalam bentuk yang begitu kecil sehingga seseorang itu memerlukan kanta pembesar untuk membacanya. Tidak jelas bagaimana dia boleh melakukan karya ini dengan begitu teliti. Ada andaian bahawa dia mungkin dibantu oleh peralatan yang dihasilkannya sendiri.
Antara karya lain yang dipamerkan adalah gambar susur galur keluarganya bermula daripada dirinya sendiri. Di bawahnya pula adalah gambar empat orang isterinya dan 14 orang anak-anaknya. Dia juga ada melukis potret Ratu Anne yang menjadi Ratu Britain pada 8 Mac 1702 hingga 1 May 1707.
Ricky Jay juga memaparkan hasil penyelidikannya yang bertajuk Matthias Buchinger: The Greatest Living German. Dalam memoir itu, dia memberi penerangan terperinci tentang kehidupan Buchinger dan bagaimana dia berjaya dalam semua perkara yang dilakukannya.
Menurut Jay, Buchinger yang juga dikenali sebagai The Little Man of Nuremberg itu mula membuat pertunjukan di kampung halamannya. Kemudian Buchinger menjadi selebriti di seluruh Eropah malah membuat pertunjukan untuk keluarga diraja.
Selebriti Eropah
Salah satu lukisan Buchinger
Dia juga membuat jelajah ke Denmark, Holland dan Perancis. Buchinger telah mendapat pendapatan yang lumayan dan sambutan hebat di England. Persembahannya begitu hebat sehingga ia diadakan seperti sebuah karnival yang besar di London.
Orang ramai hadir untuk melihat kehebatan dan kebolehan Buchinger yang sukar dicapai oleh sesiapa yang sempurna anggota badannya. Dia telah menjadi penduduk tetap di England tetapi terus mengadakan persembahan di seluruh Eropah.
Ricky Jay juga telah menemui bukti pembayaran yang diterima Buchinger daripada Istana Tuileries di Perancis ketika melakukan persembahan untuk Raja Louis XV pada tahun 1717.
Buchinger akhirnya bersara sebagai seorang lelaki yang kaya-raya di County Cork, Ireland, bersama dengan isteri keempatnya. Ketika itu dia telah melakukan persembahan di seluruh Eropah. Berikutan kematiannya pada tahun 1739, akhbar Dublin Penny menulis "Dia mati pada usia tua, dalam keadaan mudah dan dihormati".
Buchinger yang meninggal dunia pada usia 65 tahun itu pernah memberi kebenaran secara rasmi agar badannya disumbangkan bagi tujuan kajian saintifik. Sebelum meninggal dunia, Buchiger pernah berkata "Saya percaya tiada seorang pun yang dilahirkan dalam keadaan ini boleh melakukan apa yang saya lakukan, atau mungkin tidak akan ada yang lain".
Rujukan:
3. New Yorker
4. NY Times