Sebaik sahaja pesawat anda mendarat di landasan Baku, ibu negeri Azerbaijan, anda akan disambut dengan pemandangan Menara Api yang merupakan lambang ikonik di negara itu. Api merupakan elemen yang begitu sinonim dengan negara ini.
Bangunan yang mempunyai bahagian atas yang meruncing dan melengkung itu kelihatan seolah-olah api yang sedang menyala. Terletak di lereng bukit yang menghadap ke Laut Kaspia, ia merupakan representasi sempurna sejarah dan budaya Azerbaijan.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada waktu malam, seluruh kompleks bangunan itu kelihatan seperti nyalaan api besar yang dipancarkan oleh 10,000 lampu LED berkuasa tinggi. Namun, ia bukanlah sebab mengapa Azerbaijan digelar sebagai "Negara Api".
Api yang tidak padam
Gelaran Negara Api diberikan kerana terdapat beberapa tempat di Azerbaijan yang diliputi oleh api misteri. Api itu dipercayai telah menyala sejak ribuan tahun dan tidak pernah padam walaupun ketika angin kuat, hujan atau salji turun.
Sebenarnya, nyalaan api itu kesan daripada simpanan gas asli Azerbaijan yang banyak. Ada kalanya gas ini akan bocor ke permukaan bumi dan jika dinyalakan, ia terbakar dan tidak akan padam selagi tidak kehabisan sumbernya.
Api yang menyala di kaki bukit Yanar Dag
Kebakaran seperti ini berlaku di banyak tempat di seluruh Azerbaijan. Namun, pengekstrakan gas secara komersial oleh kerajaan Soviet pada kurun ke-20 telah menyebabkan tekanan gas di dalam tanah menurun dan banyak kebarakan terpadam.
Kini, tempat "api misteri" di Azerbaijan semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Salah satu tempat nyalaan yang menjadi tarikan pelancong adalah Yanar Dag atau "Gunung Api" yang terletak kira-kira 30 minit dari bandar Baku.
Sejarah api misteri
Kisah mengenai api misteri ini banyak terdapat dalam catatan sejarah. Para pedagang yang menggunakan Jalan Sutera (abad ke-2 SM hingga ke-18 M) banyak menceritakan kejadian api di Azerbaijan kepada dunia luar.
Pengembara terkenal, Marco Polo, pernah menulis tentang fenomena misteri ini ketika dia melalui Azerbaijan pada abad ke-13. Catatan Empayar Rom yang bertarikh 2,500 tahun lalu juga menceritakan bahawa pengekstrakan minyak telah dilakukan di Azerbaijan.
Lukisan Prometheus
Dalam mitos Yunani (Greek) pula, Zeus dikatakan telah merantai Prometheus di Pergunungan Kaukakus (pergunungan di Azerbaijan dan negara jirannya) kerana mencuri api daripada para dewa untuk diberikan kepada manusia.
Empayar Parsi kuno pula menamakan jajahan mereka di Parsi Tengah (Azerbaijan, Armenia dan sebahagian Iran) ini sebagai "Aturpatakan" yang membawa maksud "tempat di mana api suci dipelihara". Ini menunjukkan bahawa fenomena api yang tidak padam ini sudah wujud sejak ribuan tahun yang lalu lagi.
Tumpan penganut Majusi dan Hindu
Selain Yanar Dag, terdapat beberapa tempat lagi yang menjadi tumpuan pelancong seperti Yanar Bulag (sumber mata air yang terbakar apabila dinyalakan) dan Kuil Api Ateshgah.
Malah, Azerbaijan juga menjadi tempat tumpuan penganut agama Majusi (Zoroastrian) dan Hindu. Kuil Api Ateshgah telah menjadi tapak suci sejak zaman dahulu lagi oleh jemaah Majusi yang datang dari luar.
Kompleks Kuil Api Ateshgah
Majusi yang diasaskan di Iran kuno merupakan agama tertua yang masih diamalkan sehingga hari ini. Bagi penganut Majusi, api adalah penghubung antara manusia dan dunia ghaib serta perantaraan bagi mencapai kesempurnaan rohani.
Apabila orang Arab datang dengan membawa ajaran Islam, kebanyakan penganut Majusi melarikan diri dari Iran dan Azerbaijan menuju ke Utara India.
Azerbaijan selepas Kesatuan Soviet
Azerbaijan adalah sebuah negara merdeka sejak 1918 tetapi dua tahun selepas itu, ia termasuk dalam Kesatuan Soviet pada 1920. Pada 30 Ogos 1991, negara itu mengisytiharkan kemerdekaan buat kali kedua, beberapa bulan sebelum pembubaran Kesatuan Soviet.
Hari ini, kebanyakan pengunjung yang hadir ke Azerbaijan adalah untuk menikmati pemandangan dan pengalaman istimewa Negara Api itu, bukannya atas tujuan keagamaan.
Malah, Kuil Api Ateshgah juga telah dijadikan muzium pada 1975 dan dinobatkan sebagai Tapak Sejarah Dunia UNESCO pada 1998. Tapak bersejarah ini menjadi kunjungan 15,000 pelawat setiap tahun. Kebanyakan pelancong gemar melawat tapak-tapak api misteri ini pada waktu malam atau musim sejuk.