Minda kita ni, sebenarnya senantiasa mengalami proses kematangan yang tidak berhenti sehingga ke satu peringkat di mana otak mula kehilangan kebolehan-kebolehan yang ada sebelum itu.

Ini bermakna, seseorang yang berumur 45 tahun boleh menjadi seorang yang sangat berbeza berbanding dengan dirinya yang berumur 20 atau 25 tahun. Keputusan dan pilihan yang akan dilakukannya juga akan berubah menjadi matang, disebabkan pengetahuan serta pengalaman yang telah dikumpul sekian lama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu, dalam sistem sosial - umur 18 atau 21 tahun kerap dianggap sebagai umur di mana seseorang itu sudah mencapai tahap kematangan, serta layak diberikan faedah seperti mengundi atau memiliki lesen memandu kereta.

Persoalannya, mengapa umur 18 atau 21 dipilih? Kenapa bukan 25?

Otak hanya matang selepas 21 tahun

perkembangan otak sejak kecil

Hari ini kita sudah mengetahui bahawa untuk majoriti individu, perkembangan otak mereka akan mencapai kematangan pada usia pertengahan 20-an. Ada sesetengah individu pula pada usia 30-an dan ada yang belasan tahun sudah matang, namun normanya penyelidik menyimpulkan usia 24-29 tahun sebagai tempoh kemampuan berfikir seseorang sudah terbentuk dengan sempurna.

Kajian yang dijalankan mendapati bahagian depan otak kita yang memproses kemampuan seseorang berfikir tentang akibat baik buruk melakukan sesuatu perkara, didapati hanya mencapai tahap benar-benar bersedia lebih lewat daripada usia 18 dan 21 tahun yang kita gunakan.

Menurut pakar neurosains Dr.Sandra Aamodt, seorang belia atau 'young adults' lebih mudah terpengaruh dengan tekanan kawan-kawan berbanding orang dewasa. Ini bakal menyebabkan seseorang belia mempunyai 50 peratus kemungkinan akan melakukan perkara bodoh, ketika bersama kawan-kawannya berbanding ketika dia berseorangan.

Berdasarkan fakta yang ada menurut kajian sains, tempoh matang seseorang bukan saja daripada segi pertumbuhan organ otak dan juga kematangan fikiran berada pada tahap optimum untuk majoriti orang pada usia 25 tahun, 7 tahun lebih lambat berbanding umur 18 dan 4 tahun lewat berbanding 21 tahun usia.

Mengapa usia 18 atau 21 dipilih untuk digunakan?

askar usia 21 tahun layak pakai baju besi

Semuanya dikatakan berpunca daripada pengenalan undang-undang am British yang digunapakai banyak negara dunia pada . Berdasarkan kepada pengenalan itu, kesemua individu yang berumur 21 tahun ke atas dianggap dewasa dan yang sebaliknya pula, dianggap bawah umur. Pada awalnya, semua individu bawah umur 21 diletakkan ke dalam kategori 'infants' sebelum ditukar termanya kepada 'minor' atau 'minority.'

Banyak pendapat mengatakan usia itu dipilih berikutan tradisi England zaman lama dalam melayakkan seseorang bergelar 'Knight'. Pada usia 21 tahun, seseorang individu itu sudahpun mempunyai tubuh badan serta ketinggian yang sesuai untuk dia memakai baju besi. Walaupun ada pendapat lain menyanggah pendapat ini, amalan menggunakan umur 21 tahun sebagai had dewasa kekal sehinggalah abad ke 20, sebelum digantikan.

Umur 18 tahun mula menjadi standard baru dunia pada abad ke 20, selepas kerajaan Amerika Syarikat meluluskan undang-undang membenarkan (atau sebenarnya mewajibkan) individu lelaki berumur 18 tahun menyertai perang. Had umur itu diambil berikutan pada peringkat tersebut individu lelaki sudah menamatkan pengajian sekolah tinggi.

Walaupun begitu, kontroversi mula timbul ekoran langkah itu. Banyak pihak mempersoalkan kenapa seseorang yang tidak dibenarkan menyuarakan pendapat peti undi, dibolehkan menyertai peperangan? Bagi menyelesaikan isu ini, kerajaan Amerika Syarikat melakukan perubahan, membenarkan individu berusia 18 tahun mengundi.

Had umur adalah sistem ciptaan manusia

pelajar dihukum dengan hukuman pumping

Harus diakui agak sukar sebenarnya untuk mengetahui kisah sebenar bagaimana usia 18 dan 21 tahun ini mula digunakan secara meluas. Lagipun, setiap manusia mempunyai kadar tumbesaran yang berbeza-beza.

Walau bagaimanapun, satu garis panduan atau had perlu diwujudkan dalam membantu manusia membentuk sistem undang-undang, harapannya untuk kemudahan kita semua.

Dapat disimpulkan di sini, banyak sistem sosial memilih untuk menggunakan sama ada 18 tahun atau 21 tahun sebagai had, kerana berdasarkan pandangan masyarakat secara majoriti - itulah umur anda akan jadi matang dalam pelbagai aspek, serta tidak lagi memerlukan pengawasan daripada orang dewasa dalam menentukan hidup anda.

Mungkin angka 18 atau 21 tahun bukanlah satu angka ideal dalam menentukaan tempoh matang seseorang, namun satu umur tetap perlu digunakan.

Sama ada anda setuju atau tidak dengan pandangan itu, nak tak nak kita terpaksa juga menerima keperluan mewujudkan garis panduan untuk semua, walaupun ada ramai di antara kita badan saja dah dewasa tapi perangainya sangat sukar untuk dipercaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)