Cuba cari dalam peta dunia, wujudkah sebuah negara bernama Transdniestria?

Terletak sepanjang sempadan di antara negara Moldova dan Ukraine, wujud sebuah negara yang bernama Transdniestria, yang mempunyai penduduk seramai lebih lima ratus ribu orang. Transdniestria menjadi rumah kepada sebuah masyarakat yang mengamalkan dasar kerajaan bebas mereka sendiri. mempunyai matawang mereka sendiri, perlembagaan negara sendiri dan pasukan tentera sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, bagi Transdniestria, keengganan PBB untuk mengiktiraf kewujudan negara kecil mereka, membuatkan Transdniestria tidak wujud dalam mana-mana hubungan diplomatik antarabangsa malahan, tidak layak untuk berada dalam peta dunia.

iluminasi negara transdniestria

Transdniestria asalnya adalah sebahagian daripada negara Moldova. Bagaimanapun idea untuk mewujudkan kerajaan sendiri mula merebak di kalangan penduduk Transdniestria, sehingga menyebabkan berlakunya perang saudara di antara Moldova dan penduduk Transdniestria, pada tahun 1992.

Gencatan senjata sehingga kini berjaya dikekalkan dengan bantuan tentera Russia yang mengawal sempadan negara tersebut, namun perang dingin masih lagi berterusan sehingga ke hari ini.

Status kewarganegaraan Transdniestria yang tidak diiktiraf membuatkan pasport negara mereka tidak sah untuk digunakan di mana-mana negara lain. Penduduk Transdniestria bernasib baik dasar negara mereka membenarkan rakyatnya untuk mempunyai dua kewarganegaraan lain sama ada Russia, Moldova atau Ukraine yang sekurang-kurangnya membantu mereka merentasi sempadan.

Transdniestria mengamalkan kebebasan beragama kepada rakyatnya. Majoriti penduduk negara itu mengamalkan agama Kristian Ortodoks dan hanya 4% mengamalkan Roman Katolik. Walaupun mengamalkan kebebasan beragama, kerajaan Transdniestria sendiri menyokong penyebaran Kristian Ortodoks di negara mereka dan sejak 2005, kerap menggunakan kuasa birokrasi untuk menghalang penyebaran agama lain seperti Jehovah Witness dan Kristian Protestan di sana.

iluminasi negara transdniestria3

Sejarah terasingnya Transdniestria bermula pada tahun 1990 apabila kerajaan Moldova mengisytiharkan kemerdekaan dari Kesatuan Soviet. Transdniestria pada masa itu, masih lagi sebahagian dari Moldova dipenuhi dengan penduduk yang rata-rata setia kepada kerajaan Soviet.

Penduduk Transdniestria mengisytiharkan kemerdekaan mereka dengan harapan untuk menjadi sebahagian dari Kesatuan Soviet semula sehingga menyebabkan perang meletus selama 2 tahun di antara mereka dan kerajaan Moldova.

Namun, hasrat rakyat Transdniestria untuk kembali kepada Kesatuan Soviet tidak kesampaian apabila Kesatuan Soviet runtuh. Atas sebab itu, kerajaan Moldova membenarkan kuasa autonomi kepada penduduk Transdniestria dalam bidang kuasa pentadbiran, lalu lahirlah negara Transdniestria, sebuah negara berdaulat tetapi tetap setia kepada negara Russia sehingga sekarang.

iluminasi negara transdniestria4

Visual-visual Vladimir Putin dan Joseph Stalin masih lagi menghiasi pejabat-pejabat awam di Transdniestria, diletakkan sebelah menyebelah dengan gambar Presiden Transdniestria, Yevgeny Shecchuk.

Sehingga ke hari ini, Transdniestria masih lagi tidak diiktiraf oleh kerajaan Moldova walaupun kuasa autonomi sudah diberikan. Kerajaan Russia sendiri pun tidak pernah secara rasmi mengiktiraf wujudnya negara bernama Transdniestria, walaupun Russia adalah penyumbang besar kepada ekonomi negara kecil tersebut.

Ini menyebabkan secara teknikalnya, Transdniestria seolah-olah tergantung tanpa bertali. Mendapat kemerdekaan tetapi tidak diiktiraf oleh pihak yang membenarkan kemerdekaan mereka.

iluminasi negara transdniestria5

Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh penduduk Transdniestria selain daripada meneruskan rutin hidup seharian mereka. Dengan keluasan negara Transdniestria (4,163 km²) yang lebih kecil daripada Negeri Sembilan di Malaysia (6646 km²), ekonomi Transdniestria banyak bergantung kepada industri berat yang ada di sana. Bajet negara mereka sebanyak 60% datang daripada industri besi dan selebihnya datang daripada eksport fabrik ke negara-negara Eropah.

Sistem pendidikan di Transdniestria juga agak terhad dengan penumpuan kepada pembelajaran dalam bahasa Russia. Sekolah-sekolah yang tidak mahu menurut sukatan yang ditetapkan kerajaan Transdniestria akan diarahkan tutup selagi belum diluluskan oleh pihak berwajib. Tidak banyak kebebasan diberikan pada pihak sekolah di sana untuk membangunkan sendiri sistem kerana kerajaan Transdniestria mahu rakyatnya belajar menggunakan bahasa dan tulisan Russia sahaja berbanding bahasa lain.

iluminasi negara transdniestria2

Menurut laporan agensi penyelidikan Amerika Syarikat, hak kerakyatan di Transdniestria juga berada dalam situasi yang menekan kebebasan. Tidak ada kebebasan bersuara diamalkan dan media disekat daripada melaporkan berita yang tidak diingini kerajaan Transdniestria.

Himpunan awam tidak dibenarkan dilakukan. Yang lebih menakutkan, gangguan kepada kumpulan minoriti kerap tidak diendahkan penguatkuasa Transdniestria.

Kerana itulah kebanyakan penduduk Transdniestria sendiri merasakan masa depan mereka agak kabur kerana tidak banyak peluang yang ada untuk ke depan dan apa yang dapat disimpulkan oleh mereka yang tinggal di sana, walaupun mempunyai negara dan kerajaan sendiri, situasi yang mereka alami membuatkan segala-galanya nampak statik.

Begitulah serba sedikit kisah tentang Transdniestria, negara yang ada tetapi tidak wujud dalam geografi dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)