Kami akui agak menghairankan melihat bagaimana sesetengah pihak terlalu lantang mahu mengekang hak kuasa mahkamah syariah, membenarkan pasangan yang ditakrifkan sebagai bawah umur untuk diberikan kebenaran berkahwin di negara kita.
Adakah mereka sebenarnya memperjuangkan pengharaman perkahwinan bawah umur atau sebenarnya sedang mempersoalkan bidang kuasa mahkamah syariah yang mampu 'memintas' badan kuasa lain dalam isu ini?
BESARKAN TEKS A- A+
Hujah mereka - hanya dengan berlaku pengharaman yang bersifat total di negara kita sama seperti di negara-negara barat, baharulah nasib anak-anak bawah umur dapat dibela dengan lebih baik. Daripada satu perspektif memang ada benarnya. Kajian memang menunjukkan pengantin muda menghadapi kesukaran hidup selepas perkahwinan dalam jumlah yang membimbangkan.
Walaupun begitu, kita harus diingatkan - masalah perkahwinan bawah umur ini bukanlah eksklusif kepada Malaysia ataupun negara-negara Islam semata-mata. Realitinya, negara-negara barat pun sebenarnya mempunyai peraturan yang hampir serupa dengan kita. Tak percaya?
Mari kita belajar tentang peraturan perkahwinan bawah umur di negara-negara Eropah.
Umur minima asas untuk perkahwinan automatik di Eropah
Artikel 9 Piagam Eropah dalam bidang hak kemanusiaan asas menyebut; semua negara anggota bebas untuk mewujudkan peraturan masing-masing dalam menentukan kelayakan untuk seseorang itu berkahwin.
Tidak ada kekangan dikenakan kepada semua individu untuk berkahwin sekiranya mereka sudah mencapai tahap umur yang ditetapkan (berlainan antara negara anggota) dengan Kesatuan Eropah mencadangkan umur 18 tahun dipilih sebagai umur minima, membolehkan pasangan tak kira lelaki atau wanita berkahwin secara automatik.
Di antara semua negara anggota Eropah, hanya Scotland memilih umur minima 16 tahun untuk kelayakan automatik perkahwinan, dengan selebihnya menetapkan 18 tahun sebagai had umur minima.
Perkahwinan bawah umur dengan kebenaran khas
Walaupun ada cadangan peraturan had umur minima, negara-negara anggota Kesatuan Eropah sebenarnya bebas untuk membenarkan perkahwinan berlaku melibatkan individu di bawah umur, dengan kebenaran khas wajib diperolehi daripada pihak berkuasa beserta kebenaran ibu bapa.
Majoriti negara Eropah meletakkan umur 16 tahun sebagai umur layak untuk kes yang memerlukan kebenaran khas ini, manakala Estonia memilih untuk meletakkan 15 tahun sebagai peraturan di negara mereka. Bagaimanapun, tujuh negara tidak mengamalkan peraturan ini sepenuhnya. Ini membolehkan mana-mana individu bawah umur boleh membuat permohonan kebenaran khas untuk berkahwin, tak kiralah berapa usia mereka. Tujuh negara tersebut adalah Belgium, Finland, Perancis, Greece, Ireland, Luxembourg dan Slovenia.
Hanya empat negara di Eropah memilih untuk melarang sepenuhnya perkahwinan sebelum mencapai had umur yang ditetapkan iaitu Denmark, Jerman, Belanda dan Sweden, tanpa ada sebarang bentuk kelonggaran. Negara Poland pula hanya mengenakan syarat larangan total ini pada golongan lelaki sahaja. Golongan wanita Poland boleh melakukan permohonan melangsungkan perkahwinan di bawah umur.
Perkahwinan kerana kes-kes tertentu
Oleh kerana akan wujud bermacam jenis kes yang perlu ditakrifkan di bawah undang-undang setiap negara, beberapa negara dalam Kesatuan Eropah turut sama memperkenalkan beberapa peraturan tambahan bagi memudahkan urusan perkahwinan melibatkan individu bawah umur.
Di Lithuania sebagai contoh, sekiranya seorang individu bawah umur terlanjur melakukan hubungan seks dan mengandung sebelum mencapai umur 16 tahun, gadis tersebut boleh memohon kepada mahkamah untuk diberikan kebenaran khas melangsungkan perkahwinan.
Bagi negara Croatia pula, mahkamah sivil negara itu diberikan kuasa khas untuk mengeluarkan kebenaran perkahwinan kepada mana-mana individu di bawah umur 16 tahun sekiranya mahkamah mendapati individu itu secara mental dan fizikalnya sudah matang, serta dibuktikan perkahwinan itu tidak akan menjejaskan kebajikan individu yang terlibat.
Apakah kebenaran khas yang diperlukan?
Kebenaran khas yang akan dikeluarkan berbeza syaratnya, dengan setiap negara mengambil pendekatan berlainan dalam memantau kes-kes perkahwinan seperti ini.
Tujuh negara iaitu Austria, Belgium, Bulgaria, Perancis, Luxembourg, Sepanyol dan Romania memerlukan kebenaran daripada pihak ibu bapa serta kebenaran mahkamah, sekiranya mahu berkahwin sebelum umur 18 tahun.
Dalam sesetengah kes di mana mahkamah mendapati berlaku penderaan ke atas pasangan yang ingin berkahwin yang dilakukan ibu atau bapa sendiri, mahkamah diberikan kuasa untuk membenarkan perkahwinan itu berlangsung tanpa persetujuan ibu bapa.
Di Croatia, Republik Czech, Finland, Greece, Ireland, Itali, Poland dan Slovakia - hanya kebenaran mahkamah diperlukan bagi meluluskan perkahwinan dengan tiada kewajipan kebenaran ibu bapa dikehendaki.
Ibu bapa di negara tersebut boleh memberikan pandangan di mahkamah dalam membantu mahkamah membuat keputusan, namun tidak berhak menghalang perkahwinan daripada berlaku sekiranya diluluskan.
Kesimpulan
Faktor-faktor yang dijadikan ukuran dalam menilai permohonan perkahwinan di Eropah kebiasaannya tidak bersifat tetap, dengan setiap kes bergantung kepada penilaian sepenuhnya panel mahkamah yang dipilih. Selalunya faktor-faktor yang memberi kesan besar atau faktor yang menjurus kepada kebaikan, dianggap sebagai pemudah cara kepada permohonan pihak bakal pengantin, selain faktor terbesar memastikan kebajikan individu-individu terlibat dapat dipelihara.
Jelaslah, tidak ada banyak bezanya apa yang diamalkan di negara-negara barat yang dikatakan lebih terkehadapan berbanding kita, dalam perihal perkahwinan bawah umur ini.
Kami harap perkongsian ini dapat menjelaskan serba sedikit berkenaan isu perkahwinan bawah umur, serta membantu anda memahami undang-undang yang kita amalkan melibatkan isu perkahwinan bawah umur - sebenarnya tidaklah terkebelakang seperti yang digembar-gemburkan.
Apa yang diamalkan di negara kita sebenarnya agak selari dengan apa yang dipegang di seluruh dunia, namun suara beberapa pihak dilihat bersungguh-sungguh mahu menjadikan Malaysia sama seperti Jerman, Denmark, Belanda dan Sweden yang melarang terus sebarang perkahwinan bawah umur tanpa sebarang kelonggaran diberikan.
Ini pasti akan lebih mengeruhkan keadaan, sedangkan realitinya tidaklah seburuk yang cuba mereka gambarkan.
Rujukan