Pada masa kini, kita dapat lihat banyak negara yang berlumba-lumba membina menara atau bangunan tertinggi di dunia. Untuk rekod, status menara tertinggi di dunia kini masih dipegang oleh Menara Burj Khalifa (828 meter) yang terletak di Dubai.

Dalam dunia sains dan teknologi, kita sering dihidangkan dengan idea-idea luar kotak yang ada kalanya sukar untuk kita gambarkan antaranya Asgardia, sebuah penempatan di angsaka lepas yang dianggap sebagai sebuah negara baru. Malah, idea membina penempatan manusia di Marikh juga seakan-akan tidak logik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebiasaannya, menara atau bangunan tinggi akan dibina bermula dari tapaknya dan ke atas. Namun, pernahkah anda dengar mengenai Menara Analemma, konsep sebuah menara yang tergantung dari atas langit?

Menara tergantung dari asteroid

menara tergantung

Sebuah firma reka bentuk New York bernama Clouds Architecture Office telah mencadangkan sebuah menara yang akan tergantung dari asteroid pada ketinggian 31068 batu dari Bumi. Firma yang mengeluarkan konsep rekaan ini, Clouds Architecture Office sememangnya pakar dalam reka bentuk konsep yang pelik.

Dikenali dengan nama "Menara Analemma", bangunan itu akan tergantung dengan megah di atas langit kerana akan tergantung pada asteroid sebenar yang diikat dengan kabel yang sangat kuat dan bergerak di orbit "geosinkron eksentrik" yang bergerak dalam laluan berbentuk nombor 8.

Dengan kata lain, ia akan sentiasa bergerak - penduduk dan pelawat yang berada dalam bangunan ini akan melakukan perjalanan harian antara hemisfera utara dan selatan dengan titik permulaan berkemungkinan bermula di bandar New York atau Dubai.

Idea asal konsep

asteroid 942

Pada tahun 2015, "Misi Rosetta" oleh Agensi Angkasa Eropah berjaya mendarat di permukaan komet Churyumov-Geraismenko yang menunjukkan bahawa terdapat kemunngkinan untuk berinteraksi dengan objek yang lebih kecil seperti itu di angkasa.

Misi "Asteroid Redirect Mission" NASA telah dijadualkan untuk menghantar robot untuk mengumpulkan batu dari asteroid dan kemudian meletakkan batu itu ke orbit stabil di sekitar bulan.

Dengan cara yang sama, pihak firma Clouds Architecture Office merancang untuk menggunakan asteroid yang dilengkapi dengan kabel dengan kekuatan tinggi yang menjangkau ke bumi untuk memegang pencakar langit sepanjang perjalanannya.

Pereka bentuk konsep Menara Analemma, Ostap Rudakevych mendakwa bahawa menara itu boleh diperbuat dari bahan tahan lama dan ringan seperti serat karbon dan aluminium. Kemajuan dalam kejuruteraan kabel diperlukan untuk mencapai kekuatan kabel yang diperlukan untuk menyokong struktur menara ini.

Untuk penggunaan tenaga elektrik pula, tenaga elektrik akan datang dari panel solar yang mempunyai pendedahan kepada cahaya matahari secara berterusan. Sementara itu, air untuk kegunaan dalam menara akan ditangkap dari awan dan air hujan dan disimpan dalam sistem gelung separa tertutup.

Seperti yang diusulkan, puncak menara berada pada ketinggian 32,000 meter dan diharapkan dapat mencapai kelajuan 300 mph ketika bergerak melalui langit.

Drone dan elevator elektro-magnetik

konsep menara tergantung

Rudakevych mengatakan beliau membayangkan penggunaan drone penumpang yang besar membolehkan manusia bergerak bolak-balik antara menara dan permukaan bumi bersama dengan elevator elektro-magnetik canggih yang memudahkan pergerakan pergi dan balik dari menara ini.

Pada masa ini, terdapat cadangan agar menara ini dibina di Dubai yang mempunyai sejarah panjang membina bangunan pencakar langit yang tinggi dan bergaya dengan kos yang lebih rendah berbanding kos pembinaan pencakar langit yang berpusat di A.S.

Ketika ditanya apa yang memberinya ilham untuk projek seperti ini, Rudakevych berkata, "Sejak manusia tidak lagi tinggal di gua, bangunan kita semakin tinggi dan ringan. Kami percaya bahawa beberapa tahun lagi bangunan akan terbebas dari permukaan bumi, membebaskan kita dari banjir, gempa bumi dan tsunami yang berbahaya".

Menara Analemma adalah idea spekulatif bagaimana ini dapat dicapai pada suatu masa nanti. Walaupun Menara Analemma ini sekadar konsep, ianya cukup menarik kerana pertama kali idea seperti ini muncul dan tidak mustahil pada masa hadapan kita mungkin dapat melihat ianya direalisasikan.

Kredit:

  1. Science Gallery
  2. Business Insider
  3. Popular Science
  4. CNN



Hakcipta iluminasi.com (2017)