Adakah anda sedar bahawa kuku tangan tumbuh hampir 3 kali lebih cepat daripada kuku kaki? Mungkin ramai yang dah tahu fakta itu. Tapi adakah anda tahu mengapa kedua-dua bahagian kuku tidak tumbuh pada kadar yang sama?

Fahami kuku

Kuku tangan dan kuku kaki sebenarnya lebih kurang sama dari segala aspek, cuma ia berbeza pada kadar pertumbuhan sahaja. Kuku mengandungi beberapa bahagian penting seperti plat kuku, iaitu bahagian yang kita nampak dan boleh sentuh, yang melindungi dasar kuku.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bentuk melengkung seperti separuh bulan di bawah setiap kuku pula dipanggil lunula yang sebahagiannya dilitupi oleh kutikel dan melindungi bahagian matrix.

Kuku 'baru' terbentuk daripada sel epitelium di bahagian distal matrix, akan tetapi sel-sel ini kemudian akan mati dengan cepat dan meninggalkan sejenis protein yang penting. Protein ini adalah protein yang sama membentuk rambut dan kulit yang dipanggil keratin.

bentuk kuku manusia berlainan jenis

Keratin

Perbezaan ketebalan dan tekstur keratin pada tubuh badan bergantung kepada jalinan struktur setiap sel. Sebab itulah kulit jauh lebih lembut daripada kuku kaki kerana keratin yang terdapat pada kuku kaki terjalin dengan sangat padat dan rapat.

Keratin yang tertinggal pada kuku ini kemudian bercampur dengan protein lain dan lemak, selain dibantu oleh satu enzim dalam matrix yang digelar transglutaminase. Hasil tindak balas semua bahan inilah yang menghasilkan kuku baru yang akan ditolak keluar dari bawah kutikel. Proses ini akan berjalan berterusan, walaupun ketika anda sedang tidur.

Secara umumnya, kadar pertumbuhan kuku boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti usia, diet, senaman, pekerjaan dan juga cuaca. Kuku tangan menjadi panjang antara 3.5 hingga 4.0 mm setiap bulan manakala kuku kaki cuma tumbuh sehingga 1.8 mm sahaja sebulan.

Jadi kalau anda nampak seseorang dengan kuku kaki yang panjang berjela dan hitam, anda dah boleh agaklah berapa purnama dia tak potong kuku.

geli tengok kuku panjang dan hitam

Mari kita lihat apa teori yang sering dikaitkan dengan pertumbuhan kuku:

#1 Peredaran darah

Apabila bercakap tentang perbezaan kadar pertumbuhan kuku pada kedua-dua anggota, kita perlu sedar cara kita 'melayan' anggota itu juga memainkan peranan.

Sebagai contoh, kita kebiasaannya menyumbat kaki ke dalam stoking dan kasut yang akan mengurangkan pengedaran dan aliran darah. Situasi ini ditambah pula dengan posisi kaki yang lebih jauh dari jantung berbanding tangan. Kedua-dua faktor ini sahaja sudah menunjukkan kurangnya bekalan darah ke kaki yang mengakibatkan kurangnya oksigen dan nutrien untuk menghasilkan sel baru.

potong kuku 636

#2 Faktor cuaca dan musim

Satu kajian telah dibuat yang menunjukkan bahawa perubahan musim juga memainkan peranan dalam kadar pertumbuhan kuku. Semasa musim sejuk, darah akan kurang mengalir ke bahagian jari akibat penyempitan salur darah. Ini berbeza dengan musim panas di mana tubuh badan menjadi lebih hangat dan kaki kurang tersekat dengan stoking, kasut atau but.

#3 "Trauma"

Satu teori baru yang dikaitkan dengan kadar pertumbuhan kuku adalah trauma mikro. 

Contohnya, katakan anda terhentak siku dengan kuat ke dinding. Dalam masa beberapa minit sahaja anda dah boleh rasa siku membengkak dan menjadi lebam. Ini menunjukkan yang tubuh badan anda sedang menghantar sel-sel untuk menyiasat trauma dan memulakan proses baik pulih. Penghasilan sel-sel baru ini berlaku pada kadar lebih laju berbanding kadar pusing ganti sel yang normal.

penggunaan jari dan kuku menyebabkan kuku lebih cepat panjang

Dalam kes kuku pula, ia lebih kurang sama, cuma pada skala yang lebih kecil. Kita sangat kerap menggunakan hujung jari dan kuku tangan setiap hari. Daripada kerja-kerja menaip, menekan loceng pintu, membuat tekan tubi dan macam-macam lagi aktiviti harian yang menggunakan jari. Apabila kita menekan papan kekunci di pejabat misalnya, setiap ketikan akan menghantar isyarat 'trauma' kecil kepada sel epitelium di distal matrix yang akan 'membaiki' kerosakan di bahagian kuku dengan menghasilkan lebih banyak keratin.

Kuku kaki pula tidak digunakan dengan sebegitu kerap dan bagi orang yang sentiasa melindungi kaki dengan memakai kasut bertutup, 'trauma' di bahagian kuku kaki amat jarang berlaku.

Faktor kekerapan penggunaan ini juga berkait rapat dengan anggota yang lebih dominan. Misalnya anda dominan dengan tangan kanan, maka kuku jari di sebelah kanan akan tumbuh lebih pantas berbanding kuku jari kiri.

#4 Usia

Apabila kita meningkat usia, kapilari dan salur darah akan menjadi kurang efisien, mengakibatkan aliran darah berkurangan ke hujung anggota dan apendaj. Kajian mendapati pertumbuhan kuku akan lebih perlahan tahun demi tahun dan berkurangan sehingga 30%. 

kuku kaki cagu tak

Walau bagaimanapun, teori-teori yang dinyatakan ini bukanlah fakta sahih sebagai faktor yang mempengaruhi pertumbuhan kuku. Belum ada saintis ataupun penyelidik yang berjaya membuktikan kenapa kuku kaki tumbuh lebih perlahan berbanding kuku tangan. Kalau inginkan jawapan mudah, kita boleh kata semuanya atas kehendak dan kekuasaan Allah S.W.T. 

Walaupun kejadian ini atas kehendak Allah, namun harus diingat, Islam sentiasa menyuruh kita menjaga kebersihan diri. Jadi, cuba tengok kuku masing-masing. Dah potong ke belum?

Rujukan:

1. Studies in Nail Growth

2. Jama Network

3. Hair & Nail Growth

4. Growth Rate Of Human Fingernails And Toenails In Healthy American Young Adults




Hakcipta iluminasi.com (2017)